INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Wednesday, October 26, 2011

Forum Kebebasan Akademik - Kes Prof. Dr Aziz Bari



Semalam saya sempat menghadiri Forum Kebebasan Akademik anjuran Akademi Pak Sako & Gen S yang diadakan  di Shah Village Hotel, PJ.Forum ini dianjurkan ekoran penggantungan Prof. Dr Aziz Bari oleh UIA yang didakwa kononnya menghina dan mempersoal kuasa Sultan dalam hal ehwal Islam. Isu ini menjadi panas di dada media dan pihak penganjur mengharapkan forum ini dapat menerangkan kepada masyarakat berkenaan "Kebebasan Akademik" kepada masyarakat.

Antara ahli panel yang hadir pada malam itu ialah Hasmi Hashim, (Penulis bebas &Penasihat Akademik Pak Sako), Fadiah Nadwa (Peguam Lawyer For Liberty), Fahmi Reza (Pengarah Filem) dan Dr Azmi Shahrom (Presiden PKUM). Kehadiran orang ramai amat memberangsangkan terutama dari kelompok anak muda, pensyarah universiti dan pemimpin politik.

Dr Azmi Shahrom memulakan forum dengan memberikan definisi "Kebebasan Akademik" :

"Kebebasan akademik bermaksud pandangan anda dicabar dengan penjelasan yang setaraf, ataupun lebih baik.  Displin akademik adalah limitasi kebebasan akademik, bukan undang-undang".
Beliau menjelaskan, seandainya dirinya menyatakan sesuatu atas kapasiti sebagai seorang pensyarah, maka beliau mestilah bersedia untuk menerima apa-apa kritikan.  Dan kalau dirinya dibuktikan salah, maka itu limitasi beliau.  Dan kerja-kerjanya boleh dikritik, sekiranya tiada data, tiada rujukan atau memplagiat kertas orang lain, dan itu adalah limitasi dirinya.

"Bukan undang-undang, atau canselor universiti untuk memberitahu di mana limitasi  saya.  Limitasi saya ialah integriti saya," - Dr Azmi Shahrom.

Panelis seterusnya ,Hasmi Hashim mengaitkan sikap BEBALISME berlaku pada masyarakat kini terutama kepada sang penguasa atau pemerintah. Proses pembodohan dan pembisuan  berterusan dilakukan oleh pemerintah sejak zaman Mahathirisme kepada masyarakat dan kini ia merebak kepada golongan akademik. Beliau mengaitkan nasib pemikir Socratas, pada zaman silam di kota Athens, di mana beliau dihukum atas tuduhan menghasut orang muda. 

"Hujah yang benar lazimnya akan mencabar status quo, sama ada status quo itu kita pindah dalam institusi dengan nama universiti, atau status quo tu kita pindah dalam institusi yang namanya pemerintah, kerajaan, tak kisahlah..." kata Hasmi Hashim.

 Hasmi turut juga mengimbau kembali sejarah di China dimana apabila berlaku pertukaran dinasti maka antara golongan pertama di tindas ialah golongan akademik. Hal ini kerana golongan akademik ini dilihat sebagai pembawa obor pencerahan kepada masyarakat yang dkhuatiri akan memudaratkan kerajaan tersebut.

Fadiah Nadwa yang merupakan bekas pelajar Aziz Bari di UIAM berkata, "Dalam kes ini, saya salahkan UIA.  Kalau kerajaan gunakan polis, kerajaan gunakan MCMC, kerajaan gunakan undang-undang draconian untuk menyekat kebebasan bersuara Aziz Bari, UIA sepatutnya membela Aziz Bari, membela prinsip ilmu, membela maruah dan budaya ilmu, dan bukannya bersekongkol dengan menggunakan taktik-taktik kotor, menyekat dan menyenyapkan Profesor Aziz Bari."

Pengarah filem, Fahmi Reza berkata pencabulan kebebasan akademik dalam kampus sudah lama berlaku, sebelum berlakunya kes Abdul Aziz Bari.  Fahmi Reza mengambil dirinya sebagai contoh, mengisahkan pengalaman bagaimana dirinya pernah dihalang daripada memberi kuliah kepada siswa dalam universiti, tentang pergerakan siswa tempatan pada zaman 1960-an.

Di samping itu, beliau turut berkongsi sejarah bagaimana AUKU digubal pada tahun 1971, selepas siswa terlibat untuk berkempen dalam pilihan raya umum pada tahun 1969, di mana mereka yang tidak berkepentingan ini, tampil dengan manisfesto untuk menolak politik perkauman.


2 comments:

Anonymous said...

http://www.sahabat-gunung.com/2011/10/jangan-cakap-tak-serupa-bikin-bela-aziz.html
Jangan Cakap Tak Serupa Bikin.. Bela Aziz Bari Tapi Lupa Khianat Dr Rosti
Bagi penganalisis politik dan ahli akademik, Prof. Dr. Ahmad Atory, tindakan yang dibuat oleh UIA terhadap Aziz Bari adalah berkaitan dengan tugasnya sebagai penjawat awam yang tertakluk kepada perintah am dalam melaksanakan tugas.
“Kedudukan Aziz Bari juga sama seperti saya iaitu penjawat awam jadi segala kenyataan yang dikeluarkan walaupun dalam dunia akademik tetapi masih tertakluk sebagai kakitangan kerajaan apatah lagi kerajaan tersebut adalah Barisan Nasional (BN),” katanya yang juga menjawat pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).
Difahamkan Aziz Bari menerima surat tunjuk sebab daripada UIA ekoran tindakannya mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan JAIS di sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini.
Tindakan tersebut telah menimbulkan polemik sehinggakan wujud segelintir pihak yang mahu mewujidkan himpunan membantah penggantungan tugas beliau atas alasan membelakangkan prinsip ‘kebebasan akademik’.
“Kebebasan ada hadnya walaupun dalam dunia akademik kerana semua yang terlibat tidak boleh bercakap sesuka hati dengan menyentuh mana-mana pihak semata-mata untuk kepentingan peribadi atau ada agenda tertentu apatah lagi dalam hal-hal yang melibatkan sesitiviti; tambahan pula apa yang dipertikaikan oleh Aziz Bari adalah titah Sultan Selangor yang sememangnya mempunyai tanggungjawab dan kuasa penuh atas agama Islam dan adat istiadat orang Melayu dan rakyat di seluruh negeri Selangor.
“Jika mahu bercakap tentang kebebasan janganlah bersikap berat sebelah sebaliknya biarlah adil dan memberikan pihak universiti kebebasan juga untuk mengambil tindakan atas kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Aziz Bari yang secara tidak langsung telah mengheret nama universiti terbabit.
“Salahkah pihak universiti mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada kakitangannya dan sewajarnya, sebagai seorang ahli akademik maka Aziz Bari perlu bertanggungjawab atas kenyataan yang telah dikeluarkannya dan ikutlah prosedur dengan menjawab saja surat tunjuk sebab yang dikemukakan,” katanya.

Anonymous said...

Apa asas undang-undangnya untuk mengatakan Sultan tidak konsisten dan bertindak tidak ikut Islam sedangkan perkara tersebut adalah prerogatif Sultan selaku Ketua Agama.

Tidak cukup dengan itu, "berpolitik" di Pasir Gudang dan Gelang Patah. Apa motifnya sebenarnya? Lesen beliau adalah akademik bukannya lesen politik kecuali beliau adalah ahli parti politik - perlu daftarlah kalau nak berpolitik.

Kebebasan bersuara bukan bermakna seseorang itu boleh bersuara sesuka hatinya semasa kahtib membaca khutbahnya,ataupun didalam suatu mesyuarat. DiDUN atau Parlimenpun, ada peraturan bila hendak bersuara - kena tunggu giliran dan bila dibenarkan Speaker untuk berbuat demikian.

Jika nak berpolitk perlulah beerdaftar seperti bila mahu beristeri perlu juga berdaftar. UIA tidak pun membenarkannya "berpolitik" sedangkan gajinya dibayar UIA bukannya parti politik.Mahu dengar cakap UIA atau parti politik???
Mungkin kot beliau pun menyedari bahawa masanya di UIA sudah boleh dihitung harinya, Cuma cepat atau lambat.

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews