Dari Shahbudin.com
Semakin hampir tiba detik pilihanraya, serangan peribadi kepada Anwar
semakin memuncak. Bekas pemimpin-pemimpin PKR sperti Ezam Mohd Nor,
Anuar Shaari, Nallakaruppan, Zulkifli Nordin dan lain-lain nampaknya
begitu rancak menyerang peribadi Anwar berkaitan isu seks dan moral. Umi
Hafilda yang merupakan adik kepada Azmin Ali turut tumpang semangkuk
menghangatkan lagi suasana dengan dakwaan yang jika dihalusi lebih
bersifat masalah kekeluargaan semata-mata.
Mereka berjanji untuk berkempen ke seluruh negara bersama isu seks,
liwat dan biseksual yang dikaitkan dengan Anwar itu. Di dada media dan
kaca tv, mereka sudah muncul hampir setiap hari dengan isu yang sama
seolah-olah itulah isu pokok dalam politik negara dan penentuan rakyat
terhadap parti yang ingin diberikan kuasa.
Modal mereka hanyalah isu seks dan liwat yang dikaitkan dengan Anwar
dan sudah pun menjadi pengetahuan umum sebenarnya sejak Anwar dipecat
pada 1998 lagi. Mereka hanya mengulang-ulang cerita lama seolah-olah
mereka mengetahui segala-galanya walaupun dalam dalam kes liwat pertama,
Anwar sudah dibebaskan oleh mahkamah dan dalam kes liwat kedua, juga
sudah dibebaskan di peringkat Mahkamah Tinggi. Ia kini sedang menunggu
proses rayuan di Mahkamah Rayuan.
Cerita seks dan liwat ini sudah diulang banyak kali walaupun
hakikatnya rakyat menolak permainan menyerang peribadi secara
keterlaluan itu. Lihatlah keputusan beberapa pilihanraya kecil sebelum
ini dan arus sokongan rakyat di merata-rata tempat sekarang, jelas dapat
dilihat bahawa isu ini tidak menjadi kudis kepada rakyat. Bahkan lagi
disebut dan diulang cerita seks dan liwat itu, makin mencanak sokongan
rakyat kepada Anwar.
Sesetengah rakyat tidak mempercayai isu seks dan liwat itu dan
menganggapnya cubaan untuk membunuh karier politik Anwar yang direka
sejak zaman Mahathir lagi. Sesetengah yang lain pula menganggapnya
sebagai mainan politik longkang yang cuba dilakukan oleh BN untuk
memenangi pilihanraya. BN dilihat seolah-olah sudah kering idea dan
tiada modal lain untuk mendapatkan sokongan rakyat dan berhadapan dengan
Anwar serta Pakatan Rakyat.
Jika diperhatikan gerak laku dan perangai bekas pemimpin PKR yang
mengaitkan Anwar dengan pelbagai dakwaan berkaitan seks dan liwat itu,
amat nyata bahawa bahawa mereka ingin menjadi hero dalam pilihanraya
akan datang ini. Mereka ingin membunuh karektor Anwar dan mahu rakyat
terus memilih BN semata-mata atas alasan Anwar seorang pemimpin yang
tidak baik moralnya dan dikatakan gila seks.
Keghairahan mereka menonjolkan diri dalam media dan di sisi Najib
telah menenggelamkan kewujudan pemimpin dalam UMNO sendiri. Peranan
Ketua Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO seolah-olah tidak wujud
dalam mempertahankan UMNO dan Najib. Sepanjang masa suara Najib lebih
banyak disahut oleh mereka ini berbanding pemimpin dalam UMNO sendiri.
Benarkan kata Tun Daim, Najib dalam persiapan menghadapi pilihanraya ini
umpama jeneral tanpa askar.
Dalam masa yang sama, dengan menonjolkan isu seks dan liwat,
penilaian rakyat cuba ditutup terhadap isu kenaikan harga barang, beban
hidup yang meningkat, rasuah makin berleluasa, skandal lembu NFC,
pelupusan hutang Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta, hutang negara
mencecah hampir 55 peratus KDNK negara, ekonomi yang tidak berkembang,
urus tadbir negara yang lemah dan pelbagai isu lainnya yang menghenyak
kehidupan rakyat seharian.
Apakah mungkin isu seks dan liwat itu mampu menjadikan rakyat buta
hati dan melupakan isu lain seperti yang disebutkan diatas tadi?
Sudah bertahun-tahun terbukti bahawa isu seks, liwat dan biseksual
yang dikaitkan dengan Anwar tidak memberi kesan apa-apa kepada kepada
rakyat dan tindakan Ezam, Nalla, Umi Hafilda, Anuar Shaari serta
rakan-rakan mereka yang lain terus membangkitkan isu itu tidak lain
hanya umpama menambahbesarkan lagi kubur politik untuk Najib saja.
Anwar tidak akan ke mana-mana dek serangan itu tetapi sebaliknya Najib yang makin ditolak rakyat.
Najib yang kini bagaikan tercungap-cungap untuk mempertahankan kuasa,
akan lebih ditolak rakyat dengan isu seks, liwat dan biseksual yang
berterusan dibangkitkan ini kerana dalam masa yang sama beliau gagal
menyelesaikan pelbagai isu dalam negara dan memberi jaminan tentang
kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.
Berbeza dengan Anwar dan Pakatan Rakyat, selain menjanjikan
pengurusan ekonomi dan negara yang lebih baik, mereka juga menjanjikan
penurunan harga minyak dalam tempoh 24 selepas menawan Putrajaya, kajian
semula tarif letrik dan terbaru penghapusan hutang PTPTN pelajar serta
jaminan memberi pendidikan percuma untuk rakyat.
Tawaran-tawaran itu tentunya lebih menawan hati rakyat berbanding
hidangan cerita seks, liwat, biseksual dan dakwaan Umi Hafilfa terhadap
Anwar dan Azmin yang lebih merupakan masalah keluarga. Masalah keluarga
sepatutnya diselesaikan dengan kaedah kekeluargaan dan tindakan Umi
Hafilda menyeret masalah keluarganya ke dalam UMNO dan BN hanya akan
menambahkan lagi beban Najib dalam pilihanraya ini.
Jika benar bekas-bekas pemimpin PKR ini ingin membantu Najib dan mahu
melihat UMNO dan BN terus berkuasa, mereka sepatutnya bukan menjaja
cerita seks dan liwat terhadap Anwar yang dikitar semula tetapi
mendedahkan bagaimanakah strategi dan rahsia PKR menghadapi beberapa
piliharaya sebelum ini sehingga mampu memenangi beberapa kawasan
pilihanraya. Mereka juga boleh menceritakan bagaimana untuk mendekati
generasi muda kerana luka yang ditinggalkan Ezam kepada Pemuda UMNO
khususnya ketika zaman kebangkitan reformasi masih segar dalam ingatan
sebahagian besar ahli UMNO sendiri.
Atau setidak-tidaknya memberi idea bagaimana untuk melawan janji
penurunan harga minyak, letrik dan penghapusan hutang PTPTN yang dibawa
oleh Anwar dan Pakatan Rakyat yang dilihat begitu berjaya menawan hati
rakyat.
Menjaja cerita seks dan mengulang skrip lama terhadap Anwar hanya
mendedahkan tembelang ingin muncul hero di sisi Najib tetapi tiada idea
segar yang boleh diterima rakyat. Di dalam UMNO sendiri kaedah yang
digunakan oleh bekas pemimpin PKR ini tidak begitu disenangi kerana
didapati gagal menarik sokongan rakyat. Ceramah yang mereka buat juga
selama ini hanya dihadiri oleh AJK UMNO Bahagian, AJK UMNO
cawangan-cawangan serta kelompok yang dekat dengan pimpinan UMNO saja.
Tidak ada rakyat biasa yang mahu hadir dan mendengar ceramah Ezam dan
rakan-rakannya dan ahli UMNO juga tidak bertambah hanya kerana ceramah
mereka. Lebih dari itu, tidak ada ahli PKR atau Pas yang keluar parti
dan menyertai UMNO disebabkan oleh Ezam, Nalla, Anuar Shaari dan Umi
Hafilda.
Mereka mungkin berjaya menjadi senator dan mengaut sedikit habuan
ekonomi tetapi sumbangan terbesar ialah kejayaan membesarkan lagi kubur
politik untuk Najib dalam PRU 13 ini.
No comments:
Post a Comment