INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Sunday, May 22, 2011

Raja Noor Jan Shah sebagai Sultan Melaka dan Perak yang sah?




KUALA LUMPUR 20 Mei – Raja Noor Jan Shah Raja Tuah mempertahankan kedudukannya sebagai pewaris kesultanan Melaka dan Perak yang datang daripada keturunan Raja Alang Abdul Rahman sekali gus menolak kenyataan Persatuan Waris Kerabat Negeri Perak (PWKNP) semalam bahawa Sultan Abdullah Muhammad I tidak mempunyai anak bernama Raja Alang Abdul Rahman.

Raja Noor Jan Shah berkata, dalam buku Tempat-Tempat Bersejarah Perak yang ditulis oleh N.A. Halim dan diterbitkan oleh Jabatan Muzium pada 1981, Sultan Abdullah Muhammad I merupakan Sultan Perak ke-22 yang dilantik pada 1851.

Beliau berkata, dalam muka surat 55 buku itu ada dicatatkan bahawa Sultan Abdullah Muhammad I beristerikan Raja Sharifah Ngah Aminah Raja Alang Rawin dan mempunyai anakanda Raja Loh Yusof (Sultan Yusof Shariffuddin Muzzafar Shah), Raja Sulaiman (mangkat di Ligor), Raja Pandak Abdul Rahman dan Raja Pandak Budak Rasul.

"Bagaimanapun terdapat kesilapan fakta pada buku itu kerana Raja Pandak Abdul Rahman sepatutnya ialah Raja Alang Abdul Rahman kerana dalam panggilan keluarga di Perak, anak ketiga adalah Alang dan tidak mungkin dalam satu keluarga ada dua orang yang bergelar Pandak,” kata Raja Noor Jan Shah.

Raja Noor Jan Shah berkata, tujuan beliau menyatakan perkara itu bukanlah untuk menegakkan benang basah tetapi semata-mata untuk menyatakan fakta seperti yang tercatat dalam salasilah Kesultanan Perak.

Semalam PWKNP meminta Raja Noor Jan Shah menghentikan dakwaan kononnya beliau merupakan pewaris kesultanan Melaka dan Perak.

Yang Dipertua PWKNP Raja Rozlan Raja Yaacob berkata bahawa dakwaan Raja Noor Jan Shah tidak benar sama sekali kerana buku-buku sejarah termasuk yang ditulis pada zaman penjajahan British menunjukkan Raja Abdullah Muhammad I tidak mempunyai anak bernama Raja Alang Abdul Rahman dan tidak wujud dalam salasilah Kesultanan Perak.

Pada 13 November 2005, Raja Noor Jan Shah mengaku dirinya sebagai waris Sultan Perak ke-22 melalui anakanda baginda Raja Alang Abdul Rahman. - Bernama



IPOH: Dakwaan ahli perniagaan, Raja Noor Jan Shah Raja Tuah bahawa beliau pewaris takhta ke-35 Sultan Perak bukan saja tidak berasas, malah disifatkan Persatuan Waris dan Kerabat Negeri Perak (PWKNP) sebagai sesuatu yang mengarut dan tidak waras.

Hari ini, PWKNP tampil mendedahkan hasil kajian dan siasatan berdasarkan maklumat salasilah Kesultanan Perak, catatan sejarah termasuk buku "A History of Perak" yang ditulis R O Winstedt dan R J Wilkinson pada 1934 dan temubual dengan keluarga terdekat Noor Jan sendiri, mengesahkan individu yang turut mendakwa dirinya Sultan Melaka ke-44 pada 2006 itu, bukan berdarah raja, jauh sekali mempunyai salasilah Raja Perak.
Yang Dipertua PWKNP, Raja Rozlan Raja Yaacob berkata, dua daripada empat nama didakwa anak kepada Sultan Perak Ke-22, Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah I, sebenarnya tidak wujud seperti didakwa Noor Jan.
Katanya, satu daripada dua nama yang tidak wujud adalah Raja Alang Abdul Rahman yang kononnya moyang kepada ahli perniagaan itu.

"Tindakan ini (mendakwa sebagai pewaris ke-35 takhta Sultan Perak iaitu selepas Sultan Azlan Shah) memalukan waris (kerabat) Perak.

"Kami minta Noor Jan hentikan daripada membuat dakwaan mengarut itu kerana dakwaan itu langsung tiada asas dan dia sebenarnya bukan berdarah raja.

"Kami tidak teragak-agak membuat laporan polis sekiranya dia (Noor Jan) terus cuba mencemarkan nama baik kerabat diraja Perak atau menghina institusi sah kesultanan yang ada kini," katanya sidang media di sebuah hotel di sini, semalam.
Sidang akhbar itu turut dihadiri Setiausaha Kehormat PWKNP, Raja Omar Ikram Raja Abdullah Omar.

Noor Jan sebelum ini mengejutkan ramai pihak apabila melakukan istiadat Penganugerahan Watikah Gelar Adat Kesultanan Melaka Ke-44 di Dewan Pusat Komuniti Taman Melati, Gombak, pada 2006.

Melalui istiadat itu, dia mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka yang ke-44 dengan membawa gelaran Sultan Ahmad Shah.

Dia mendakwa Sultan Mahmud mempunyai putera bernama Sultan Muzzaffar Shah I yang memerintah negeri Perak (1528-1549) sehingga kepada Sultan Perak Ke-22, Sultan Abdullah Muhammad Shah I Marhum Durian Sebatang (1851-1857) dan dari keturunan inilah munculnya Sultan Ahmad Shah Ke-44 yang bakal menjadi Sultan Melaka itu.

Raja Rozlan berkata, selain maklumat dikumpul oleh Biro Nasab yang turut melawat makam raja-raja, pertemuan pihaknya dengan bapa saudara dan sepupu Noor Jan yang tinggal di Daerah Perak Tengah juga tidak menyokong dakwaan itu kerana mereka sendiri mengakui bukan berdarah raja.

Sementara itu, Raja Omar Ikram, berkata sehingga kini tiada seorangpun kerabat di negeri itu mengenali Noor Jan sebaliknya individu itu hanya orang kebanyakan berasal dari Kampung Teluk Perang, Parit.

Beliau yang turut mendakwa satu stesen televisyen baru-baru ini turut menyiarkan lagi dakwaan Noor Jan sebagai waris Kesultanan Melaka dan mendakwa sebagai bakal Sultan Perak Ke-35, mahu ahli perniagaan berhenti daripada terus mengelirukan orang ramai dengan fakta yang tidak benar itu.

Sambil menegaskan Kesultanan Perak mempunyai sistemnya tersendiri bagi membolehkan seseorang pewaris ditabalkan sebagai Sultan seperti Raja Muda, Raja Dihilir dan diikuti raja-raja bergelar, beliau berharap penjelasan pihaknya dapat dijadikan panduan supaya mana-mana pihak yang menerima tuntutan Noor Jan tidak terpedaya dengan dakwaan itu.Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

No comments:

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews