Pemilik George Kent ini khabarnya rakan golf PM
GEORGE KENT GAGAL DALAM PENILAIAN BIDAAN, BAHAYAKAN NYAWA ORANG RAMAIPenilaian
bidaan untuk kerja-kerja tambahan LRT Ampang dibuat oleh sebuah
syarikat perunding kejuruteraan bernama HSS Integrated Sdn Bhd. Syarikat
ini adalah syarikat bersekutu yang menggunapakai kepakaran Halcrow,
salah sebuah perunding kejuruteraan terkemuka di dunia.
Keseluruhan
penilaian teknikal projek LRT Ampang bernilai lebih RM1 bilion ini
dibuat oleh Halcrow. Keputusan penilaian telah dimaklumkan kepada
Syarikat Prasarana Negara Berhad dalam sebuah laporan bertarikh
September 2011 yang disertakan bersama.
Berdasarkan keputusan
penilaian yang dibuat oleh Halcrow, Shahril Mokhtar (Pengarah Urusan
Kumpulan Prasarana) telah menulis surat kepada Kementerian Kewangan
bertarikh 12 Disember 2011 untuk memaklumkan hasil penilaian bidaan
kepada Jawatankuasa Peroleh Menteri Kewangan (JPMK) yang dipengerusikan
Najib Razak sendiri.
Mukasurat 7 dan 8 dari surat itu yang
menyenaraikan keputusan penilaian bidaan ada disertakan bersama. Ia
secara jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja George Kent (pembida 3)
gagal dari aspek kewangan (dikira tidak mempunyai kedudukan kewangan
yang kukuh untuk mengendalikan projek ini), konsortium itu juga adalah
antara pembida yang mendapat penilaian teknikal yang terendah pada mata
38.62 sahaja (diragui
kemampuan teknikal dan tidak berpengalaman mengendalikan projek seperti ini).
Saya
ingin memetik beberapa perkara penting hasil dari keputusan penilaian
bidaan yang wajib diberikan perhatian serius oleh rakyat Malaysia,
seperti yang termaktub di dalam laporan penilaian:
1.
Mukasurat 14 – pembida George Kent dirumuskan tidak memahami kehendak
teknikal projek (terutamanya dari segi koordinasi dan integrasi dengan
sistem sedia ada), apatah lagi berkemampuan mengendalikan projek seperti
ini;
2. Mukasurat 17 – pembida George Kent dirumuskan
tidak mampu meyakinkan perunding bahawa mereka mempunyai kepakaran
menjalankan projek ini secara sistematik dan disokong oleh sistem audit
projek yang memuaskan;
3. Mukasurat 24 – pembida George Kent
didapati tidak pernah mengendalikan projek besar, apatah lagi
berpengalaman di dalam projek sebesar ini. Berbanding dengan pembida
lain yang hampir kesemuanya pernah menyiapkan projek bernilai lebih RM1
bilion, projek terbesar pernah dikendalikan George Kent hanyalah
bernilai RM40 juta, sedangkan pakej kerja-kerja tambahan LRT Ampang ini
dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion;
4. Mukasurat 24 – pembida George Kent didapati tidak pernah terlibat di dalam projek melibatkan rel atau LRT;
5.
Mukasurat 64 – pembida George Kent dirumuskan berada di tempat
ketiga tercorot dari segi kemahiran dan pengalaman teknikal. Markah yang
diperolehinya adalah lebih rendah dari purata markah keseluruhan
pembida-pembida; dan
6. Mukasurat 72 – Halcrow merumuskan
bahawa Panel Penilai Teknikal tidak yakin George Kent boleh
mengendalikan projek itu dengan jayanya.
Berdasarkan dokumen-dokumen
ini, terbuktilah bahawa George Kent tidak mempunyai apa-apa kemahiran,
kepakaran atau pengalaman yang melayakkannya dianugerahkan tender ini,
kecualilah hubungan baik di antara George Kent dan Najib Razak.
Lebih
mengecewakan, keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak campur tangan dengan
membatalkan keputusan jawatankuasa penilai memberi gambaran seolah-olah
beliau tidak menghiraukan bahaya dan risiko keselamatan awam apabila
projek sistem LRT diserahkan kepada syarikat yang langsung tidak tahu
mengenai LRT.
Jika niat Najib Razak ini diteruskan, bermakna
ratusan ribu rakyat yang menaiki LRT Ampang saban hari kini berada di
dalam keadaan bahaya.
Saya menyeru supaya Najib Razak
menjelaskan apakah pertimbangan beliau yang mendorong beliau
membahayakan keselamatan rakyat dengan menganugerahkan kerja-kerja ini
kepada George Kent yang ternyata tidak layak.
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
Baca di Malaysia Chronicle juga.
@Pantherian- Saya sebagai seorang jurutera yang banyak terlibat dalam penilaian teknikal untuk sesuatu projek mengakui bahawa penilaian teknikal adalah amat penting dalam memilih syarikat yang layak untuk memenangi tender tersebut.
Malah penilaian teknikal ini lebih penting dari penilaian komersial (kos)untuk sesetengah projek kerana ia melibatkan faktor keselamatan, operasi dan kebolehpercayaan.
Oleh itu, pendedahan skandal LRT oleh Rafizi yakni wujud campurtangan PM Najib dalam menganugerahkan kontrak ini kepada konsortium George Kent Lion Pacifiz JV yang sudah gagal dalam penilaian teknikal ini amat mengusarkan orang awam. Ini kerana ia melibatkan keselamatan orang awam yang menaiki tren tersebut dan juga menurut Prasarana tren baru LRT Ampang nanti tidak mempunyai pemandu seperti tren laluan Kelana Jaya- Gombak.