INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Monday, September 14, 2009

Malaysia wujud September 1937

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Rahmat Haron

Sejarah merupakan suatu bidang ilmu pengetahuan yang mendidik kita untuk belajar dari masa lalu. Mengulangi kesilapan masa lalu atau mengelakkannya, membuat kesalahan yang baru atau melahirkan kebenaran. Segalanya tergantung kepada kita, sejauh mana kita mendalami sejarah, menggali, mengkaji serta membanding-bandingkan sumbernya.

m1Tarikh 16 September nanti, dimaknakan kita sebagai mengingati harapan suatu pembaharuan dan pencerahan dalam pemerintahan Malaysia. Harapan yang menjadi gagasan betapa Malaysia perlu berubah menjadi lebih demokratik, kehakiman bebas, pilihanraya bersih, rasuah dihapus, adil tanpa kezaliman, bahagia alam dijaga, rakyat damai hidup bersama dan hak-hak asasi setiap warganya dihargai.

Malaysia yang ada hari ini, tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebuah projek kolonial Inggeris dan Amerika Syarikat (A.S). Jika United Malay National Organization alat penjajah Inggeris, maka suka atau tidak, Malaysia yang ada pada hari ini memang merupakan gagasan asing penjajahan bentuk baru empayar Amerika Syarikat untuk menggantikan empayar Inggeris pada awal abad ke 20.

Malaysia adalah hasrat Nusantara Melayu Raya yang gagal untuk menjadi kenyataan. Malaysia juga adalah Singapura dan Pulau Batu Puteh yang terlepas ke tangan PAP dan Lee Kuan Yew. Pada tarikh 16 September 1963 itu, Malaysia adalah Brunei yang gagal dijajah dengan cara baru oleh A.S, sebaliknya memilih kekal di bawah naungan Inggeris sehinggalah merdeka pada tahun 1984.

Penubuhan Malaysia adalah penindasan terhadap Parti Buruh dan Parti Rakyat (Barisan Sosialis) di Singapura serta Tanah Melayu (atau dirujuk Inggeris sebagai Malaya). Biarpun Barisan Sosialis memenangi Pilihanraya Majlis Tempatan untuk memilih ahli Pihak Berkuasa Tempatan pada tahun 1964.

Namun, itulah kali terakhir pilihanraya majlis tempatan diadakan, sebelum diharamkan kerajaan gerombolan Umno-Perikatan, pada tahun yang sama. Hampir kesemua Ahli Parlimen dan Adun Barisan Sosialis yang dipilih rakyat di tahan dibawah ISA. Malah ketua-ketua cawangan Parti Buruh dan ranting Parti Rakyat juga turut ditahan.

Negara pada waktu itu melakukan keganasan terhadap warganya dengan sewenang-wenangnya atas nama keselamatan dalam negeri. Waktu itu, tidak ada internet, tidak ada faks, tidak ada sms, tidak ada telefon bimbit. Jadi masyarakat dapat ditakut-takutkan dengan mudah kerana maklumat disekat dan pembohongan disebar luaskan pemerintah.

m2Sepanjang tahun-tahun 60 an dan 70an, ribuan pimpinan dan anggota Barisan Sosialis ditahan tanpa bicara dibawah ISA, atas alasan komunis. Saya berpeluang mengenali seorang insan yang merengkok selama lapan tahun dalam tahanan tanpa bicara ISA itu. Sewaktu dia ditahan, dia masih lagi seorang kanak-kanak berumur 14 tahun. Namanya Chong Ton Sin. Bayangkan, seorang kanak-kanak bawah umur itu membesar dan menghabiskan keseluruhan usia mudanya dibalik tembok dan jeriji besi kem tahanan tanpa bicara.

Di Singapura misalnya, Said Zahari ditahan tanpa bicara oleh Lee Kuan Yew selama 17 tahun, hanya setelah beberapa jam di lantik sebagai Ketua Umum Parti Rakyat Singapura. Tokoh-tokoh kiri Singapura seperti Said Zahari dan Lim Chin Siong beranggapan, “Singapura dari segi sejarahnya sudah menjadi sebahagian dari Tanah Melayu, maka tidak timbul soal Singapura masuk Malaysia.” Begitu juga orang seperti Presiden Pas, Dr. Burhanudin Al-Helmy yang ditahan kerana menolak gagasan Malaysia sebagai projek penjajahan bentuk baru (sering disebut neo-kolonialisme) oleh pemenang perang dunia ke-2, empayar baru Amerika Syarikat.

Berbalik kepada penubuhan Malaysia, ia merupakan perancangan licik kejam agen perisikan Amerika Syarikat C.I.A bersama Jenderal Suharto, untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Presiden Sukarno. Bermula dengan konfrontasi Malaysia - Indonesia, ia berakhir dengan pembunuhan beramai-ramai (genocide) hampir satu juta nyawa rakyat Indonesia dalam suatu rampasan kuasa berdarah Jenderal Suharto, pada tahun 1965-66 atas alasan memerangi ‘komunisme’.

Malaysia penting untuk membuktikan teori domino, suatu teori bodoh yang mengkhayalkan setelah Vietnam menjadi negara komunis, satu demi satu negara-negara Asia Tenggara akan menjadi negara komunis. Teori yang dikritik kewajaran ilmiah dan kewarasannya dalam buku Meniti Lautan Gelora, tulisan Said Zahari, bekas pengarang akhbar Utusan Melayu itu.m3

Kini di zaman langit maklumat dan pengetahuan terbuka luas, di abad ke 21 ini, kita semua telah tahu bahawa lagu Negaraku adalah irama Memula Moon. Atau bendera Jalur Gemilang merupakan ciplakan dari bendera Amerika Syarikat. Negara Liberia juga berkongsi jalur bendera yang sama seperti kita. Ini kerana Liberia merupakan negara yang dibentuk A.S buat bekas-bekas hamba abdi yang ingin pulang ke benua itu.

Malaysia sebagai hasrat A.S juga dapat kita rujuk pada buku ilmiah, “Malaysia: a study in direct and indirect rules,” karangan Rupert Emerson, profesor dari Universiti Havard merangkap penasihat dasar luar A.S. Buku yang terbit pada tahun 1937, dengan nada simpati dan kununnya mengkritik pentadbiran Inggeris itu, menjadi bukti betapa Malaysia, hanyalah gagasan asing tanpa akar tuntutan kemerdekaan masyarakat di sini.

Tahun 1937, kala rakyat di Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura belum lagi mengenal kata Malaysia. Di kala wilayahnya hanya dikenal sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu, Negeri-negeri Selat, Borneo - Sabah, Sarawak dan Brunei. Pada tahun 1937, kata Malaysia hanya di kenal, disebut, dibincang hanya dikalangan pemikir, pembuat dasar dan intelektual Amerika Syarikat saja.

Bagi Kesatuan Melayu Muda, pertubuhan politik yang pertama memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, mereka menngemukakan gagasan Melayu Raya. Memanglah Malaysia yang dihasratkan A.S itu masih tetap merupakan negara yang merdeka dari penjajahan Inggeris. Tetapi, ianya ibarat keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya.

m4Kita telah hidup terlalu lama dalam penjajahan, apapun bentuknya. Kita tidak boleh balik ke masa lalu. Kita boleh memilih pada hari ini, menjernihkan fikiran untuk bebas merdeka daripada penjajahan United Malay National Organization. Kita perlu belajar menjadi Malaysia yang baru dari semua kegagalannya.

Belajarlah dari sejarah, sila baca, rujuk, cari dan kaji buku dan dokumen penting ini:

  1. Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rules. Rupert Emerson. Terbitan Macmillan, New York, tahun 1937.

  2. Meniti Lautan Gelora, memoir politik Said Zahari. Terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, Utusan Publications & Distributors , 2001

  3. Foreign Relations, 1964-1968, Indonesia; Malaysia-Singapore; Philippines.Editor: Edward C. Keefer General Editor: David S. Patterson, United States Government Printing Office Washington, 2001. (klik capaian http://www.state.gov/r/pa/ho/frus/johnsonlb/xxvi/)

Ralat

tahun 1937, kala rakyat Tanah Melatu, bukan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya (dlm bhs Inggerisnya) wujud pada tahun 1957.

Tahun 1937, kala rakyat di Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura belum lagi mengenal kata Malaysia. Di kala wilayahnya hanya dikenal sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu, Negeri-negeri Selat, Borneo - Sabah, Sarawak dan Brunei. Pada tahun 1937, kata Malaysia hanya di kenal, disebut, dibincang hanya dikalangan pemikir, pembuat dasar dan intelektual Amerika Syarikat saja.

No comments:

There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews