Semalam saya sempat menghadiri Forum Kebebasan Akademik anjuran Akademi Pak Sako & Gen S yang diadakan di Shah Village Hotel, PJ.Forum ini dianjurkan ekoran penggantungan Prof. Dr Aziz Bari oleh UIA yang didakwa kononnya menghina dan mempersoal kuasa Sultan dalam hal ehwal Islam. Isu ini menjadi panas di dada media dan pihak penganjur mengharapkan forum ini dapat menerangkan kepada masyarakat berkenaan "Kebebasan Akademik" kepada masyarakat.
Antara ahli panel yang hadir pada malam itu ialah Hasmi Hashim, (Penulis bebas &Penasihat Akademik Pak Sako), Fadiah Nadwa (Peguam Lawyer For Liberty), Fahmi Reza (Pengarah Filem) dan Dr Azmi Shahrom (Presiden PKUM). Kehadiran orang ramai amat memberangsangkan terutama dari kelompok anak muda, pensyarah universiti dan pemimpin politik.
Dr Azmi Shahrom memulakan forum dengan memberikan definisi "Kebebasan Akademik" :
"Kebebasan akademik bermaksud pandangan anda dicabar dengan penjelasan yang setaraf, ataupun lebih baik. Displin akademik adalah limitasi kebebasan akademik, bukan undang-undang".
Beliau menjelaskan, seandainya dirinya menyatakan sesuatu atas kapasiti sebagai seorang pensyarah, maka beliau mestilah bersedia untuk menerima apa-apa kritikan. Dan kalau dirinya dibuktikan salah, maka itu limitasi beliau. Dan kerja-kerjanya boleh dikritik, sekiranya tiada data, tiada rujukan atau memplagiat kertas orang lain, dan itu adalah limitasi dirinya.
"Bukan undang-undang, atau canselor universiti untuk memberitahu di mana limitasi saya. Limitasi saya ialah integriti saya," - Dr Azmi Shahrom.
Panelis seterusnya ,Hasmi Hashim mengaitkan sikap BEBALISME berlaku pada masyarakat kini terutama kepada sang penguasa atau pemerintah. Proses pembodohan dan pembisuan berterusan dilakukan oleh pemerintah sejak zaman Mahathirisme kepada masyarakat dan kini ia merebak kepada golongan akademik. Beliau mengaitkan nasib pemikir Socratas, pada zaman silam di kota Athens, di mana beliau dihukum atas tuduhan menghasut orang muda.
"Hujah yang benar lazimnya akan mencabar status quo, sama ada status quo itu kita pindah dalam institusi dengan nama universiti, atau status quo tu kita pindah dalam institusi yang namanya pemerintah, kerajaan, tak kisahlah..." kata Hasmi Hashim.
Hasmi turut juga mengimbau kembali sejarah di China dimana apabila berlaku pertukaran dinasti maka antara golongan pertama di tindas ialah golongan akademik. Hal ini kerana golongan akademik ini dilihat sebagai pembawa obor pencerahan kepada masyarakat yang dkhuatiri akan memudaratkan kerajaan tersebut.
Fadiah Nadwa yang merupakan bekas pelajar Aziz Bari di UIAM berkata, "Dalam kes ini, saya salahkan UIA. Kalau kerajaan gunakan polis, kerajaan gunakan MCMC, kerajaan gunakan undang-undang draconian untuk menyekat kebebasan bersuara Aziz Bari, UIA sepatutnya membela Aziz Bari, membela prinsip ilmu, membela maruah dan budaya ilmu, dan bukannya bersekongkol dengan menggunakan taktik-taktik kotor, menyekat dan menyenyapkan Profesor Aziz Bari."
Pengarah filem, Fahmi Reza berkata pencabulan kebebasan akademik dalam kampus sudah lama berlaku, sebelum berlakunya kes Abdul Aziz Bari. Fahmi Reza mengambil dirinya sebagai contoh, mengisahkan pengalaman bagaimana dirinya pernah dihalang daripada memberi kuliah kepada siswa dalam universiti, tentang pergerakan siswa tempatan pada zaman 1960-an.
Di samping itu, beliau turut berkongsi sejarah bagaimana AUKU digubal pada tahun 1971, selepas siswa terlibat untuk berkempen dalam pilihan raya umum pada tahun 1969, di mana mereka yang tidak berkepentingan ini, tampil dengan manisfesto untuk menolak politik perkauman.