Himpunan
Kebangkitan Rakyat #KL112 pada hujung minggu lepas meninggalkan seribu
suka duka kepada rakyat Malaysia dan ini merupakan rapat umum terbesar
yang terakhir menjelang PRU13. Di pihak Pakatan Rakyat, kehadiran
ratusan ribu rakyat terdiri pelbagai lapisan masyarakat memberi satu
tonik terbaik kepada mereka untuk mendepani pemerintah di PRU13 yang
kian hampir.
Bagi pemerintah pula, Perdana Menteri mengubah mood bicara agak lunak
apabila berterimakaseh kepada pembangkang dan Akta Perhimpunan Aman
yang telah menjamin keamanan di himpunan tersebut. Kejayaan himpunan
berlangsung dengan aman ini telah digunakan Najib Razak untuk
membuktikan kepada rakyat transformasi politik dan demokrasi sedang
berlaku di Malaysia.
Kepala himpunan #HKR112
Namun begitu, kejayaan himpunan ini dipandang sinis oleh beberapa
pihak terutamanya kalangan pendokong gerakan masyarakat sivil dan mereka
yang neutral.
Mereka agak skeptikal apabila ia diketuai oleh pemimpin parti politik
danbukannya di kalangan pemimpin masyarakat sivil atau NGO. Ya, kepala
untuk himpunan kali ini ialah Timbalan Presiden PAS, Sdr Mat Sabu dan
bukannya Ambiga. Malah sebahagian perarakan ketumbukan rakyat juga
diketuai oleh pemimpin politik seperti Azmin Ali di Masjid Negara,
Wanita PR di Pasar Seni dan Chegu Bard di Kg Baru.
Adakah salah parti politik mengetuai perarakan dan himpunan rakyat?
Mobilisasi dan gerak kerja #HKR112 ini bukan kerja selama sebulan malah
ia bermula tiga bulan lepas yang diketuai oleh pemimpin Pakatan Rakyat
yang bergerak di seluruh negara. Jika tiada dokongan kuat parti politik
dalam mana-mana demonstrasi atau himpunan maka usah mimpi untuk melihat
ratusan ribu yang hadir di Stadium Merdeka pada Sabtu lalu. Media arus
perdana tidak mampu lagi untuk menipu rakyat dengan angka palsu dan
laporan himpunan gagal mendapat sambutan.
Aku pertama kali menyertai demonstrasi sewaktu demo Anti PPSMI tahun
2009 yang diketuai oleh Pak Samad Said, Arwah Dato Hassan Ahmad dan
beberapa NGO seperti Gapena dan PKPIM. Perhimpunan ini didokong kuat
oleh PAS terutama Presiden Tuan Guru Hadi Awang yang mengerahkan seluruh
ahli PAS yang cintakan bahasa wajib hadir menyokong demonstrasi ini.
Unit Amal Pas dikerah sepenuhnya menjaga keselamatan orang ramai
sehingga seorang anggotanya ditangkap dan dibelasah oleh polis.
Demonstrasi ini boleh dianggap berjaya mencapai matlamat apabila
Perdana Menteri ketika itu, Pak Lah mengambil ketetapan tegas mengkaji
semula perlaksanaan PPSMI ekoran bantahan ramai khususnya orang Melayu
dan kita melihat hasilnya kini, PPSMI akan dimansuhkan. Nah, jika
puluhan ribu orang ramai tidak hadir untuk menjerit di Kuala Lumpur
waktu itu maka mustahil untuk pemerintah untuk akur akan suara minoriti
kumpulan pencinta bahasa.
Himpunan kotor dan tak jernih
Himpunan #HKR112 juga ditohmah oleh golongan sivil dan neutralista
sebagai himpunan kotor dengan agenda politik kepartian dan tidak jernih
seperti diinginkan. Himpunan Kebangkitan Rakyat dikatakan Himpunan
Pakatan Rakyat sebab banyak melaungkan slogan hancur BN, reformasi,
tumbang UMNO dan hidup rakyat di sepanjang perarakan ke Stadium Merdeka.
Selain itu, pidato beberapa pemimpin parti politik juga dikatakan tiada
pengisian yang baik dan hanya mengulangi fakta lama yang membosankan.
Tapi bagi aku, laungan merdeka yang bersemangat oleh DS Anwar Ibrahim
dan bacaan deklarasi #HKR112 berjaya membangkitkan mood acara
kebangkitan rakyat di Stadium Merdeka.
Aku mengakui himpunan ini merupakan himpunan gerakan politik tetapi
ia menarik apabila bergabung dengan gerakan masyarakat sivil lain
seperti kumpulan Hijau Lynas, ANAK, Muafakat, Bersih, Royalti dan SAMM
untuk bersatu tekad mendesak pemerintah mendengar tuntutan rakyat. Kita
tidak perlu malu mengaku ini gerakan politik yangdiketuai orang politik
kerana majoriti yang hadir itu juga adalah ahli parti politik. Sebab itu
aku tidak bersetuju dengan kenyataan Ambiga selepas Bersih 3 dulu yang
mengkritik orang ramai dan politikus yang melaungkan reformasi dan
bukannya Bersih.
Untuk bahasa yang lebih mudah,aku katakan ahli parti politik adalah
rakyat dan mereka juga ada hak kebebasan berkumpul dan bersuara yang
sama seperti orang lain. Tak perlu nak marah rakyat yang nak laung "Reformasi, Hancur BN, Tumbang UMNO dan Hancur Najib” kerana itu adalah
ekspresi kemarahan rakyat kepada pemerintah. NGO-NGO yang datang juga
marah kepada pemerintah dan Stadium Merdeka adalah tempat kemuncak
mengekspresi kemarahan selama ini. Kerajaan negeri pimpinan Pakatan
Rakyat juga tidak pernah menyekat gerakan politik UMNO menerusi NGO
seperti Perkasa, GAPS dan GPRS untuk berdemo dan mengekspresi kemarahan
mereka sebagai menghormati hak kebebasan bersuara rakyat.
Politik dalam institusi demokrasi
Selepas dibenarkan berhimpun di Stadium Merdeka, kita seakan terpukau
dengan gaya Najib Razak dan bahasa lunaknya yang berterima kaseh pada
Pakatan Rakyat disebabkan keamanan di himpunantersebut. Malah ada yang
kata Najib sudah mula mendakap bantal demokrasi ! Orang yang percaya
propaganda ini mungkin baru pertama kali ke demonstrasi dan tak sempat
merasa gas pemedih mata!
Kebanyakan golongan masyarakat sivil dan neutral ini mahu hak
kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perkara 10 diamalkan di
Malaysia secara meluas. Tapi kita jangan lupa negara kita masih ada
undang-undang mengongkong rakyat seperti Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan, AUKU, Akta Keterangan dan Akta Hasutan. Perjuangan untuk
memerdekakan rakyat daripada akta-akta yang mencengkam ini adalah
melalui gerakan politik di institusi demokrasi yakni di Parlimen.
Nak atau tidak untuk mengubah lanskap sistem demokrasi adalah melalui
jalan Parlimen. Untuk memasuki Parlimen, anda perlu menyertai parti
politik dan menang pilihanraya. Ahli politik yang menang pilihanraya
akan dilantik menjadi Menteri atau Perdana Menteri. Kuasa yang dimiliki
ahli politik ini mampu untuk menggubal undang-undang dan pastinya hak
kebebasan berhimpun dan bersuara ini mampu untuk dilaksanakan. Kerajaan
Pulau Pinang sebagai contoh telah mewujudkan Speaker Corner di Padang
Kota Lama dengan kuasa politik negeri yang ada.
Pasca #HKR112 bukan masanya untuk kita saling tuding jari siapa yang
patut “lead” atau “claim”himpunan ini kotor dan tak suci. Tapi apa yang
lebih penting adalah memperkukuhkan kerjasama dan muafakat antara
gerakan masyarakat sivil dan parti politik untuk menuntut perubahan dan
sistem yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing di bawah kesatuan
yang sama inginkan perubahan kerajaan dan sistem di Malaysia, saya yakin
masih ada sinar dan harapan untuk Malaysia yang baharu. Inikalilah !
Ikhwan Hafiz adalah seorangJurutera, Alumnus Sekolah Politik dan Akademi Pak Sako.
Artikel ini telah dimuatkan ruangan esei portal website www.jalantelawi.com
No comments:
Post a Comment