Buddhi Hekayat dan trofi AJL 26
oleh @IkhwanHafiz
"Dalam berkarya apa yang menjadi keutamaannya ialah menyampaikan mesej berunsur kemanusiaan dan mampu memberi kebahagiaan kepada orang lain yang mendengarnya."
Seni masih lagi medium terbaik untuk saya menyampaikan mesej kemanusiaan” – Buddhi Hekayat
Akademi Pak Sako semalam telah mengadakan sesi Tweet Up @Sembang Seni bersama Buddhi Hekayat @Hasmi Hashim di NZ Garden berhadapan menara pencakar langit, KLCC yang bermula pada jam 8.30pm sehingga 12.00am. Program Sembang Seni ini diadakan bertujuan untuk meraikan kejayaan Buddhi Hekayat yang baru menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL ke 26) menerusi lagu Awan Nano nyanyian Hafiz. Lirik lagu ini ditulis oleh Buddhi Hekayat manakala lagunya oleh Datuk M Nasir.
Ramai teman-teman rapat dari Telawi dan Akademi Pak Sako hadir pada malam tersebut tanda sokongan pada Buddhi dan mahu meraikan kejayaan bersamanya. Turut bersama pada malam tersebut beberapa anak siswa dan aktivis agama seperti Ustaz Wanji Bakistani dan penggiat seni Pyan Habib. Ternyata sosok budayawan seperti Buddhi Hekayat mampu menarik hadirin yang ramai pada malam tersebut kira-kira 25 orang.
Buddhi ternyata terharu dengan sokongan pada teman-teman yang hadir pada malam tersebut dan mengungkapkan kata-kata ini pada teman yang hadir keesokannya di Twitter:
@HasmiHashim : BH:Terima Kaseh dgn twit-up semalam oleh @AkademiPakSako. Suka hati sbb ada ramai kawan yag baik hati.#AwanNano#AJL26
Seni
Sembang Seni semalam dilakukan secara santai di mana hadirin yang hadir boleh bertanya soalan secara terus kepada Buddhi. Pelbagai genre soalan bertubi-tubi disoal oleh hadirin kepada Buddhi baik dari seni mahupun politik. Buddhi memulakan bicara sembang seni petang tersebut dengan mengulas kemenangan Awan Nano yang diakui hanya menang tipis mengikut keputusan markah juri seramai 30 orang pada malam persembahan tersebut. Buddhi memuji persembahan Hafiz yang baik dan bertenaga walaupun mengalami masalah gangguan teknikal di mana smoke machine blow dalam ½ minit yang mengeluarkan bunyi bising di tepi pentas.
Apa yang dibanggakan oleh Buddhi mengenai kemenangan Awan Nano adalah kerana berjaya memecahkan gaya bahasa Indonesia di kebanyakan lagu-lagu di Malaysia dan mengambil contoh lagu Faizal Tahir yang kerap menggunakan perkataan Indonesia secara sinisnya. Konsep pakaian Hafiz pada malam tersebut turut dikupas Buddhi yang mengakui ia dipilih hasil perbincangan dengan Fashion Designer di Telawi yang mahu baju hafiz di dalam video klip Awan Nano digunakan di pentas final AJL untuk memberi kelainan pada malam tersebut. Ternyata idea ini berhasil dan dipuji orang ramai ditambah dengan vokal mantap oleh Hafiz ketika persembahan.
Monopoli penghasilan lagu oleh sesetengah artis turut dikritik oleh Buddhi yang mahu penyanyi memberi fokus kepada nyanyian sahaja dan bukannya mahu menjadi penulis lirik dan komposer lagu sekaligus. Monopoli ini dibimbangi akan memudaratkan kualiti lagu yang dihasilkan dan idea itu tidak berkembang. Mengambil contoh M Nasir yang disebut Buddhi sebagai komposer dan bukannya penyanyi. Siti Nurhaliza itu adalah penyanyi katanya.
Politik
Kemenangan Awan Nano pada malam tersebut amat dirai oleh ahli parti dan pimpinan parti terutama di ruang maya Twitter dan Facebook. Siapa itu Buddhi Hekayat yang berdiri di stage TV3 telah dilondeh oleh penyokong parti dengan nama sebenarnya iaitu Hasmi Hashim, memegang jawatan Ketua Cabang PKR Parit Sulong dijaja. Pelik juga ada ahli parti yang seperti terkejut beruk tidak mengetahui siapa Hasmi Hashim walhal dia calon untuk pemilihan Ketua AMK pada tahun 2007.
Buddhi amat menghargai ucapan tahniah daripada teman-teman Telawi dan ahli parti tetapi mengakui terdapat juga kalangan politisi yang lagak ucapannya bersifat opportunis politik. Ternyata Buddhi kenal siapa teman baik hati di sekelilingnya atau teman dalam parti yang lagak opportunis boleh mencantas sendiri teman untuk menaiki tampuk kuasa.
Soalan berkaitan temubualnya dengan M Star berkaitan penglibatan politik selepas Awan Nano turut ditanya oleh Zul Bumi Langit. Jawapan Buddhi jelas seperti diungkap dalam M Star yang kini mahu lebih fokus menghasilkan karya-karya bagus untuk semua orang dan beliau mahu membina nama semula menerusi bidang seni.
Petikan berita M Star:
"Banyak yang saya sudah cuba dalam usia muda. Saya menulis, saya ceburi bidang politik. Sama jugalah orang seni yang sudah tua, dan mereka beralih ke politik," jelasnya.
"Saya lebih senang orang kenal saya sebagai orang yang mahu beri kesenangan dan kebahagiaan kepada ramai orang dengan karya-karya saya.
"Dalam politik pun pandangan saya lebih kepada manusiawi, bukan matlamat untuk bermusuh atau merebut kuasa."
Dalam pada itu, beliau berkata selepas kemenangan Awan Nano, beliau mula melihat arah yang dicari-cari selama ini dan akan lebih aktif menulis lirik.
"Saya akan lebih aktif dalam bidang seni. Bukan sebab kecewa dalam politik, tapi saya rasa waktu yang ditunggu-tunggu sudah tiba," katanya lagi.
Arwah Loloq
Antara cerita yang menarik pada malam tersebut hingga larut malam oleh Buddhi adalah mengenai persahabatannya dengan Arwah Loloq yang diakui seorang yang hebat dan gurunya dalam penulisan lirik.
Gaya bersahaja Buddhi bercerita lagak ucapan dan tingkahlaku Loloq ini cukup menghiburkan sehingga hadirin yang mendengar ketawa. Itu pada aku antara kelebihan dimilikinya yang mampu membuatkan hadirin lain terpaku mendengar dia bercerita dan ketawa.
Buddhi tetap merendah diri menyatakan sosok gurunya, Loloq tiada galang ganti walaupun pendapat ramai mengatakan ketiadaan Loloq di arena seni tanahair akan diisi oleh Buddhi Hekayat yang muncul hanya 2 lagu di mainstream tetapi 1 lagu sudah menang AJL.
Semoga berjaya Buddhi Hekayat !