|
|
KUALA LUMPUR 1 Okt. - Pengimport dan pengedar tunggal kenderaan Peugeot, Nasim Sdn. Bhd., menyasar jualan sebanyak 8,000 buah pada tahun depan dengan jangkaan model terbaru Peugeot 207 sebagai paling laris dalam rangkaian produk.
Model 207 yang bakal dilancarkan November ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka dijual pada harga yang paling kompetitif setanding dengan kereta buatan Jepun dalam kelasnya.
"Harga yang ditawarkan adalah cukup menarik dan setanding dengan kereta buatan Jepun yang mana pembeli tidak akan rugi kerana akan memiliki sebuah kereta berteknologi Eropah pada harga kereta Jepun," kata Ketua Pegawai Operasi Nasim Sdn. Bhd., Samson Anand George sempena lawatan media ke kilang Naza Automotive Manufacturing di Gurun, Kedah baru-baru ini.
Peugeot 207 atau nama kodnya T33 merupakan sebuah kereta sedan empat pintu dan memiliki pelbagai ciri-ciri menarik sebagaimana yang ditawarkan kepada model-model Peugeot sebelumnya.
Walaupun dipasang secara terurai di mana komponennya dibawa dari Perancis dan China, ia masih mengekalkan kualiti dan standard antarabangsa yang ketat yang mana beberapa jurutera Peugeot ditempatkan di kilang itu bagi memastikan ia memenuhi spesifikasi yang diperlukan.
Menurut Anand George, pihaknya menyasar menjual 5,000 hingga 6,000 buah kereta sedan baharu itu pada tahun depan dengan 30 peratus daripada jualan itu adalah eksport ke negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Beliau berkata, terdapat banyak kereta jenama Eropah yang mula mencatatkan kemajuan di negara ini ketika ini.
"Dengan cadangan nilai Peugeot dan peletakan jenama yang kami cipta, saya yakin kami akan berjaya mencapai sasaran kami tahun depan," katanya.
Walaupun syarikat itu mungkin tidak mencapai paras jualan awal 3,800 buah tahun ini, ia tetap yakin dengan prospeknya pada masa depan.
"Kami menjangka mencapai sekurang-kurangnya 3,400 hingga 3,500 berikutan ketiadaan stok dan model tertentu, terutamanya model yang baru dilancar 3008.
"Selain itu, kami masih mempunyai 1,000 kereta yang masih lagi belum dihantar kepada pembeli," kata Anand George.
Ketika ini, syarikat itu sedang dalam perancangan membuka tiga lagi pusat 3S (Jualan, Servis dan Alat-Alat Ganti) dengan jumlah kos RM15 juta.
"Pada dasarnya, kami mahu menubuhkan pusat 3S di setiap pasaran utama di negara ini."
Setakat ini, syarikat itu telah merangkumi 80 peratus daripada semua pasaran utama dalam negara dengan 20 pusat di seluruh negara.
Syarikat itu juga menjangka memperuntukkan kira-kira RM8 juta bagi pengiklanan dan aktiviti promosi pada akhir tahun.
Baru-baru ini Nasim memeterai Memorandum Persefahaman dengan Peugeot untuk memasang sedan segmen-C T73 di kilang Naza Automotive Manufacturing di sini.
"Kami berharap dapat melancarkan T73 pada 2012, dan tahun depan kami akan melancarkan tiga lagi model yang akan menjadi kenderaan pelbagai guna (MPV), dan dua lagi kereta berorientasikan gaya hidup pasaran khusus," katanya.
Dengan sokongan kilang pemasangan di Gurun, syarikat itu merancang lebih banyak aktiviti pada masa depan.
No comments:
Post a Comment