INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Saturday, August 20, 2016

Bersatu Menegakkan Kebenaran dan Keadilan - Perutusan terkini TS Muhyiddin Yassin #Bersatu


1. Ahli Parlimen Langkawi Nawawi Ahmad telah melakukan lese majeste terhadap DYMM Yang Di-Pertuan Agong dengan memfitnah, menghina dan mengheret nama Yang Di-Pertuan Agong ke dalam kancah skandal rasuah 1MDB. Dengan menuduh bahawa Pegawai Malaysia Nombor 1, iaitu seorang pegawai yang dikatakan melakukan jenayah rasuah
dalam prosiding Jabatan Keadilan Amerika Syarikat adalah Yang Di-Pertuan Agong, dia telah melakukan fitnah jenayah.
2. DYMM Yang Di-Pertuan Agong merupakan institusi tertinggi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, seluruh rakyat Malaysia hendaklah bangkit menegaskan bahawa Peguam Negara mesti menunjukkan semangat yang sama dalam mempertahankan dan melindungi institusi Yang Di-Pertuan Agong sebagaimana yang telah beliau lakukan dalam ‘membersihkan’ Najib Razak daripada dakwaan rasuah berhubung skandal 1MDB.
3. Saya telah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudian sebagai Timbalan Presiden Umno semata-mata kerana membangkitkan perihal skandal 1MDB dan menuntut supaya Umno dan kerajaan bersikap telus mengenainya. Dengan pemecatan saya, Najib menganggap bahawa skandal rasuahnya boleh dilupakan begitu sahaja. Tetapi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat kemudiannya membuat dakwaan yang mengejutkan mengenai penipuan 1MDB dalam dokumen pendakwaan setebal 136 halaman. Dokumen mahkamah ini menunjukkan tanpa ragu bahawa jenayah rasuah 1MDB melibatkan seorang pegawai kerajaan yang korup yang hanya dikenali sebagai Malaysian Official 1 (MO1). Penerangan yang cukup telah pun diberikan mengenai siapa MO1 ini sebenarnya.
4. Amatlah malang bagi rakyat bahawa institusi-institusi semak dan imbang (check and balance) kerajaan telah lumpuh. Adalah sesuatu yang memalukan bagi orang Melayu / Islam bahawa tidak ada mufti dan ulama yang berani mengulas mengenai skandal ini walaupun Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan Amr Ma'ruf dan Nahy Mungkar. Amatlah menyedihkan bagi ahli akar umbi Umno bahawa Umno tidak lagi mampu untuk membetulkan Majlis Tertinggi dan kepimpinan tertingginya. Mereka hanya berminat untuk mempertahankan sesuatu yang tidak dapat dipertahankan. Sehinggakan Ahli Parlimen Langkawi sanggup mengheret institusi mulia Raja-Raja Melayu ke dalam skandal ini dengan mencadangkan bahawa MO1 adalah Yang di-Pertuan Agong. Itulah bagaimana rendahnya sikap wakil rakyat Umno yang rela tunduk mempertahankan Presiden parti. Bagaimana ini boleh terjadi kepada sebuah parti yang suatu ketika dahulu dipandang mulia?
5. Apabila kita melihat semua pemimpin Umno dan ahli politik berkelakuan seperti yang mereka lakukan sekarang, kita mesti belajar untuk menerima hakikat bahawa Umno tidak dapat diperbetulkan lagi. Umno tidak dapat diselamatkan jika ia tidak mampu mengeluarkan pemimpin yang korup daripada parti. Umno akan berkubur jika ia bukan sahaja gagal mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Agong, malah lebih mementingkan usaha untuk mempertahankan Presiden. Kini, seorang ahli politik bawahan pun boleh menghina Yang di-Pertuan Agong tanpa dikenakan apa-apa tindakan.
6. Laporan polis telah dibuat oleh salah seorang pengasas BERSATU, Anina Saadudin. Kini terserah kepada pihak polis untuk mengambil tindakan. Jabatan Peguam Negara telah mendakwa penulis blog, kartunis, peguam dan pemimpin pembangkang kerana menghasut dan juga atas kesalahan di bawah SOSMA. Jabatan Peguam Negara perlu menggunakan undang-undang yang sama terhadap Ahli Parlimen Langkawi.
7. Tidak kurang pentingnya ialah untuk menamakan MO1. Ini penting untuk memastikan bahawa tidak ada orang lain boleh memfitnah Yang di-Pertuan Agong seperti yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Langkawi atau oleh mana-mana ahli politik yang mencari publisiti murahan.
8. Saya ingin menyatakan dengan penuh kepastian bahawa MO1 ialah Najib Razak. Beliaulah penyangak yang dinyatakan dalam fail Jabatan Keadilan Amerika Syarikat. Kerana saya pasti fakta ini adalah betul, maka saya meminta ahli Umno untuk menyatakan jika ini adalah orang yang mereka mahu sebagai pemimpin parti mereka. Saya juga ingin meminta rakyat Malaysia menyatakan adakah pemimpin ini yang mereka mahu sebagai Perdana Menteri untuk memimpin negara ini
9. Kita mesti menghentikan segala kekejian ini serta mengembalikan kebenaran dan keadilan. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersatu dalam mencapai matlamat ini.
BERSATU!
Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin

No comments:

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews