INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Thursday, February 21, 2013

BR1M : Politik Sedekah Duit

D 
alam bulan Februari dan Mac menjelang PRU13, kerajaan pemerintah  sibuk melaksanakan pengagihan wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia 2.0 (BR1M)  kepada rakyat yang layak menerimanya. Pemberian wang RM500 ini adalah tepat pada masanya ketika menghampiri  pilihanraya untuk mempengaruhi rakyat supaya terus menyokong kerajaan.

Kebanyakan rakyat yang menerimanya ialah golongan rakyat bawahan yang bergaji RM3000 ke bawah untuk satu keluarga. Manakala individu  bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bawah RM2,000  menerima sebanyak RM250.

Perdana Menteri berkata  pemberian BR1M 2.0  merupakan bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah juara dalam mentadbir negara dan mengurus ekonomi. Tambah beliau juga, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya merekod kutipan cukai yang tinggi mencecah RM125 bilion tahun lepas sebagai asas pemberian BR1M 2.0 ini. Itu fatwa daripada Perdana Menteri la.

Kita mungkin tertanya-tanya di mana kerajaan  mendapat  dana  besar untuk membiayai BR1M ini yang berjumlah lebih RM3 billion. Mana mungkin kerajaan yang berhutang terkumpul sehingga tahun lalu  melebihi RM456 billion mampu pula mengadakan dana sebanyak ini. Ini mungkin menerusi dana pinjaman daripada bank komersial yang akhirnya  meningkatkan lagi hutang negara.

Hutang awam negara sudah tidak lagi ‘sustainable’ atau tidak mapan mengikut kata The Edge Financial Daily di laporan muka depan akhbarnya tahun lalu. Jumlah hutang awam kini berada pada 53.5% daripada KDNK yakni kurang 2 peratus daripada tahap maksimum 55% yang diizinkan oleh Akta Pinjaman Kerajaan (1983). Berapa ribu juta Ringgit lagi hutang yang kita mahu wariskan kepada anak cucu kita di masa depan? Greece bankrap kerana  berbelanja besar melalui cara off-budget seperti diamalkan pemerintah hari ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pada Mei tahun lepas mengkritik syor kerajaan menyediakan BR1M 2.0 yang menandakan pentadbiran Najib telah gagal dalam mengawal kos sara hidup rakyat.  Wang RM500 diberi secara One Off  kepada rakyat sebenarnya membantu rakyat dalam satu atau dua bulan sahaja dan selepas itu rakyat akan terbeban kembali dengan kos sara hidup yang tinggi.

Pemerintah perlu faham keperitan  duit poket rakyat yang perlu dikeluarkan untuk membayar  pelbagai bayaran contohnya pinjaman kereta, pinjaman rumah, barang keperluan harian, bil utiliti , telefon, hutang PTPTN dan kos penjagaan anak kecil dan kos pengangkutan (TOL & Minyak). Itu belum dicampur dengan kos persiapan perkahwinan untuk anak muda ingin berumahtangga dianggarkan  kosnya  mencecah sehingga RM25 ribu untuk majlis perkahwinan.

Wang RM500 tidak mampu selesaikan masalah rakyat. Ia bertahan 2 hingga 3 bulan dan kemudian rakyat kembali menderita. Ansuran bulanan kereta Proton Saga dan MyVI amat tinggi antara  RM500 hingga RM600 membebankan rakyat disebabkan harga kereta dijual mahal di pasaran.

Pelbagai cukai yang dikenakan oleh kerajaan untuk jualan kereta  sekaligus menyebabkan harga kereta menjadi mahal. Walaupun pelbagai harapan oleh rakyat menanti harga kereta diturunkan terutama ketika AFTA mahu dilaksanakan, pemerintah masih berdegil  untuk tidak menurunkan atau memansuhkan cukai  ke atas kenderaan yang dijual.

Ini merupakan satu contoh di mana masalah rakyat yakni harga kereta mahal sebenarnya gagal difahami oleh pemerintah. Liberalisasi di sektor automotif  perlu dilakukan segera untuk menguntungkan rakyat dan negara melalui penjualan harga kereta yang berpatutan. Masih ramai rakyat yang menggunakan kereta yang sudah berusia lebih 10 tahun di jalanraya kerana tidak mampu untuk membeli kereta baru yang mahal.
Kita sudah lama kalah  kepada Thailand dan Indonesia dalam pelaburan di industri automotif apabila gergasi automotif seperti  GM, Ford, Nissan, Toyota lebih berminat melabur dan meningkatkan pelaburan mereka di negara tersebut. Pemerintah kita pula sibuk untuk menjaga kepentingan Proton  sehingga Dasar Automotif Baru sudah beberapa kali ditangguhkan perlaksanaannya.

Selain itu, isu permit teksi yang dimiliki oleh syarikat kroni  menjadi  isu besar di kalangan pemandu teksi. Permit teksi ini memberi kekangan kepada pemandu teksi untuk meningkatkan pendapatan harian mereka apabila terpaksa membayar sewaan bulanan kepada syarikat untuk menggunakan permit tersebut.

Mereka memohon kepada pemerintah untuk diberikan permit teksi  individu tetapi yang difahami pemerintah pula ialah isu tayar kereta yang mahal di pasaran. Oleh itu, diadakan insentif penukaran tayar kereta untuk meredakan rungutan pemandu teksi seketika terhadap isu permit ini.

Jadi begitulah bila rejim terlalu lama berada di tampuk kuasa, akalnya  bongsai dan kurang berfikir. Maka berlaku lah kes minta permit teksi tapi yang dapat empat tayar kereta.

Taktik pemberian wang BR1M ini jika diteliti ia sebenarnya meniru program kebajikan tahunan Kerajaan Pulau Pinang yang terkenal iaitu Program Penghargaan RM100 Warga Emas dan Program Penghargaan RM100 untuk Ibu Tunggal yang dimulakan pada tahun 2010. Kejayaan program ini dalam mendekati hati rakyat terutama golongan warga emas Melayu telah menarik perhatian pemimpin UMNO dan media perdana waktu itu yang menyerang sumber dana tersebut sebagai haram hasil pemberian syarikat judi.

Mungkin kita boleh anggap ia umpama “sedekah” duit juga seperti RM500 BR1M tapi apa yang membedakannya ialah sumber dana program kebajikan tersebut adalah hasil penjimatan wang daripada perbelanjaan berhemah dan anti rasuah. Ini pun telah disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara tentang lebihan paling besar di Pulau Pinang pada tahun 2008 sebanyak RM88 juta dan RM77 juta pada tahun 2009. Tidak ada sesen pun disumbang atau diderma oleh pihak swasta.

Kerajaan pemerintah pula dalam keadaan berhutung Ratus Billion ringgit tanpa segan silu menambahkan hutang lagi untuk BR1M 2.0 bertujuan untuk mendekatkan hati kepada rakyat agar terus menyokong BN di PRU13 nanti.  Masa yang dipilih untuk pemberian jelas memancing undi rakyat dan cara penyampaian BR1M  agak memualkan apabila disempurnakan oleh politikus pemerintah terutamanya ketua bahagian UMNO. Kemudian program itu dihiasi ucapan rayuan dan muka tagih simpati supaya terus menyokong BN di pilihanraya nanti.

Usah menganggap rakyat pada zaman ini bodoh atau buta akan kebobrokan dan rasuah yang mewarnai di media internet. Hanya datang berjumpa rakyat menjelang pilihanraya bersama sogokan wang tidak mampu untuk memadamkan segala kepincangan yang mereka lakukan beberapa tahun lepas.

Rakyat mampu untuk menilai apa yang dilakukan kerajaan negeri dan persekutuan selepas tsunami 2008 hingga 2013.  Ya ! Najib terkenal dengan Program Transformasi Kerajaan, tapi rasuah dan aliran wang haram juga makin berleluasa. Rakyat juga tahu banyak program kebajikan dan kesejahteraan di Selangor dan Pulau Pinang yang sebelum ini belum pernah difikirkan untuk dilakukan oleh rejim lama.

Parti yang mana memenangi pilihanraya nanti perlu memikirkan semula langkah program pemberian wang sebegini daripada semua aspek baik dari sudut etika, ekonomi,kedudukan kewangan dan keadilan sosial.
Adakah masalah rakyat iaitu  kos sara hidup tinggi selesai dengan wang ini? Jika tidak,  perlunya satu program holistik  dilakukan kerajaan baru untuk mengurangkan beban hidup rakyat melalui gaji minimum, bantuan subsidi, pengurangan cukai, liberalisasi perniagaan, hapuskan monopoli dan galakan persaingan.

Ikhwan Hafiz adalah seorang Jurutera, Alumnus Sekolah Politik dan Akademi Pak Sako.

Artikel ini telah disiarkan di JalanTelawi.com

3 comments:

Hamdan Rukun said...

HE!HE!HE!

YANG HEBAT IALAH PAS YANG DAH LEBIH 50 TAHUN TAK BERHENTI KUTIP DUIT RAKYAT...

Hamdan Rukun said...

HE!HE!HE!

YANG HEBAT IALAH PAS YANG DAH LEBIH 50 TAHUN TAK BERHENTI KUTIP DUIT RAKYAT...

Anonymous said...

bagi 500 curi berbillion billion

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews