PEMBANGUNAN sukan pada asasnya perlu didokong dengan
bantuan kewangan yang kukuh daripada kerajaan atau pun penajaan kewangan
daripada pihak swasta. Jika kita meneliti acara sukan besar dalam
negara seperti SUKMA, Liga Super/Premier, Liga Hoki dan sebagainya, ia
mendapat penajaan besar daripada syarikat swasta. Mengambil contoh
pasukan bola sepak Kelantan, perubahan kepimpinan Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA) dan sokongan penajaan besar daripada pihak swasta telah
mengubah senario bola sepak Kelantan daripada pasukan bawahan di Liga
Premier kini menjadi jogaan bola sepak di Liga Malaysia.
Bola Sepak adalah sukan paling diminati di seluruh dunia dan termasuk
juga di Malaysia. Peminat bola sepak tanahair pula sudah semestinya mahu
melihat pasukan negeri masing-masing berjaya di peringkat Liga Malaysia
dan Piala Malaysia. Manakala di pentas antarabangsa, harapan tinggi
peminat bola sepak tanahair tentunya digalas berat oleh pasukan
kebangsaan " Harimau Malaya " untuk mengecap kejayaan gemilang buat bola
sepak negara.
Tetapi sukan bola sepak yang kini rancak berlangsung melalui kempen
Piala Malaysia disentap dengan isu "Pilih Bola Sepak atau masjid?" di
negeri Selangor. Polemik “ Bola Sepak atau Masjid “ ini timbul dek
kerana jawapan balas daripada MB Selangor, TS Khalid Ibrahim terhadap
soalan kritikan oleh Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohd Sany
Hamzan berhubung kekurangan penajaan Menteri Besar Incorporated (MBI)
terhadap pasukan bola sepak Selangor dan kemerosotan pasukan Selangor di
kempen Piala Malaysia.
Selain itu, penghijrahan pemain bintang Selangor seperti Amri Yahyah,
Mahali Jasuli dan Asraruddin Putra pada musim Liga Malaysia akan datang
ke pasukan lain seperti Johor DT juga dibimbangi oleh peminat bola
sepak Selangor jika tidak ditangani cepat usaha penambahan dana dan
perubahan kepimpinan pentadbiran Persatuan Bola sepak Selangor.
Agak melucukan apabila melihat jawapan seorang Menteri Besar yang juga
Presiden FAS ( Persatuan Bola Sepak Selangor) membandingkan peruntukan
bola sepak dengan kos pembinaan masjid yang baru. Mana mungkin dua
entiti berbeza yakni sukan (bola sepak) dibandingkan dengan agama
(Masjid) dalam membuat penilaian pemberian peruntukan kewangan.
Peruntukan kewangan untuk pembinaan atau program di masjid sudah
pastinya mempunyai peruntukan tetap setiap tahun dalam Belanjawan Negeri
dan ia tidak perlu dipersoalkan. Tetapi, apabila perbandingan dibuat
antara peruntukan sukan bola sepak dan masjid seolah-olah menampakkan
jawapan sinis terhadap soalan tersebut oleh MB Selangor. Entiti masjid
dipilih oleh MB Selangor untuk perbandingan ternyata mengejutkan semua
pihak.
Mungkin apa tersirat melalui jawapan ini adalah isyarat jelas kepada
Pemuda Pas adalah usah campur tangan atau ambil peduli akan isu yang
tidak berkaitan dengan perjuangan PAS di negeri Selangor, hanya perlu
tumpu pada hal ehwal agama dan mengimarahkan masjid.
Ekoran polemik ini hangat di dada media internet, ia menarik perhatian
Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAINS) tampil memberi
penjelasan kepada media bahawa peruntukan pembinaan masjid oleh
kerajaan negeri bukan diberikan melalui MBI tetapi melalui Jabatan Agama
Islam Selangor (JAIS). Ini merupakan jawapan pukulan KO kepada TS
Khalid Ibrahim oleh MAINS selepas dikritik kiri dan kanan oleh Pemuda
Pas , AMK Selangor dan “Giant Politician” seperti YB Azmin Ali dan YB
Khalid Samad.
RM7 juta peruntukan tahunan kepada FAS oleh penajanya MBI ditafsir MB
CEO di Selangor terlalu banyak dan ia adalah pembaziran kepada dana
kerajaan negeri. Perlu diingat peruntukan tersebut bukan hanya untuk
pasukan utama Selangor yang bermain di Liga Super sahaja malah Piala AFC
pada tahun hadapan yang turut disertai Selangor. Selain itu, peruntukan
juga turut disalur kepada pasukan bola sepak Piala Presiden dan
pembangunan bola sepak diperingkat remaja. Jika TS Khalid merasakan MBI
tidak mampu memberi peruntukan yang banyak maka penaja baru perlu
diganti atau ditambah bilangan penaja bersama. Pasukan bola sepak
Selangor dahulu pernah ditaja oleh pihak swasta seperti KDEB, Gapurna
dan Puncak Niaga (Syabas).
Soal pokok di sini ialah kebijaksanaan pengurusan FAS yang diterajui TS
Khalid Ibrahim sendiri dalam pentadbiran dan pembangunan bola sepak
Selangor. Kejayaan sesebuah pasukan negeri sebagai contoh Kelantan
adalah kerana kepimpinan TS Annuar Musa yang membawa pemain bintang dan
sokongan tajaan besar daripada syarikat swasta. Manakala prestasi
Selangor pula merudum di kempen Piala Malaysia sehingga menyebabkan
Jurulatih, Irfan Bakti meletak jawatan selepas 3 perlawanan berlangsung
ekoran kemarahan peminat yang tewas pada kelab bawahan. Jangan hanya
jadi Presiden Persatuan Bola Sepak yang datang ke stadium untuk
pelawanan akhir Piala Malaysia atau Piala FA bagi menjulang piala
sahaja.
Kebimbangan dan teguran anak muda melalui Pemuda Pas atau AMK Selangor
terhadap isu ini sewajarnya dinilai dengan baik dan tidak cepat melatah
oleh TS Khalid Ibrahim. Peminat bola sepak juga adalah rakyat Selangor
dan kepedulian mereka terhadap prestasi pasukan Selangor seharusnya
dihargai. Selangor perlu belajar daripada Kedah yang dahulu jogaan bola
sepak negara di Liga Super kini bermain di Liga Premier sewaktu
kepimpinan KFA oleh Mantan Menteri Besar, Arwah TS Azizan Razak ekoran
faktor kewangan dan kepimpinan pengurusan pasukan.
Pemahaman terhadap kepentingan sukan terutama bola sepak pada kacamata
rakyat perlu difahami oleh Menteri Besar dan bukannya sebagai CEO. Sukan
sudah tentu sukar untuk dinilai kejayaannya dalam bentuk wang Ringgit
samada untung atau rugi kerana kebanyakan sumbernya daripada penajaan
dan jualan tiket. Namun begitu, sukan bola sepak seharusnya dinilai
sebagai medium perpaduan rakyat, aktiviti hidup rakyat dan pembangunan
ketamadunan sebuah negeri atau negara.
Ikhwan Hafiz adalah Alumnus Akademi Pak Sako dan Sekolah Politik IKD.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik
dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar
Harian Online.