D
alam
bulan Februari dan Mac menjelang PRU13, kerajaan pemerintah sibuk
melaksanakan pengagihan wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia 2.0 (BR1M)
kepada rakyat yang layak menerimanya. Pemberian wang RM500 ini adalah
tepat pada masanya ketika menghampiri pilihanraya untuk mempengaruhi
rakyat supaya terus menyokong kerajaan.
Kebanyakan rakyat yang menerimanya ialah golongan rakyat bawahan yang
bergaji RM3000 ke bawah untuk satu keluarga. Manakala individu bujang
berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bawah RM2,000 menerima
sebanyak RM250.
Perdana Menteri berkata pemberian BR1M 2.0 merupakan bukti kerajaan
Barisan Nasional (BN) adalah juara dalam mentadbir negara dan mengurus
ekonomi. Tambah beliau juga, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya
merekod kutipan cukai yang tinggi mencecah RM125 bilion tahun lepas
sebagai asas pemberian BR1M 2.0 ini. Itu fatwa daripada Perdana Menteri
la.
Kita mungkin tertanya-tanya di mana kerajaan mendapat dana besar
untuk membiayai BR1M ini yang berjumlah lebih RM3 billion. Mana mungkin
kerajaan yang berhutang terkumpul sehingga tahun lalu melebihi RM456
billion mampu pula mengadakan dana sebanyak ini. Ini mungkin menerusi
dana pinjaman daripada bank komersial yang akhirnya meningkatkan lagi
hutang negara.
Hutang awam negara sudah tidak lagi ‘sustainable’ atau tidak mapan
mengikut kata The Edge Financial Daily di laporan muka depan akhbarnya
tahun lalu. Jumlah hutang awam kini berada pada 53.5% daripada KDNK
yakni kurang 2 peratus daripada tahap maksimum 55% yang diizinkan oleh
Akta Pinjaman Kerajaan (1983). Berapa ribu juta Ringgit lagi hutang yang
kita mahu wariskan kepada anak cucu kita di masa depan? Greece bankrap
kerana berbelanja besar melalui cara off-budget seperti diamalkan
pemerintah hari ini.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pada Mei tahun lepas mengkritik
syor kerajaan menyediakan BR1M 2.0 yang menandakan pentadbiran Najib
telah gagal dalam mengawal kos sara hidup rakyat. Wang RM500 diberi
secara One Off kepada rakyat sebenarnya membantu rakyat dalam
satu atau dua bulan sahaja dan selepas itu rakyat akan terbeban kembali
dengan kos sara hidup yang tinggi.
Pemerintah perlu faham keperitan duit poket rakyat yang perlu
dikeluarkan untuk membayar pelbagai bayaran contohnya pinjaman kereta,
pinjaman rumah, barang keperluan harian, bil utiliti , telefon, hutang
PTPTN dan kos penjagaan anak kecil dan kos pengangkutan (TOL &
Minyak). Itu belum dicampur dengan kos persiapan perkahwinan untuk anak
muda ingin berumahtangga dianggarkan kosnya mencecah sehingga RM25
ribu untuk majlis perkahwinan.
Wang RM500 tidak mampu selesaikan masalah rakyat. Ia bertahan 2
hingga 3 bulan dan kemudian rakyat kembali menderita. Ansuran bulanan
kereta Proton Saga dan MyVI amat tinggi antara RM500 hingga RM600
membebankan rakyat disebabkan harga kereta dijual mahal di pasaran.
Pelbagai cukai yang dikenakan oleh kerajaan untuk jualan kereta
sekaligus menyebabkan harga kereta menjadi mahal. Walaupun pelbagai
harapan oleh rakyat menanti harga kereta diturunkan terutama ketika AFTA
mahu dilaksanakan, pemerintah masih berdegil untuk tidak menurunkan
atau memansuhkan cukai ke atas kenderaan yang dijual.
Ini merupakan satu contoh di mana masalah rakyat yakni harga kereta
mahal sebenarnya gagal difahami oleh pemerintah. Liberalisasi di sektor
automotif perlu dilakukan segera untuk menguntungkan rakyat dan negara
melalui penjualan harga kereta yang berpatutan. Masih ramai rakyat yang
menggunakan kereta yang sudah berusia lebih 10 tahun di jalanraya kerana
tidak mampu untuk membeli kereta baru yang mahal.
Kita sudah lama kalah kepada Thailand dan Indonesia dalam pelaburan
di industri automotif apabila gergasi automotif seperti GM, Ford,
Nissan, Toyota lebih berminat melabur dan meningkatkan pelaburan mereka
di negara tersebut. Pemerintah kita pula sibuk untuk menjaga kepentingan
Proton sehingga Dasar Automotif Baru sudah beberapa kali ditangguhkan
perlaksanaannya.
Selain itu, isu permit teksi yang dimiliki oleh syarikat kroni
menjadi isu besar di kalangan pemandu teksi. Permit teksi ini memberi
kekangan kepada pemandu teksi untuk meningkatkan pendapatan harian
mereka apabila terpaksa membayar sewaan bulanan kepada syarikat untuk
menggunakan permit tersebut.
Mereka memohon kepada pemerintah untuk diberikan permit teksi
individu tetapi yang difahami pemerintah pula ialah isu tayar kereta
yang mahal di pasaran. Oleh itu, diadakan insentif penukaran tayar
kereta untuk meredakan rungutan pemandu teksi seketika terhadap isu
permit ini.
Jadi begitulah bila rejim terlalu lama berada di tampuk kuasa,
akalnya bongsai dan kurang berfikir. Maka berlaku lah kes minta permit
teksi tapi yang dapat empat tayar kereta.
Taktik pemberian wang BR1M ini jika diteliti ia sebenarnya meniru
program kebajikan tahunan Kerajaan Pulau Pinang yang terkenal iaitu
Program Penghargaan RM100 Warga Emas dan Program Penghargaan RM100 untuk
Ibu Tunggal yang dimulakan pada tahun 2010. Kejayaan program ini dalam
mendekati hati rakyat terutama golongan warga emas Melayu telah menarik
perhatian pemimpin UMNO dan media perdana waktu itu yang menyerang
sumber dana tersebut sebagai haram hasil pemberian syarikat judi.
Mungkin kita boleh anggap ia umpama “sedekah” duit juga seperti RM500
BR1M tapi apa yang membedakannya ialah sumber dana program kebajikan
tersebut adalah hasil penjimatan wang daripada perbelanjaan berhemah dan
anti rasuah. Ini pun telah disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara
tentang lebihan paling besar di Pulau Pinang pada tahun 2008 sebanyak
RM88 juta dan RM77 juta pada tahun 2009. Tidak ada sesen pun disumbang
atau diderma oleh pihak swasta.
Kerajaan pemerintah pula dalam keadaan berhutung Ratus Billion
ringgit tanpa segan silu menambahkan hutang lagi untuk BR1M 2.0
bertujuan untuk mendekatkan hati kepada rakyat agar terus menyokong BN
di PRU13 nanti. Masa yang dipilih untuk pemberian jelas memancing undi
rakyat dan cara penyampaian BR1M agak memualkan apabila disempurnakan
oleh politikus pemerintah terutamanya ketua bahagian UMNO. Kemudian
program itu dihiasi ucapan rayuan dan muka tagih simpati supaya terus
menyokong BN di pilihanraya nanti.
Usah menganggap rakyat pada zaman ini bodoh atau buta akan kebobrokan
dan rasuah yang mewarnai di media internet. Hanya datang berjumpa
rakyat menjelang pilihanraya bersama sogokan wang tidak mampu untuk
memadamkan segala kepincangan yang mereka lakukan beberapa tahun lepas.
Rakyat mampu untuk menilai apa yang dilakukan kerajaan negeri dan
persekutuan selepas tsunami 2008 hingga 2013. Ya ! Najib terkenal
dengan Program Transformasi Kerajaan, tapi rasuah dan aliran wang haram
juga makin berleluasa. Rakyat juga tahu banyak program kebajikan dan
kesejahteraan di Selangor dan Pulau Pinang yang sebelum ini belum pernah
difikirkan untuk dilakukan oleh rejim lama.
Parti yang mana memenangi pilihanraya nanti perlu memikirkan semula
langkah program pemberian wang sebegini daripada semua aspek baik dari
sudut etika, ekonomi,kedudukan kewangan dan keadilan sosial.
Adakah masalah rakyat iaitu kos sara hidup tinggi selesai dengan
wang ini? Jika tidak, perlunya satu program holistik dilakukan
kerajaan baru untuk mengurangkan beban hidup rakyat melalui gaji
minimum, bantuan subsidi, pengurangan cukai, liberalisasi perniagaan,
hapuskan monopoli dan galakan persaingan.
Artikel ini telah disiarkan di JalanTelawi.com
3 comments:
HE!HE!HE!
YANG HEBAT IALAH PAS YANG DAH LEBIH 50 TAHUN TAK BERHENTI KUTIP DUIT RAKYAT...
HE!HE!HE!
YANG HEBAT IALAH PAS YANG DAH LEBIH 50 TAHUN TAK BERHENTI KUTIP DUIT RAKYAT...
bagi 500 curi berbillion billion
Post a Comment