Perdebatan mengenai dasar pendidikan percuma yang ditawarkan Pakatan
Rakyat merupakan satu perkembangan baik mutakhir ini. Keprihatinan
rakyat, terutamanya golongan pelajar dan orang muda mengenai masa depan
pendidikan tinggi di Malaysia memberi harapan ke arah masa depan negara
yang lebih cerah.
Dalam kehangatan perdebatan ini, ada pihak tidak bertanggungjawab
yang cuba memesongkan isu dengan memberi gambaran bahawa dasar
pendidikan percuma tersebut akan menyebabkan pembiayaan sara hidup (yang
kini diberikan melalui PTPTN) akan dihapuskan sama sekali.
Perbincangan mengenai mekanisme pembiayaan sara hidup pelajar selepas
PTPTN dihapuskan dan pendidikan percuma diperkenalkan telah dibuatkan
dengan terperinci di peringkat KEADILAN dan Pakatan Rakyat.
Sukacita saya menggariskan rangka kasar dasar pendidikan percuma
untuk menangkis dakyah pihak lawan bahawa peng
1) Pelaburan yang besar akan dibuat untuk menambah peluang pendidikan
tinggi di institusi awam, termasuklah pembinaan universiti teknikal
khusus bagi lepasan sekolah yang lebih berminat di dalam kemahiran
teknikal. Ini penting untuk mengimbangi jumlah tempat yang ditawarkan di
institusi awam berbanding institusi swasta, seterusnya mengelakkan
pergantungan kepada pendidikan tinggi berbayar di masa hadapan;
2) Yuran pengajian di institusi awam akan ditanggung sepenuhnya oleh
kerajaan. Kerajaan juga akan menyediakan elaun sara hidup untuk
menanggung kos sara hidup bagi pelajar-pelajar yang layak. Kelayakan
untuk menerima elaun sara hidup dikira berdasarkan tahap pencapaian
akademik dan latar belakang sosio ekonomi pelajar mengambil kira
tanggungan keluarga;
3) Bagi pelajar di institusi awam yang tidak memenuhi syarat untuk
menerima elaun sara hidup kerana datang dari keluarga berpendapatan
tinggi, mereka boleh memilih untuk membiayai sendiri elaun sara hidup
atau layak untuk memohon pinjaman elaun sara hidup dari satu tabung khas
untuk membiayai kos sara hidup dan pendidikan swasta yang akan
ditubuhkan kelak;
4) Bagi pelajar yang tidak mendapat tempat di institusi awam, mereka
boleh terus memohon untuk meminjam dari dana pembiayaan seperti yang
ditetapkan di dalam (3). Pembiayaan pendidikan akan meliputi yuran dan
kos sara hidup pada kadar yang ditetapkan, mengambil kira subsidi yuran
yang akan diberikan kerajaan sepadan dengan yuran purata bagi kursus
yang setara di institusi awam; dan
5) Pembiayaan untuk menampung elaun sara hidup dan
sebahagian yuran di IPTS seperti yang diterangkan di atas tidak akan
dikenakan sebarang faedah.
Prinsip ini akan digunapakai oleh Pakatan Rakyat untuk merangka
mekanisme khusus dalam melaksanakan dasar pendidikan percuma kelak. Ia
jelas menangkis dakyah pihak lawan bahawa dasar pendidikan percuma akan
merugikan pelajar Melayu/Bumiputra kerana ketiadaan pembiayaan sara
hidup.
Sebaliknya, dasar pendidikan percuma akan meluaskan akses kepada
pendidikan tinggi percuma kepada lebih ramai rakyat Malaysia pelbagai
kaum. Pada masa yang sama, ia menukar model pembiayaan pendidikan tinggi
yang kini terbukti menindas rakyat dan tidak dapat bertahan di masa
hadapan.
Saya menganggarkan peruntukan tambahan untuk menyediakan elaun sara
hidup, menanggung baki yuran yang kini dibayar pelajar dan menyediakan
subsidi yuran yang setara kepada pelajar di IPTS adalah sebanyak RM3
bilion setahun.
Persoalan pokok yang perlu dijawab oleh semua rakyat Malaysia adalah
sama ada kerajaan mampu menanggung peruntukan tambahan sebanyak RM3
bilion setahun ini.
Saya percaya penghapusan konsesi tol lebuhraya seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga akan
menjimatkan sebanyak RM5 bilion setiap tahun, kerana inilah wang
pampasan yang dibayar Barisan Nasional kepada pengendali konsesi
lebuhraya setiap tahun. Wang ini lebih dari cukup untuk menampung
peruntukan tambahan sebanyak RM3 bilion yang diperlukan untuk
menyediakan pendidikan percuma.
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
21 APRIL 2012
No comments:
Post a Comment