INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Sunday, November 8, 2009

Runtuhnya Tembok Berlin

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle


Nov 8 — Pada 9 November 2009, genaplah dua puluh tahun runtuhnya Tembok Berlin. Tembok Berlin dibina atas arahan Parti Kesatuan Sosialis (Sozialistische Einheitspartei Deutschlands) yang memerintah Jerman Timur.

Puak sosialis di Jerman Timur takut cengkaman kuku besi mereka tergugat jika rakyat mereka boleh menyaksikan sendiri kebebasan yang dimiliki di Berlin Barat hasil daripada demokrasi dan kapitalisme pasaran bebas di sana.

Tembok Berlin dibina dengan pantas dan penuh kerahsiaan. Pada waktu malam 12 dan 13 Ogos 1961, tatkala rakyat Berlin sedang tidur, tentera Jerman Timur dan buruh mereka bertungkus lumus mengorek lubang, meletak kawat berduri serta menaikkan tembok pemisah untuk menutup jalan daripada Berlin Timur ke Berlin Barat. Talian telefon juga turut dipotong.

Bayangkan betapa terkejutnya warga Berlin. Sebaik sahaja mereka bangun dari tidur, tiba-tiba ada tembok pemisah yang tidak ada pada petang sebelumnya. Dengan sekelip mata warga Berlin tidak lagi boleh bertemu rakan-rakan mereka yang tinggal di sebelah sana tembok pemisah itu.

Pelbagai alasan diberikan sebagai justifikasi pembinaan Tembok Berlin oleh puak sosialis di Jerman Timur. Tetapi tiada sesiapa yang boleh menafikan bahawa pemerintah sosialis yang zalim itu sebenarnya mahu menyekat kebebasan rakyat mereka sendiri.

Dalam sebuah makalah propaganda yang diterbitkan oleh Parti Kesatuan Sosialis cawangan Berlin, mereka menyatakan bahawa tembok itu didirikan untuk menyekat warga Berlin Timur daripada bebas berhijrah ke Berlin Barat.

Makalah tersebut mendakwa bahawa: “Daripada pandangan moral dan kepentingan negara, meninggalkan Jerman (Timur) ialah satu tindakan yang salah dari segi moral dan politik.” Bagi mereka sistem sosialis di Jerman Timur ialah satu sistem yang progresif manakala Berlin Barat pula telah dirosakkan oleh demokrasi, kapitalisme dan kebebasan. Inilah dakyah yang terus dibawa oleh penganut faham sosialis hingga ke hari ini.

Dengan justifikasi itu, pemerintah Jerman Timur mendirikan Tembok Berlin untuk mengasingkan rakyatnya daripada dunia luar. Puak totalitarian sosialis sewenang-wenangnya menyeksa malahan membunuh rakyat sendiri yang cuba berhijrah ke Berlin Barat untuk mencari kehidupan yang lebih baik dalam sistem pasaran bebas yang lebih terbuka. Mujurlah sisa-sisa golongan sosialis hari ini belum lagi mengikut contoh kezaliman dan kekejaman yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh lama mereka itu.

Dr Haitham al-Zubaidi, seorang penganalisis sosio-politik Timur Tengah, ada menulis bahawa sebenarnya pemerintah Jerman Timur mendirikan Tembok Berlin sebagai percubaan untuk menyembunyikan kekejaman sistem totalitarianisme yang diamalkan oleh Jerman Timur.

Pandangan ini disokong oleh Temba Nolutshungu, pengarah Free Market Foundation yang berpusat di Afrika Selatan. Menurut Temba lagi, Tembok Berlin dibina oleh Jerman Timur untuk menyekat pergerakan golongan buruh agar mereka tiada pilihan melainkan terus hidup dalam sistem totalitarian sosialis yang keji dan kejam.

Syukurlah kerana jihad rakyat marhaen Jerman Timur untuk membebaskan diri daripada cengkaman sosialisme dan berhijrah ke wilayah kapitalis demokratik akhirnya berjaya dengan keruntuhan Tembok Berlin dua puluh tahun lalu.

Walaupun Tembok Berlin telah roboh, banyak lagi tembok-tembok yang masih wujud di pelbagai tempat dalam dunia., termasuklah di sini. Tembok-tembok itu tidak semestinya berbentuk fizikal.

Kita masih lagi ada tembok yang memisahkan antara kaum-kaum dan penganut pelbagai agama. Sekolah-sekolah aliran berbeza yang mengasingkan masyarakat baik mengikut bahasa mahupun agama sejak peringkat umur yang muda masih terus wujud.

Jika ada sesiapa yang cuba merobohkan tembok yang menyekat kebebasan berfikir dalam beragama, maka mereka akan dihukum oleh pihak berkuasa agama. Tetapi tindakan hanya diambil jika yang “menyelweng” itu ialah rakyat biasa. Sekiranya “penyelewengan” itu dilakukan golongan elit yang berselindung di sebalik tembok mahligai istana mewah atau tembok jawatan yang tertentu, biasanya tiada tindakan untuk mereka.

Dalam sistem ekonomi juga banyak tembok-tembok sekatan ekonomi yang menzalimi rakyat marhaen. Lihat sahaja harga kereta sebagai contoh. Jika seseorang warga Britain mempunyai RM10,000, maka dia sudah boleh membeli sebuah kereta terpakai Toyota yang agak selesa. Tetapi jika di Malaysia, hampir mustahil untuk membeli kereta yang sama kualiti jika wang yang ada di tangan hanya RM10,000.

Tembok sekatan perdagangan dan cukai yang dikenakan terhadap kereta import itu semuanya semata-mata untuk melindungi Proton. Untuk melindungi pihak yang berkepentingan di Proton, rakyat biasa dizalimi dengan harga kereta yang mahal.

Temba Nolutshungu ada menulis satu kenyataan yang saya rasa tepat sekali. Menurut beliau, sesebuah perusahaan “nasional” yang dijalankan oleh pemerintah tidak bermaksud perusahaan itu dijalankan untuk kepentingan rakyat. Tetapi ia biasanya “dimiliki, dikawal dan ditadbir” oleh “golongan elit yang berkuasa dan mengawal negara”.

Mereka inilah yang biasanya mendapat faedah besar daripada tembok-tembok cukai dan duti yang menyebabkan harga barangan import melambung-lambung. Hasilnya rakyat terpaksa membeli barangan yang berkualiti lebih rendah. Yang dizalimi ialah rakyat. Pengaruh faham sosialisme masih berleluasa termasuklah di kalangan ahli korporat yang kaya raya. Merekalah yang beriya-iya mahukan perdagangan bebas disekat demi kepentingan kewangan atau politik mereka.

Baik dalam bidang pendidikan, pentadbiran agama, ekonomi, mahupun apa jua bidang lain, semua tembok-tembok ini perlu dirobohkan.

Dua puluh tahun lalu Tembok Berlin roboh walaupun pemuka-pemuka sosialis menyeksa dan membunuh mereka yang cuba melangkauinya. Marilah kita merayakan ranapnya Tembok Berlin serta memuziumkan fahaman sosialisme anutan para penzalim dan pembunuh yang mendirikan tembok pemisah itu.


Wan Saiful Wan Jan juga merupakan Editor www.AkademiMerdeka.org yang merupakan portal untuk idea-idea libertarian dalam Bahasa.



No comments:

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews