INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Friday, September 25, 2009

Selamatkan Kg Tanjong Tokong - 2

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle


Satu demi satu kampung Melayu hilang atas nama pembangunan. Projek-projek pembangunan yang dilaksanakan atas tapak bekas perkampungan Melayu di Pulau Pinang disempurnakan oleh kedua-dua pihak, iaitu pemaju swasta dan agensi pemerintah atau syarikat berkaitan kerajaan.

Di kawasan bandar raya George Town, tiada lagi perkampungan Melayu dalam erti kata yang sebenar. Yang masih tegak tetapi tidak semestinya tidak akan rebah ialah beberapa buah kampung kecil seperti Kampung Makam (wakaf Sheikh Kassim) dan saki baki perkampungan Melayu di Tanjong Tokong.

Di mukim Kelawai, umpamanya, kampung Melayu termasuk yang berada di sepanjang pantai yang kini terkenal dengan Plaza Gurney, Hotel G, Hotel Gurney dan Hotel Evergreen Laurel telah lama berkubur.

Antara Kelawai dan Tanjong Bunga, kampung Melayu yang sebenarnya hanya wujud di Tanjong Tokong kerana beberapa buah kampung di Bagan Jermal, Bagan Atas dan Tanjong Tokong sendiri telah hilang ditelan pembangunan.


Kondo mewah di tepi pantai Tanjong Bunga ini pada asalnya sebuah penempatan atau kampung Melayu yang bergantung hidup sebagai nelayan. Kondo ini berharga satu juta ringgit ke atas dan tidak mampu di beli atau dimiliki oleh orang Melayu yang merupakan penduduk asal di situ.


Inilah wajah Kampung Haji Mahmood, Tanjong Tokong setelah ia dibersihkan daripada rumah-rumah kayu berbumbungkan atap nipah.


Inilah bangunan yang bakal menghiasi Kampung Haji Mahmood. Sebuah unit kondo mewah berharga tidak kurang daripada 850 ribu ringgit.

Kampung Melayu Tanjong Tokong adalah antara perkampungan Melayu yang awal wujud di Pulau Pinang. Semasa nakhoda kapal Syarikat Hindia Timur atau East India Company (EIC) bernama Francis Light mendarat di Tanjong Penaga (dekat Padang Kota Lama), kampung Melayu Tanjong Tokong sudah pun wujud. Ia bukan sebuah kampung yang dibuka selepas kedatangan Inggeris pada tahun 1786 tetapi jauh lebih awal. Ia adalah warisan bangsa.

Malangnya, atas nama pembangunan, satu demi satu kampung Melayu antara Kelawai dan Tanjong Bunga dilenyapkan. Kini nasib perkampungan Melayu Tanjong Tokong berada dihujung tanduk.

Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan untuk membangun semula Tanjong Tokong dan tugas itu diserahkan kepada UDA Holdings Bhd. Penduduk kampung dilabelkan sebagai setinggan sedangkan nenek moyang mereka telah menghuni perkampungan itu sejak 200 tahun lalu. Inilah nasib kampung-kampung Melayu di Pulau Pinang.

Musibah yang menimpa Kampung Buah Pala sebenarnya telah dialami jauh lebih awal oleh beberapa buah kampung Melayu termasuk di Ayer Itam, Kampung Rawa, Kampung Rawana, Jelutong, Sungai Nibong, Gelugor dan Bayan Lepas.

Pembangunan semula perkampungan Melayu Tanjong Tokong dikatakan akan menelan belanja 800 juta ringgit hingga satu bilion ringgit. UDA Holdings menjangkakan pembangunan semula itu akan dapat dilaksanakan antara lapan hingga 10 tahun dalam empat fasa, membabitkan pembangunan bercampur rumah kediaman dan unit-unit komersil. Keseluruhan projek pembangunan itu membabitkan kawasan seluas 30 hektar termasuk tanah pantai (laut) yang dipulih guna.

Cadangan pembanguna semula itu membabitkan 870 keluarga yang akan dan telah dipindahkan ke penempatan sementara secara berperingkat. Menurut laporan media, 250 keluarga telahpun dipindahkan pada tahun 2007 yang membolehkan fasa pertama projek berkenaan dimulakan.

Yang pasti, pembangunan semula perkampungan Melayu Tanjong Tokong akan sekali gus melenyapkan sebuah kampung tersusun yang menjadi lambang warisan Melayu Pulau Pinang kerana kampung-kampung lain dalam kawasan bandar raya dan pinggir bandar sudah menjadi sejarah.

Setiap kali pulang ke Pulau Pinang, saya dan isteri pasti ke Tanjong Tokong awal pagi untuk membeli kuih-muih Melayu. Inilah salah satu keistimewaan kampung Melayu Tanjong Tokong, iaitu mengekalkan penghasilan kuih tradisional Melayu.

Tanjong Tokong melahirkan beberapa tokoh yang berjasa kepada negara seperti pejuang kemerdekaan dan tokoh wartawan yang tidak didendang, Allahyarham Ibrahim Mahmood (Kampung Haji Mahmood sempena nama bapanya), Allahyarham Datuk Mohamad Sopiee Sheikh Ibrahim (sebatang jalan di kampung itu dinamakan sempena nama bapanya) dan anaknya Allahyarham Tan Sri Dr Nordin Sopiee, dan mantan datuk bandar KL Tan Sri Elyas Omar.

Penduduk Tanjong Tokong bukan menentang pembangunan tetapi mereka mahu mengekalkan satu-satunya kampung Melayu yang tersusun yang masih wujud dalam kawasan bandar. Kampung Melayu Tanjong Tokong adalah warisan bangsa, warisan negeri dan warisan negara.

Kita bimbang nasib yang menimpa satu-satunya perkampungan masyarakat India/Tamil di Pulau Pinang, iaitu Kampung Buah Pala, akan menimpa sebuah lagi kampung Melayu. Apakah tidak cukup pengorbanan perkampungan Melayu selama ini? Apakah sukar untuk mengekalkan sebuah kampung yang benar-benar kampung tradisional Melayu Pulau Pinang?

Nampaknya begitu. Arah aliran pembangunan di Pulau Pinang yang melibatkan pembangunan kediaman pencakar langit terutama kondo mewah kini sudah menular ke kampung-kampung Melayu di Bayan Lepas, Teluk Kumbar, Teluk Tempoyak, Batu Maung dan seterusnya akan merebak ke Balik Pulau.

Di Bayan Lepas, beberapa buah kampung termasuk yang berjiran dengan kampung kelahiran mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Haji Ahmad sudahpun hilang dan digantikan dengan pangsapuri dan kondo mewah.

Bukit-bukau turut ditarah termasuk yang menghadap laut di antara Tanjong Bunga dan Telok Bahang. Semasa membesar di Pulau Pinang, saya tidak pernah mendengar apatah melihat tanah runtuh di Tanjong Bunga hingga ke Telok Bahang. Sekarang ia menjadi kenyataan akibat daripada pembangunan kediaman mewah atas bukit.

Berbalik kepada pembangunan semula Tanjong Tokong, UDA Holdings akan menukar wajah kampung Melayu kepada dua buah projek yang dinamakan Warisan Tanjung (tak tahu pula saya warisan apa yang dimaksudkan sedangkan warisan sebenar dihapuskan) yang akan mengandungi 15 blok rumah pangsa lima tingkat (1,350 unit) dan sebuah bangunan komersil
.

Perlu diingatkan pembangunan rumah pangsa lima tingkat tidak perlu disediakan lif. Ya, orang Melayu cukup gagah untuk memanjat tangga, barangkali itulah sebabnya didirikan rumah pangsa lima tingkat. Atau, itulah bentuk kediaman yang sesuai didiami oleh orang Melayu.

Projek kedua yang akan dimajukan atas tapak pulih guna (tambak laut) dinamakan Tanjung West, akan mengandungi rumah pangsa berharga sederhana rendah, pangsapuri, kondo dan bangunan komersil. Ia membabitkan kawasan seluas 16.6 hektar.

Episod Kampung Buah Pala sudahpun di penghujung jalan dan penduduk kena akur dengan kehendak undang-undang, sama ada ianya betul atau sebaliknya, kini nasib penduduk kampung Melayu Tanjong Tokong yang cuba mempertahankan warisan datuk nenek mereka sedang diuji dan kita boleh menjangkakan apa yang menimpa penduduk Kampung Buah Pala akan berulang di Tanjong Tokong.

Pulau Pinang bandar baharu

Kapten Light menjadi raja,

jika dikenang nasib Melayu

tentu menitis si air mata.

Inilah serangkap pantun lama warisan Melayu Pulau Pinang yang saya ubah sedikit (nasib Melayu) untuk menyesuaikan dengan keadaan semasa.

Oleh Syed Imran.

sumber dari din Binjai

No comments:

There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews