INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Wednesday, October 23, 2013

Pilih bola sepak atau masjid ? - TS Khalid Ibrahim

 


PEMBANGUNAN sukan pada asasnya perlu didokong dengan bantuan kewangan yang kukuh daripada kerajaan atau pun penajaan kewangan daripada pihak swasta.  Jika kita meneliti acara sukan besar dalam negara seperti SUKMA, Liga Super/Premier, Liga Hoki dan sebagainya, ia mendapat penajaan besar daripada syarikat swasta. Mengambil contoh pasukan bola sepak Kelantan, perubahan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan sokongan penajaan besar daripada pihak swasta telah mengubah senario bola sepak Kelantan daripada pasukan bawahan di Liga Premier kini menjadi jogaan bola sepak  di Liga Malaysia.

Bola Sepak adalah sukan paling diminati di seluruh dunia dan termasuk juga di Malaysia. Peminat bola sepak tanahair pula sudah semestinya mahu melihat pasukan negeri masing-masing berjaya di peringkat Liga Malaysia dan Piala Malaysia. Manakala di pentas antarabangsa, harapan tinggi peminat bola sepak tanahair tentunya digalas berat oleh pasukan kebangsaan " Harimau Malaya " untuk mengecap kejayaan gemilang buat bola sepak negara.

Tetapi sukan bola sepak yang kini rancak berlangsung melalui kempen Piala Malaysia disentap dengan isu "Pilih Bola Sepak atau masjid?" di negeri Selangor.  Polemik “ Bola Sepak atau Masjid “ ini timbul dek kerana  jawapan balas daripada MB Selangor, TS Khalid Ibrahim terhadap soalan kritikan oleh Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohd Sany Hamzan berhubung kekurangan penajaan Menteri Besar Incorporated (MBI) terhadap pasukan bola sepak Selangor dan kemerosotan pasukan Selangor di kempen  Piala Malaysia.

Selain  itu, penghijrahan pemain bintang Selangor  seperti Amri Yahyah, Mahali Jasuli dan Asraruddin Putra pada musim Liga Malaysia akan datang ke pasukan lain seperti Johor DT juga dibimbangi oleh peminat bola sepak Selangor  jika tidak ditangani cepat usaha penambahan dana dan perubahan kepimpinan pentadbiran Persatuan Bola sepak Selangor.

Agak melucukan apabila melihat jawapan seorang Menteri Besar yang juga Presiden FAS ( Persatuan Bola Sepak Selangor) membandingkan peruntukan bola sepak dengan kos pembinaan masjid yang baru. Mana mungkin dua entiti berbeza yakni sukan (bola sepak) dibandingkan dengan agama (Masjid) dalam membuat penilaian pemberian peruntukan kewangan.

Peruntukan kewangan untuk pembinaan atau program di masjid sudah pastinya mempunyai peruntukan tetap setiap tahun dalam Belanjawan Negeri dan ia tidak perlu dipersoalkan. Tetapi, apabila perbandingan dibuat antara peruntukan sukan bola sepak dan masjid seolah-olah menampakkan jawapan sinis terhadap soalan tersebut oleh MB Selangor. Entiti masjid dipilih oleh MB Selangor untuk perbandingan ternyata mengejutkan semua pihak.

Mungkin apa tersirat melalui jawapan ini adalah  isyarat jelas kepada Pemuda Pas adalah usah campur tangan atau ambil peduli akan isu yang tidak berkaitan dengan perjuangan PAS di negeri Selangor, hanya perlu tumpu pada hal ehwal agama dan mengimarahkan masjid.

Ekoran polemik ini hangat di dada media internet, ia  menarik perhatian Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAINS) tampil memberi penjelasan kepada media bahawa peruntukan pembinaan masjid  oleh kerajaan negeri bukan diberikan melalui MBI tetapi melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Ini merupakan jawapan pukulan KO kepada TS Khalid Ibrahim oleh MAINS selepas dikritik kiri dan kanan oleh Pemuda Pas , AMK Selangor dan “Giant Politician” seperti YB Azmin Ali dan YB Khalid Samad.

RM7 juta peruntukan tahunan kepada FAS oleh penajanya MBI ditafsir  MB CEO di Selangor terlalu banyak dan ia adalah pembaziran kepada  dana kerajaan negeri.  Perlu diingat peruntukan tersebut bukan hanya untuk pasukan utama Selangor yang bermain di Liga Super sahaja malah Piala AFC pada tahun hadapan yang turut disertai Selangor. Selain itu, peruntukan juga turut disalur kepada  pasukan bola sepak Piala Presiden dan pembangunan bola sepak diperingkat remaja. Jika TS Khalid merasakan MBI tidak mampu memberi peruntukan yang banyak maka penaja baru perlu diganti atau ditambah bilangan penaja bersama.  Pasukan bola sepak Selangor dahulu pernah ditaja oleh pihak swasta seperti KDEB, Gapurna dan Puncak Niaga (Syabas).

Soal pokok di sini ialah kebijaksanaan pengurusan FAS yang diterajui TS Khalid Ibrahim sendiri dalam pentadbiran dan pembangunan bola sepak Selangor. Kejayaan sesebuah pasukan negeri sebagai contoh Kelantan adalah kerana kepimpinan TS Annuar Musa yang membawa pemain bintang dan sokongan tajaan besar daripada syarikat swasta. Manakala prestasi Selangor pula merudum di kempen Piala Malaysia sehingga menyebabkan Jurulatih, Irfan Bakti meletak jawatan selepas 3 perlawanan berlangsung ekoran kemarahan peminat yang tewas pada kelab bawahan. Jangan hanya jadi Presiden Persatuan Bola Sepak yang datang ke stadium untuk pelawanan akhir Piala Malaysia atau Piala FA bagi menjulang piala sahaja.

Kebimbangan dan teguran anak muda melalui Pemuda Pas atau AMK Selangor terhadap isu ini sewajarnya dinilai dengan baik dan tidak cepat melatah oleh TS Khalid Ibrahim. Peminat bola sepak juga adalah rakyat Selangor dan kepedulian mereka terhadap prestasi pasukan Selangor seharusnya dihargai. Selangor perlu belajar daripada Kedah yang dahulu jogaan bola sepak negara di Liga Super kini bermain di Liga Premier sewaktu kepimpinan KFA oleh Mantan Menteri Besar, Arwah TS Azizan Razak ekoran faktor kewangan dan kepimpinan pengurusan pasukan.

Pemahaman terhadap kepentingan sukan terutama bola sepak pada kacamata rakyat perlu difahami oleh Menteri Besar dan bukannya sebagai CEO. Sukan sudah tentu sukar untuk dinilai  kejayaannya dalam bentuk wang Ringgit samada untung atau rugi kerana kebanyakan sumbernya daripada penajaan dan jualan tiket. Namun begitu, sukan bola sepak seharusnya dinilai sebagai medium perpaduan rakyat, aktiviti hidup rakyat dan pembangunan ketamadunan sebuah negeri atau negara.

Ikhwan Hafiz adalah Alumnus Akademi Pak Sako dan Sekolah Politik IKD.



* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews