INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Saturday, September 18, 2010

Hasmi sedia terajui AMK



http://hasmihashim2010.blogspot.com/


Hasmi yakin peluang memenangi persaingan ketua AMK di bawah sistem pengundian langsung melibatkan setiap ahli. — Gambar oleh Choo Choy May

PETALING JAYA, 17 Sept — Hasmi Hashim yang melahirkan hasrat bertanding lagi merebut jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak menolak kemungkinan mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi menjalin kerjasama menghadapi saingan kali ini demi memperkukuhkan sayap pemuda PKR ini.

"Istilah 'masuk' keterlauan, tetapi tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama, berkompromi. Sanggup berbincang dan kompromi sesiapa sahaja yang membawa agenda yang sama," kata beliau semasa ditemui The Malaysian Insider.

Dengan melahirkan keyakinan lebih tinggi kali ini berbanding tiga tahun lalu, ketua PKR cabang Parit Sulong ini memberitahu, "perubahan anggota pasukan... itu tidak mustahil."

"Semua (kemungkinan itu) ada...," kata Hasmi, budayawan muda berusia 34 tahun ini.

Hasmi juga mengakui ada perutusan "tertentu" yang menemui beliau baru-baru ini bagi tujuan perbincangan ke arah kompromi dalam menghadapi pemilihan kali ini.

"Ada utusan, kami terus berbincang sejak lama... termasuk nama-nama yang ada disebut (sebelum ini).

"Saya akan ambil langkah berbincang. Sebahagian sudah, sebahagain belum. Saya terbuka.

"Oleh itu mungkin ada perubahan, itu kelebihan mengapa saya tidak umum awal," kata beliau yang turut menegaskan akan mengumumkan pendiriannya ketika pertengahan proses pencalonan berlangsung ataupun selepas proses pencalonan berakhir.

Tiga tahun lalu Hasmi tewas kepada Shamsul Iskandar Mohd Akin yang pagi semalam memutuskan untuk tidak mempertahankan kedudukannya.

Kekosongan ekoran keputusan Shamsul Iskandar dijangka menjadi saingan sengit Rafizi Ramli dan Badrul Hisham Shaharin.

Dengan perkembangan terbaru ini, Hasmi akan menjadi calon tambahan dalam persaingan ketua AMK kali ini.

Rafizi sudah mengumumkan barisannya manakala Badrul Hisham belum berbuat demikian secara rasmi.

"Saya hendak melahirkan AMK yang tegas, bukan keras... saya sebenarnya tiada masalah untuk turun berdemonstrasi, tetapi demonstrasi bukan satu-satunya pendekatan saya — politik heroisme, ikon sudah berubah, itu politik era (bekas perdana menteri Tun Dr) Mahathir (Mohamad)... sudah pun berubah," katanya yang berada dalam PKR (dahulunya Keadilan) sejak sedekad lalu.

Kesemua 218 cabang atau bahagian PKR memulakan mesyuarat tahunan masing-masing bermula hari ini. Mereka akan mencalonkan pemimpin pilihan masing-masing untuk persaingan peringkat pusat.

Sepuluh cabang masing-masing lima dari Kedah dan Kelantan akan mengadakan mesyuarat masing-masing hari ini.

Hasmi jika bertanding kerusi ketua AMK nanti berharap persaingan kali ini adalah sesuatu yang sihat.

"Saya pernah bertanding, saya jamin bahawa saya main bersih dan tidak akan tikam belakang," kata Hasmi lagi.

Menurut Hasmi, dalam sejarah pemilihan PKR pertandingan tiga tahun yang lalu merupakan "pemilihan paling bersih."

Selepas pemilihan menurut Hasmi, beliau dilantik mengetuai Biro Manifesto dan Biro Politik AMK untuk membantu Shamsul Iskandar yang ditentangnya.

"Saya berharap pemilihan kali ini juga kena sedemikian," kata Hasmi sambil menambah, malangnya jawatan itu telah digugurkan menjelang pilihan raya umum Mac 2008.

Demi kemantapan AMK, Hasmi bersedia untuk berbincang dengan mana-mana kelompok bagi menentukan barisan calon. — Gambar Choo Choy May
"Persekitaran itu membayangkan komitmen saya dengan AMK, kerjasama saya dengan orang yang saya lawan jelas... saya bersikap terbuka," kata Hasmi.

Bertolak daripada persekitaran itu tegas Hasmi, beliau inginkan "persaingan politik" sedemikian.

Malam ini Hasmi dijadual menyertai debat terbuka sempena pemilihan peringkat pusat khususnya AMK. Debat julung kali itu akan berlangsung di Taiping, Perak.

"Ini yang saya maksudkan politik baru, politik matang. Berasaskan gagasan dan idea, bukan kerana kebencian... itu sangat penting.

"Presiden (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) berpesan... dalam politik Malaysia hendak mencari orang berpolitik ramai tetapi yang jujur tidak ramai," kata beliau mengenai pertemuan dengan presiden PKR itu baru-baru ini.

"Saya berbincang secara umum, pertama soal kerja, saya (selalunya) menyediakan draf ucapannya menjelang kongres. Kedua, mengenai politik Angkatan Muda.

"Dan, beliau menyarankan saya supaya berfikir kesan akibat pertandingan, agar tetap memelihara perpaduan dalam AMK... saya rasa nasihat Datuk Seri (Dr Wan Azizah) itu umpama nasihat daripada ibu kepada anak," katanya.

Beliau berkata tidak timbul soal Dr Wan Azizah menghalang atau sebaliknya dalam usaha bertanding pemilihan AMK.

"... yang penting menjamin adab dalam pemilihan," katanya lagi.

Ini kali pertama parti komponen Pakatan Rakyat ini mengadakan pemilihan secara langsung melibatkan hak mengundi bagi setiap ahli.

"Kalau parti pernah sedikit tercalar selepas pertandingan, itu bukan kerana pertandingan tetapi calon tidak memelihara etika dan adab pertandingan.

"Kita tidak boleh halang pertandingan, tetapi perlu beradab dan beretika," katanya yang berpendirian tegas bahawa jumlah calon yang ramai tidak semestinya membawa perpecahan tetapi yang akan mengakibatkan mudarat adalah "politik tikam-menikam."

"Oleh itu kita perlu membezakan antara tindakan berlawan dengan kawan dengan menentang musuh, kita tidak boleh menganggap bahawa bersaing dengan kawan harus dilihat sebagai berlawan dengan rejim dan penjajah.

Hasmi juga berkata beliau gembira kerana calon-calon lain sudah mengumumkan pendirian pada pemilihan lebih awal kerana ia juga "tradisi yang saya mulakan."

Pun begitu Hasmi masih enggan membuat pengumuman awal kali ini.

"Saya belajar daripada kesilapan dulu kerana dalam proses pencalonan, dan pemilihan undi, akan ada perbincangan termasuk kawan-kawan lain, contoh segmen anak muda," katanya lagi.

Hasmi juga mengumumkan bahawa beliau ada pasukannya sendiri sama ada di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan di peringkat AMK.

"Saya tidak menamakan mana-mana calon, tetapi saya meletakan kriteria iaitu adanya idealisme, telah teruji dalam perjuangan... lebih penting, beliau lebih muda daripada presiden; kita tidak mahu jadi Umno," katanya lagi.

Ketika ditemui The Malaysian Insider di sini minggu lalu Hasmi masih enggan mengumumkan secara rasmi sama ada bertanding jawatan ketua AMK.

"Saya akan mengumumkan kemudian," kata beliau sambil menambah, belum ada apa-apa keputusan.

Kata Hasmi beliau tidak mahu mengambil pendekatan tergesa-gesa sebagaimana disaksikan tiga tahun lalu.

"Kita tidak boleh tergesa-gesa dan gopoh, dan kita harus biarkan proses pencalonan bermula," katanya.

"Sekarang pun sudah ada tiga penjuru — persepsi masyarakat bahawa Shamsul, Badrul dan Rafizi sudah umum.

"Setiap calon ada kaedah berbeza, jadi saya rasa tidak bijak untuk umum sekarang," kata Hasmi yang mengenakan baju batik ketika ditemui The Malaysian Insider.

"Saya pernah bertanding, jadi pengalaman lalu mengajar gopoh dan tergesa-gesa," tambah beliau.

Hasmi juga berkongsi sebab beliau mahu bertanding kerusi AMK sekali lagi.

Pemimpin muda dari Johor ini menekankan, terdapat terlalu banyak ruang yang boleh dan harus diperbaiki untuk memantapkan lagi AMK.

Bagaimanapun Hasmi menafikan beliau ada masalah secara personal dengan ketua AMK semasa Shamsul Iskandar.

"Secara personal Shamsul Iskandar seorang yang baik... tetapi musuh saya, musuh PKR memang jejas iaitu Umno dan BN.

"Yang penting ialah suara dan idea saya dalam AMK," kata beliau.

Hasmi menekankan bahawa kelemahan politik AMK ialah "ketika pilihan raya umum 8 Mac 2008 kita dianggap menang, kerana menjalarnya kekuatan sejak gerakan reformasi."

"Kemenangan 8 Mac bukan kemenangan ahli politik semata-mata... jadi, kita kena melihat di mana kita hendak meletakkan peranan orang muda seperti mahasiswa, wartawan dan sebagainya dalam meneruskan perjuangan parti," katanya.

Mengenai teras pertandingan kali ini Hasmi berkata, ia adalah kesinambungan daripada gagasan dulu iaitu melihat persoalan secara besar, termasukah kalangan anak muda di mana 50 tahun "kita telah melalui proses diperbodohkan oleh rejim."

"Kita boleh bicara soal ekonomi, angka, perangkaan, tetapi masalah besar kena diketengahkan (untuk membela mereka)," katanya.

Sebagai calon bakal bertanding Hasmi tidak mengumumkan strateginya. "Lazimnya ini tidak diumumkan," katanya.

Bagaimanapun menurut Hasmi, beliau mengambil pendekatan mahu melibatkan bersama kelompok mahasiswa, NGO, profesional, ulama muda untuk mendengar pandangan mereka.

"Apa persoalan mereka, apa kehendak mereka... ini perlu diberi keutamaan oleh kita," katanya lagi.

Mengenai kekurangan AMK, Hasmi berkata, "kita masih dibuai budaya lama, dan kaedah politik yang sudah sedekad membeku dalam angkatan muda."

"Sementara zaman sudah berubah, yang menyertai angkatan muda tiada latar reformasi meskipun saya sertai reformasi sejak mula," katanya.

"Tetapi hari ini sebagai parti reformasi, yang siap untuk berubah, seiring keperluan semasa, jadi rasa angkatan muda — kegagalan untuk menyusul arus, kekal sebagai politik underground, tidak muncul sebagai politik arus perdana," katanya.

"Tumpuan saya lebih kepada persoalan anak muda... ya, memerlukan platform anak muda," katanya lagi.

"Kita memerlukan suara anak muda dalam MPP, saya tidak keberatan untuk menyokong mana-mana calon anak muda... tetapi fokus saya ialah AMK dan anak muda secara umum," kata beliau sambil menggariskan banyak isu yang perlu diketengahkan demi kepentingan golongan muda.

"Sebagai contoh, soal kebankrapan anak muda... anak muflis, badan-badan anak muda yang ditunggangi ahli politik, kediaman anak muda; ini semua isu yang akhirnya menunjukkan bahawa rejim sedia ada memang berniat untuk mencengkam dan memansuh pemikiran generasi muda," katanya.

Mengenai calon timbalan presiden, kata beliau, "kita perlu memberi ruang kepada mereka (bakal calon) mengumumkan gagasan."

"Kita belum mendengar gagasan, kita harus dengar gagasan," kata beliau.

Mengenai peluang kali ini, Hasmi yang mendakwa berpegang dan percaya pada "politk idea" dan "tidak percaya pada politik menikam" memberitahu, "kalau bertanding, peluang tetap terbuka berbanding kali pertama (tiga tahun lalu)."

Sehubungan itu jelas beliau, kini tiada siapa yang boleh mendabik dada bahawa mereka "memegang" atau menguasai keseluruhan perwakilan.

"Sebagai contoh, Klang ada 2,500 ahli, Gombak ada 3,000 ahli. Jadi, siapa kata mereka telah bertemu dengan semua ahli... ahli yang ramai, jadi saya melihat peluang itu dan terbuka," katanya dengan merujuk kepada proses pemilihan buat sulung kali.

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

No comments:

There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews