Penulis ada sempat melihat demo rakyat AS terutama org Yahudi yang menentang kedatangan Presiden Iran ke bumi AS.Wah!!,,,bukan main marah rakyat AS.Adakah kerana Ahmadnejad tidak mahu ikut telunjuk kuasa besar? rakyat AS banyak dipermainkan oleh propaganda media AS bahawa Iran negara diktator, pengganas , ancaman nuklear dunia , dan segala bermacam lagi la yang buruk.Tetapi kedatangan pemimpin bertubuh kecil ini membuka mata rakyat AS bahawa mereka silap...inilah pemimpin negara Islam yang kewibawaan dan ketokohan untuk mewakili dunia Islam selepas era Tun Dr Mahathir yang acapkali mengkritik salahfaham Barat terhadap dunia Islam.Di sini saya mengambil artikel menarik dari blog AnakBapak tentang kunjungan Ahmadnejad ke AS.
Ketibaan Presiden Iran, Ahmadenejad di Amerika dua hari lepas menjadi begitu kontroversial walaupun beliau bukan ke sana untuk melawat bumi Uncle Sam tersebut. Hal ini tidaklah menghairankan kerana Ahmadenejad adalah satu-satunya pemimpin dunia yang mampu dan berani berdepan dengan satu-satunya kuasa besar dunia yang tinggal. Kehebatannya berpidato dan berhujah menambah lagi nilai berita (news worthiness) pemimpin ini dan meletakkannya sebaris dengan Bush di muka depan akhbar-akhbar utama dunia.
Sebaik saja telah disahkan bahawa Presiden Iran itu akan ke New York untuk berucap di PBB, maka beberapa institusi di Amerika berebut-rebut untuk menjemputnya sebagai tetamu mereka. Keghairahan mereka menjemput Ahmadenejad ini sedia kita fahami dan tentulah bukan kerana Presiden Iran ini seorang yang sangat dikasihi dan dirindui rakyat Amerika. Minat mereka yang mendalam terhadap Presiden Iran ini adalah lebih kepada “keceluparan” mulutnya di dalam mengkritik dasar-dasar Amerika dan Israel. Institusi-institusi ini berpandangan bahawa ini peluang terbaik mereka untuk “meratah dan melanyak” Ahmadenejad habis-habisan secara langsung di hadapan khalayak ramai. Tetapi kadangkala perancangan manusia ini banyak kecacatannya. Niat awal mereka untuk memburuk-burukkan Ahmadenejad telah bertukar menjadi sebaliknya hasil daripada ketokohan dan kewibawaan Presiden Iran ini di dalam berinteraksi dengan mereka.
Majlis pertama Ahmadenejad ialah siaran langsung “videoconferencing” anjuran National Press Club of America (NPC) berpusat di Washington DC. Presiden NPC, Jerry Zremski menggunakan sepenuhnya sesi soal jawab untuk mengemukakan soalan-soalan yang sukar dan “brutal” kepada Ahmadenejad. Walaupun kita sedia maklum dengan jawapan Presiden Iran ini, tetapi cara beliau menjawab dan mengawal diri ketika diasak-asak bertubi-tubi oleh penganjur membayangkan kehebatan dan keistimewaan insan bernama Ahmadenejad ini.
Ketika di satu lagi majlis ucapan dan bersoal jawab dengan siswa Universiti Columbia di New York, sekali lagi Ahmadenejad mempamerkan “statesmanship’nya yang unggul. Pada permulaan majlis tersebut, Presiden Universiti Columbia Lee Bollinger telah menggunakan ucapan alu-aluannya untuk menghina Ahmadenejad. Kata-kata seperti “diktator yang kejam”, “mengarut” dan “gemar membuat provokasi atau sememangnya tidak berpendidikan” telah dilemparkan kepada Ahmadenejad di hadapan khalayak ramai. Presiden Iran yang berucap selepas ucapan Bollinger, dengan tenang, membidas Presiden Universiti berkenaan dengan menyebut bahawa budaya masyarakat negaranya melayan tetamu dengan hormat dan sopan santun dan menasihatkan Bollinger supaya tidak terpengaruh dengan fitnah akhbar dan pemimpin politik mereka mengenai dirinya.
Jika kita lihat dengan teliti insiden ini, impaknya bagaikan satu pukulan maut kepada Amerika. Bayangkan sebuah negara yang mengaku begitu bertamadun memperlakukan tetamu jemputan mereka sebegitu rupa, dan di hadapan khalayak ramai! Sikap Bollinger ini telah dikritik dengan hebat oleh pengulas-pengulas politik Amerika dan juga rakyat Amerika sendiri. Melalui media dan laman web mereka bersependapat sikap sebegini akan memburukkan lagi reputasi Amerika dan menaikkan imej Ahmadenejad di mata dunia.
Isu Israel dan peristiwa “holocaust” menjadi tajuk utama persoalan. Presiden Iran dengan tenang menerangkan bahawa perisitwa ini perlu terus dikaji dari pelbagai perspektif kerana alasan peristiwa ini telah digunakan sewenang-wenangnya untuk menjustifikasikan tindakan Israel. Sebagaimana juga sains dan lain-lain aspek kehidupan lain, tidak ada satu pun yang mutlak, malah semuanya terdedah kepada kajian dan analisa yang berterusan. Ahmadenejad berpendapat bahawa kelainan perspektif di dalam kajian berhubung peristiwa “holocaust” perlu diraikan dan bukan dihukum seperti yang berlaku sekarang di Eropah. Beliau juga menambah walauapapun natijah daripada peristiwa hitam itu, tidak sewajarnya rakyat Palestin yang perlu menanggung akibatnya. Bukan salah rakyat Palestin menyebabkan berlaku peristiwa “holocaust” kerana ia berlaku di Eropah. Di Iran sendiri ada ramai orang Yahudi dan mereka dilayan dengan baik. Malah kerajaan Islam Iran memberikan hak istimewa melantik wakil mereka untuk duduk di parlimen walaupun kuota penduduk Yahudi kurang daripada sepatutnya. Ahmadenejad mencadangkan supaya rakyat Palestin (terdiri daripada umat Islam, Yahudi dan Kristian) diberi peluang menentukan sendiri nasib masa depan negara mereka melalui referendum yang adil dan sah.
Berhubung dengan isu nuklear, Presiden Iran menyatakan bahawa apa yang dibuat oleh Iran adalah sah dari segi undang-undang dan memenuhi haknya sebagai anggota IAEA. Peruntukan perlembagaan IAEA membenarkan anggotanya membangunkan tenaga nuklear untuk tujuan keamanan dengan syarat pengkayaan Uranium tidak melebihi 5%. Sehingga hari ini IAEA mengesahkan bahawa Iran tidak pernah melanggar mana-mana peraturannya. Ahmadenejad seterusnya membidas Amerika kerana cuba memonopoli teknologi nuclear dan berterusan membangunkan senjata nuklear yang jauh lebih merbahaya, dan dalam masa yang sama menghalang negara lain untuk memajukan teknologi yang sama untuk tujuan keamanan. Malah beliau beranggapan orang yang tidak waras sahaja yang menggunakan senjata nuklear untuk membunuh insan lain.
Isu penindasan ke atas kaum wanita juga menjadi isu panas. Ahmadenejad berkata bahawa 2 orang Naib Presiden Iran adalah wanita, 60% pelajar universiti-universiti di Iran adalah wanita, dan wanita memenuhi setiap jawatan utama di dalam kerajaan dan swasta. Malah di Iran sesuai dengan budaya Islam, wanita diberi tempat istimewa dan dicium tangan oleh anak-anak. Tidak timbul isu penindasan atau diskriminasi ke atas wanita di Iran.
Banyak lagi isu-isu lain yang diperbincangkan termasuk homoseksual, hukuman bunuh, sokongan Iran ke atas pengganas, dan lain-lain lagi. Ini pun telah dijawab dengan baik dan meyakinkan oleh Presiden Iran.
Dalam saya asyik menonton majlis tersebut secara langsung, hati saya benar-benar tercuit dan tersentuh dengan kehebatan dan kewibawaan Ahmadenejad. Beliau bukan saja menunjukkan keberanian mengunjungi negara yang menanggap dirinya sebagai musuh ketat Amerika dan berdailog secara terbuka dengan rakyat Amerika tanpa sekatan, tetapi juga beliau berdiri sebagai seorang Islam yang mewakili suara ummah seluruh dunia. Dengan ucapan beliau yang lantang bersandarkan ayat-ayat suci Al-Quran, berhemah di dalam berkata-kata dan penghujahan, dan kelembutan wajah walaupun ketika dihina dan nista, semuanya akan memberi kesan yang mendalam kepada imej Islam dan umat Islam di Amerika dan dunia. Semoga Allah swt memberi kekuatan dan keselamatan sentiasa kepada beliau.