INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Friday, June 10, 2011

Avatar Video Seks - Hasmi Hashim


Hasmi - kupas isu video seks terhadap DS Anwar

OLEH HASMI BIN HASHIM

“If they can make Avatar, they can make every thing”. ~ Dr Mahathir Mohamad.

Kata-kata itu tak kosong. Ia adalah sebuah keyakinan hati mantan perdana menteri ke-4. Samalah ketika ditanya apa yang beliau mahu selepas melepas jawatan Perdana Menteri, dengan nada seloroh dan jenaka katanya, “saya nak jadi Agong, mereka tak kasi”.

Dari kaca mata politik-kekuasaan, itu bukan jenaka—walaupun nadanya terdengar seperti mudah dan seloroh. Maka, “Avatar” yang dimaksudkan Dr Mahathir seolah-olah apa sahaja gambaran dapat dibuat—termasuk, tentu sahaja, video seks yang pelakonnya menyamai wajah sesiapa sahaja. Termasuk wajah Anwar Ibrahim.

Anwar tetap musuh nombor satu beliau. Sekali Dr Mahathir pernah coba menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri; tak ada alasan untuk beliau dengan mudah melepaskan Anwar pada mana-mana waktu. Meskipun selepas beliau berundur daripada jawatan PM, ia bukan sebab untuk tidak terus menyerang Anwar.

Kemarahan terbesar Mahathir kepada Abdullah Badawi, dalam pengamatan saya, bukanlah kerana Barisan Nasional (BN) hilang banyak kerusi di dalam Pilihanraya Umum ke-12. Di bawah kritikan mendesak Abdullah berundur, tentulah kerana Abdullah dilihat ‘membebaskan’ Anwar.

Apabila Anwar bebas, maka oposisi terpandu untuk kembali mengejar jejak ke Putrajaya. Inilah yang paling ditakuti Dr Mahathir. Beliau tanpa sedar atau tidak, pernah mengakui akan lari dan tinggal di luar negara kalau Anwar berjaya menjadi perdana menteri.

Ternyata, walaupun selepas Dr Mahathir berundur daripada jawatan PM, kerja politik beliau tidak terhentikan. Beliau masih coba aktif mengatur itu-ini. Orang-orangnya masih ramai. Kepentingan dan sumber ekonomi yang mahu beliau pertahan, tetap sahaja banyak. Sementara di dalam diam-diam, timbul nama Shazryl Eskay Abdullah—seorang yang pernah mempunyai kepentingan langsung terhadap projek Jambatan Bengkok.

Apakah kita lupa bagaimana projek Jambatan Bengkok adalah antara projek emas Dr Mahathir. Di sinilah hubungan antara Dr Mahathir-dengan-Eskay yang tak dapat disembunyikan. Watak-watak lain di dalam drama pendedahan video seks yang didedahkan Eskay juga punya hubungan terus dengan Dr Mahathir. Terutamanya Rahim Tamby Chik, mantan Ketua Menteri Melaka.

Rahim, malah di dalam satu kenyataannya menyebutkan bagaimana beliau percaya karier politiknya dahulu pernah dibinasakan oleh Anwar yang ketika itu adalah Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri. Rahim sendiri mengakui beliau bertanya kepada Dr Mahathir, apakah Dr Mahathir yang menyebabkan kes “rogol budak bawah umur” dibawa ke mahkamah? Khabarnya Dr Mahathir menafikan. Lalu menuduh ia disebabkan Anwar. Rahim konon-kononnya percaya sehingga ramai sekali orang percaya hal itu, langkah Rahim kali ini tak lebih hanya untuk membalas dendam terhadap Anwar.

Di dalam riuh-riuh kes video seks, terdengar pula nama Shuib Lazim. Beliau adalah orang kuat Perkasa. Jawatannya penting iaitu sebagai Bendahari Agung. Maka dengan mudah kita bisa faham bagaimana Perkasa tak lain adalah sebuah “kenderaan politik” Dr Mahathir. Tak hairan juga bagaimana Perkasa jadi antara pehak yang paling banyak membuat komen terhadap video seks berkenaan melalui presidennya, Ibrahim Ali.

Begini, konspirasi tetap konspirasi. Hal “perut boroi” jadi kantoi sehingga menimbulkan pertanyaan meluas apakah benar pelaku di dalam video berkenaan adalah tulen Anwar? Polis melalui Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar hanya berani menyebutkan bahawa video itu tulen, tetapi tak berani menyatakan bahawa Anwar-lah pelaku di dalam video yang kemudiannya tersebar meluas di Youtube.

Alasannya ialah tak ada keperluan undang-undang untuk mendedahkan lelaki pelakunya—sedangkan beliau terlupa, apakah ada peruntukan undang-undang untuk menyatakan video itu tulen atau tidak?

Keadaan ini hanya menimbulkan satu lagi keraguan. Melihat pengalaman dua kali fitnah yang dilempar ke atas Anwar, pehak polis sebelum ini begitu tangkas untuk bertindak—meskipun banyak tindakan polis bukan sesuatu yang mengikut lunas undang-undang.

Sebagai contoh, serbuan segera yang dibuat di rumah Anwar pada malam 20 September 1998; apakah sepenuhnya mengikut undang-undang? Begitu juga tangkapan kali kedua terhadap Anwar di hadapan simpang rumah beliau di Bukit Segambut—selepas Saiful Bukhari membuat aduan konon beliau diliwat—juga sangat jauh daripada mengikut undang-undang.

Lantaran itu, ‘kelembapan’ polis bertindak kali ini menunjukkan bagaimana sesungguhnya Polis juga tahu apakah pelaku di dalam video berkenaan bernar-benar Anwar atau tidak. Arakian langkah tidak mengumumkan pelakunya hanya meninggalkan persepsi negatif di dalam fikiran masyarakat (khususnya orang Melayu) terhadap Anwar.

Dalam kata mudah, orang Melayu khususnya di luar bandar yang susah mendapat maklumat barangkali telah menyakini bahawa pelaku seks itu adalah Anwar. Sebab itu kes ini adalah kes politik. Sebab itu tindakan pehak polis, khususnya Khalid sendiri boleh ditafsir juga sebagai “langkah politik” yang telah memenangkan sang konspirator dan pemerintah Umno-BN.

Gelanggang politik Malaysia bukanlah sebuah gelanggang yang terlalu besar dengan para pemain utama terlalu ramai. Balik-balik orang itu, orang itu jugalah. Lantas, adalah sesuatu yang sangat mustahil apabila seorang perdana menteri, seperti Najib Razak tidak mengetahui lebih awal mengenai sebuah rakaman video seks yang dikatakan melibatkan musuh politik nombor satu beliau sendiri.

Ya, seperti kata Dr Mahathir, “kalau Amerika boleh buat [filem] Avatar,” apa sahaja boleh dibuat secara visual dan filem. Untuk membentuk wajah Anwar sedang melakukan hubungan dengan seorang wanita (dikatakan pelacur) Cina, bukanlah terlalu sukar. Belanjanya juga bukanlah terlalu mahal, dan tak perlu dibuat sampai ke Hollywood.

Saya tak fikir Najib tak tahu semua ini—tapi untuk mudah-mudah lepas tangan kononnya beliau ‘bersih’ tak terlibat, dan kononnya Umno juga tak ada kena -mengena di dalam komplot kali ini adalah satu kenyataan hipokrit. Lebih-lebih lagi, hari pertama video itu mahu ditayang; ia ditayangkan kepada editor-editor kanan media perdana—orang yang tentu sahaja mempunyai hubungan terus dengan HP dan emel Najib.

Sejak era Dr Mahathir sebagai PM, Najib bukanlah seorang menteri yang bersarang idea yang lebih hebat daripada Dr Mahathir. Najib selalunya menurut sahaja apa kehendak Dr Mahathir. Lalu, tidak mustahil untuk Najib sekali ini memberi restu kepada sebuah rakaman video fitnah yang sudah siap dibuat untuk dipublikkan seraya apa yang beliau perlu katakan cukup mudah, iaitu “Umno tak terlibat”.

Namun kata-kata sedemikian tidak semestinya dapat membersihkan Umno daripada dosa yang maha besar. Dalam arti kata lain, kerosakan selepas lebih sedekad, dengan konspirasi demi konspirasi menjadikan orang Melayu dalam tak sedar telah belajar berbohong. Melihat pembohongan sebagai sesuatu yang seakan-akan diizinkan demi mencapai matlamat apapun. Termasuklah matlamat politik.

Media milik Umno, khususnya Utusan Malaysia juga dilihat tidak memainkan isu ini cukup kuat. Andailah memang pelakunya Anwar, kita yakin Utusan akan mencetak foto petikan video berkenaan saban hari di muka surat depan, di samping tak perlu bersusah payah mengalih isu kepada isu sumpah.

Belum pernah di dalam kehidupan budaya orang Melayu, sebegini bobrok dan hodohnya digambarkan wajah tamadun bangsa Melayu. Inilah dosa besar dua pimpinan Umno, iaitu Dr Mahathir dan Najib di mana mereka boleh dikatakan sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa.

Itu mereka punya pasal. Orang Melayu sendiri sesungguhnya harus menolak amalan politik ala Mahathir-Najib ini. Kita tidak boleh lagi mendiamkan diri dan menerima fitnah sebagai satu amalan biasa politik. Memang tak ada lagi alasan untuk menerima Umno yang ternyata telah merosakkan akal-budi bangsa sampai ke tahap ini.

Menolak Umno buat sekali ini berarti menyelamatkan bukan sahaja negeri, malah menyelamatkan bangsa daripada terus binasa; tenggelam dengan fitnah—sepertimana sebelum ini Tuhan menghancurkan bangsa-bangsa yang menjadi fitnah sebagai sebahagian daripada makanan harian mereka.

Saya percaya, Melayu tidaklah selemah itu.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews