INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Wednesday, August 26, 2009

Menilai Semula PRU Kecil Permatang Pasir

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle


oleh Amin Ahmad


Saya dijemput Astro Awani untuk bersama saudara Ibrahim Suffian, Pengarah Merdeka Center dan Prof. Madya Fuad, pensyarah Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membincangkan keputusan Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir. Ini kali kedua saya membincangkan isu Pilihan Raya Kecil selepas Manik Urai. Saya tidak berpeluang ke lapangan, berbeza dengan dua panelis jemputan lain.

Keputusan penuh telah diperolehi seawal pukul 7.30 petang, saat kami sedang berbuka puasa. Umum telah maklum bahawa calon PAS-Pakatan Rakyat (PR), saudara Salleh Man kini adalah Yang Berhormat selepas menewaskan calon UMNO-Barisan Nasional (BN), saudara Rohaizat dengan majoriti 4451. Jumlah majoriti ini merosot sekitar 900 undi dengan peratusan pemilih turun mengundi juga signifikan dengan jumlah penurunan yang berlaku. Saya difahamkan UMNO-BN berjaya mengekalkan kubunya iaitu sekitar 5000 pengundi mereka di Permatang Pasir.

Justeru, saya fikir keputusan Permatang Pasir adalah satu status quo atau dalam kata mudah – tidak ada perubahan signifikan yang berlaku.

Sepanjang kempen, UMNO-BN dilihat defensif selepas pendedahan isu calonnya telah dilucutkan kelayakan menjadi peguam berikutan firmanya terlibat dalam penipuan Koperasi Pekebun Getah yang membabitkan jumlah wang sekitar RM160 ribu. Pendedahan ini didokong oleh kenyataan Majlis Peguam namun dinafikan oleh Rohaizat dan dipertahankan penafian ini oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menurut mereka, Rohaizat adalah mangsa rakan kongsinya.

UMNO-BN semakin defensif apabila rakan kongsi Rohaizat, saudara Yusri Isahak tampil membela diri. Bermula saat itu, kempen bertukar kepada serangan peribadi, namun ternyata ia signifikan dalam konteks sosio-budaya Malaysia terutama sekitar 72.5% pengundi Melayu di sana. Bertambah parah selepas itu, Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Tantawi pula tampil mendedahkan bahawa Rohaizat mempunyai isteri kedua di Pahang dan dibiar seakan bergantung tidak bertali. Kisah ini lebih hebat terutama selepas penafian Rohaizat, namun cukuplah saya menyatakan itu.

Sebagai anak muda, saya fikir kempen berbentuk serangan peribadi tentulah sesuatu yang kami mahu dielakkan. Namun, suka atau tidak, sekurang-kurangnya dalam konteks Malaysia, karakter peribadi menentukan tahap kebolehpercayaan rakyat untuk memberi amanah kepada mereka sebagai Wakil Rakyat. Tengku Razaleigh dalam komentarnya seakan terkejut kerana UMNO-BN seolah-olah tidak membuat tapisan sebelum Rohaizat diumumkan menjadi calon.

Kekalahan Rohaizat memang telah dijangka ramai tetapi ramai mahu melihat jika ada perubahan signifikan untuk diambil sebagai landasan menentukan politik baru Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-13. Dari satu segi, UMNO-BN mungkin boleh mengatakan kemerosotan 900 majoriti PAS-PR adalah satu petunjuk baik mengambil kira sifat defensif mereka. UMNO-BN juga boleh beralasan bahawa Permatang Pasir adalah kubu kuat PAS-PR. Kemerosotan undi PAS-PR sekitar 1300 undi manakala UMNO-BN pula merosot sekitar 500 undi.

Dalam mana-mana Pilihan Raya, untuk saya sekurang-kurangnya ada 3 faktor perlu diberi perhatian oleh sesiapa yang mahu bertanding (individu atau parti politik) iaitu:

  1. Faktor calon.
  2. Faktor isu – setempat atau nasional.
  3. Faktor komunikasi.

Saya fikir, dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir, budaya demokrasi belum benar-benar jelas kelihatan. Saya berpegang kepada pendapat bahawa Pilihan Raya yang baik ialah sebuah Pilihan Raya di mana sukar kita menentukan secara pasti siapa yang akan menang. Sejak Mac 2008, peluang untuk menikmati Pilihan Raya jenis ini kian terbuka dan saya melihat keputusan Pilihan Raya di Manik Urai sebelum ini adalah satu petunjuk. Dengan wujudnya ketidakpastian ini, pengundi akan berpeluang menilai calon secara peribadi, bukan lagi lambang yang mereka wakili. Mereka yang mahu bertanding juga akan lebih fokus untuk memikiran strategi dan ketrampilan yang berupaya memenangi hati pengundi.

Kenapa kita sukar menemukan perkara ini?

Pada pendapat saya, ia berpunca daripada larutnya majoriti pengundi dalam kempen bandwagon kepartian. Ia ditunjukkan dalam bentuk yang buruk misalnya ada pendapat tentang “takut kerajaan” sama ada dalam bentuk hilang pekerjaan atau ada kesukaran-kesukaran lain. Bukankah yang baik untuk rakyat itu tanggungjawab siapa yang menang tidak kira mewakili parti mana pun? Bukankah bila rakyat telah membuat keputusan maka ia harus dihormati dan tidak ada diskriminasi dalam bentuk apa pun untuk menafikan mereka mendapat layanan sebagai warganegara?

Dalam kes Permatang Pasir, sangat sedikit kita mendengar isu-isu setempat diketengahkan. Ia menjadi semakin lemah apabila kuasa ketiga iaitu badan bebas atau jika boleh kita sebut sebagai masyarakat madani itu hampir tidak kelihatan.

Kenapa hampir tidak kelihatan?

Bukan tidak ada! Jika ada, sama ada mereka mengambil sikap yang jelas atau ada yang takut-takut untuk menonjolkan asosiasi mereka kepada ‘dua gajah yang sedang bergaduh’ – takut menjadi pelanduk yang mati di tengah-tengah. Badan bebas boleh memainkan banyak peranan menyuntik kesederhanan politik di kalangan parti bertanding dan memastikan isu-isu setempat mengambil tempat yang wajar di pentas persaingan.

Dalam kata lain, arus maklumat untuk membantu pengundi membuat keputusan adalah terhad. Ia berpunca daripada ketatnya cengkaman terhadap media dan wujud persekitaran tidak sihat dalam proses demokrasi Malaysia. Media kita saban tahun masih ditahap tidak bebas, malah statistik terkini menunjukkan media kita merosot kedudukannya meskipun ada sedikit peningkatan dari segi ratingnya.

Kuasa media bebas seperti internet ternyata terhad di Permatang Pasir. Kuasa internet ternyata membantu semua pihak untuk membuat komentar bebas dan berani sebagai tandingan kepada parti politik untuk mempengaruhi rakyat.

Bagi saya, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khusus antaranya:

  1. Dakwaan pengundi hantu: ini melibatkan sistem Pilihan Raya itu sendiri. Saya kekal bersetuju bahawa dakwat kekal perlu diperkenalkan untuk melonjakkan integriti dalam pemilihan. Wakil rakyat harus benar-benar dipilih oleh rakyat! Memandangkan kedua-dua pihak pernah bersuara tentang masalah ini, adalah lebih baik kedua-dua pihak duduk bersama menilai daftar pemilih dan membuat pembetulan yang berkesan. Ini melibatkan kedaulatan negara! SPR sendiri perlu berani dibebaskan dan ditubuhkan sebagai Suruhanjaya Diraja bagi memastikan keyakinan rakyat kepada institusi kenegaraan dipulihkan.
  2. Penyertaan bermakna rakyat: Kebebasan media mesti dijamin agar rakyat boleh membuat pilihan yang lebih baik. Saya akan menulis bab lain tentang peranan kebebasan media dan kaitannya dengan kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik dan sosial.
  3. Kawasan Emas: Saya kira ini dakwaan yang memalukan. Rakyat sudah tidak mahu dilayan mengikut kelas-kelas tertentu mengikut citarasa ahli politik. Siapa menang bukan soal bagi rakyat. Rakyat mahukan kehidupan yang lebih baik dengan layanan adil untuk semua. Diskriminasi tidak harus berlaku sama ada dalam bentuk kawasan atau manusia. Layan rakyat kerana penjawat awam dan ahli politik yang membentuk kerajaan dibayar dengan wang rakyat.

Sebab itu, sebelum ke Bursa Malaysia, bangunan di mana Astro Awani ditempatkan, saya bertanya di ruang status Facebook saya – “apa yang difahami dengan perlunya proses Pilihan Raya?”.

Pilihan Raya adalah kaedah yang kita percaya sebagai langkah terbaik melibatkan rakyat dalam proses pemilihan WAKIL Rakyat. Apabila mereka dipilih, itu tidak bermakna rakyat menyerahkan segalanya tentang hidup mereka kepada WAKIL ini untuk penggal mereka dipilih. Demokrasi memang bermaksud ‘kerajaan majoriti’, tetapi demos dan kratos sebagai kata akar yang membinanya juga memaksudkan ‘kuasa rakyat’. Milton Friedman, dalam satu kritiknya pernah menyatakan bahawa demokrasi ada kecacatannya iaitu tahap penguasaan manusia terhadap sesuatu perkara adalah terhad. Sambil saya bersetuju dengan beliau, saya juga menolak cubaan menjadikan Pilihan Raya sebagai undang-undang pengetahuan (rule of knowledge) ciptaan Socrates.

Dalam politik moden, muncul istilah ‘tyranny of the majority’ (kezaliman majoriti). Justeru, muncullah apa yang disebut fundamental liberties atau kebebasan asasi untuk menjamin apa yang disebut ‘minority rights’ (hak-hak minoriti).

Di Malaysia, kita hampir tidak berminat mengambil tahu konsep-konsep demokrasi yang terevolusi sambil berinteraksi dengan kepelbagaian kompleksiti isu yang terus bergerak. Ia berbeza apabila muslim terutamanya menjadi minoriti di negara-negara yang diperintah oleh orang bukan Islam. Kecenderungan take for granted (menerima segalanya dengan mudah) menjadikan kita tidak segan silu mengabaikan hak kemanusiaan kepada semua manusia dan bagaimana menguruskan isu berasaskan konsep persamaan di mata hukum (equality before the law).

Tanpa memahami demokrasi, Pilihan Raya pincang dan ia tidak lebih daripada menjadi alasan bahawa demokrasi berlaku walhal ia telah bertukar menjadi medan kita mengundi TUAN sambil memperakukan bahawa kitalah ABDI kepada mereka yang dipinjamkan kedudukan buat sementara waktu.

Marilah kita berfikir bagaimana mahu menjadi seorang negarawan, bukan ahli politik murahan. Untuk mengkritik ketidakadilan, cukup dengan kesedaran. Untuk menegakkan keadilan, kita perlukan kesedaran, kejujuran, kebijaksanaan dan keberanian.

Rakyat mesti berani ‘memaksa’ budaya politik baru di Malaysia dengan lebih kuasa kepada rakyat agar dapat setuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) secara aman. Komunikasi politik kita masih lemah – berlegar sekitar persoalan parti mana, bukan apa yang dibawa oleh parti tersebut secara tuntas. Kita masih berlegar soal kulit – tentang bangsa dan agama. Kita masih segan masuk ke perincian apa yang dikatakan ciri pemerintahan berteraskan bangsa atau agama itu.

Kita masih membiarkan parti-parti politik memberi alasan untuk membenarkan calon yang lemah dan dasar yang buruk. Mereka melindungi kelemahan ini atas tema bangsa dan agama sedangkan kita sememangnya faham bahawa tidak ada istilah lemah dan buruk pada dasar yang mahu disandarkan kepada entiti-entiti ini. Sejak bila ketidakadilan boleh dinafikan atas nama bangsa? Sejak bila kelemahan harus dibenarkan atas nama agama?

Kita rakyat Malaysia, bukan rakyat Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat!



1 comment:

Din Binjai said...

cetusan jiwa merdeka..sedap di dengar..tetapi jadilah jiwa yg benar-benar merdeka..apa makna merdeka..merdeka bermakna membebaskan diri kita dari bersifat hamba..kita bebas..kita merdeka dalam kalimah tauhid..anda bukan seorang pelajar lagi..tetapi bekas seorang pelajar terpelajar..bebaskan diri anda..jadilah seorang insan yg benar-benar merdeka...sekadar renungan..

There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews