Bulan Ramadhan yang akan ditinggalkan ini pasti meninggalkan seribu
kemanisan beribadah kepada diri kita. Semangat yang diperkuatkan dan
diperkukuhkan sepanjang menghadapi dugaan Ramadhan ini pasti menjadikan
kita lebih kuat untuk menghadapi cabaran dalam aspek kehidupan yang
lain.
Sambutan
Syawal kali ini pastilah sangat bermakna kepada mereka yang menghayati
semangatnya. Syawal diraikan sebagai simbol kemenangan iman melawan
nafsu serta menundukkan upaya keinginan untuk mengingkari segala apa
yang diperintahkan. Syawal ini seharusnya telah menganjakkan diri
manusia ke satu dimensi baru yang lebih baik, menonjolkan sisi
perjuangan yang lebih memberi inspirasi.
Kita akan menghadapi satu pertembungan hebat yang akan berlaku pada
bila-bila masa sahaja selepas ini. Pertembungan ini disebut-sebut
sebagai satu pertembungan nilai, pemikiran , semangat serta keteguhan
percaya antara yang benar dan yang batil. Inilah yang akan menjadi kayu
ukur ke mana arah bangsa Malaysia akan berada untuk tahun-tahun yang
berikutnya.
Pertembungan ini akan menjadi titik tolak untuk membina negara dan
bangsa yang lebih bermaruah dan dihormati. Keadaan sekarang, dimana
kegemilangan telah pudar dan harapan adalah samar-samar adalah satu
malapetaka yang dicipta pemerintah zalim yang tamak serta mengabaikan
kesejahteraan rakyat.
Anak muda harus mengadaptasi semangat Ramadhan dan Syawal untuk menempuh
cabaran untuk mengembalikan maruah umat ini ke tempat yang selayaknya.
Menjadi satu kerugian sekiranya kita melepaskan peluang terbaik ini
untuk menjadi sebahagian catatan sejarah , sebagai generasi yang
menggerakkan zaman ini ke hadapan. Bangkitkan keyakinan, serta istiqamah
menuju ke gerbang kemenangan yang menjanjikan masa hadapan yang cerah.
Fajar Syawal yang menjelang adalah satu waktu tepat untuk anak muda
berubah, dan bangkit bersama -sama berganding bahu. Rapatkan jurang
perkauman, hidup dalam satu makna bangsa, negara dan jiwa. Kesepaduan
yang jitu bakal memberi impak berlainan dan menjanjikan kegemilangan
baru. Kehidupan lalu jadikan satu hagemoni yang memberi pengajaran, agar
generasi anak muda nantinya tidak akan mengulangi khilaf yang sama.
Anak muda harus buka mata melihat sekeliling, memandang lebih jauh dan
mendalami penderitaan bahawa bangsa ini telah kehilangan maruahnya
sebagai sebuah bangsa yang bebas. Segala bentuk penindasan yang
direkayasa secara halus, perlahan-lahan telah mengikat kaki dan tangan
kita untuk hidup megah.
Malangnya masih wujud sebahagian yang berpuas hati serta menyerah dengan
kehidupan yang dilalui, tanpa menyedari bahawa yang diambil lebih
banyak dari apa yang dinikmati serta tidak berpeluang berada pada tahap
kehidupan yang lebih menjanjikan kedamaian.
Justeru, saya mewakili Kelab Anwar Ibrahim ingin mengucapkan Salam
Aidilfitri buat sekalian anak mua yang meraikan, serta mereka yang
menerima tempias semangatnya. Pastikan Syawal ini akan menjadi saksi,
kelahiran semangat baru, yang menjanjikan kemenangan paling manis dalam
kehidupan yang pasti ditinta dalam lipatan sejarah yang akan dibaca
berulang-ulang oleh pemberani zaman akan datang.
GENERASI PENGGERAK ZAMAN
SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD
Presiden
AIC MALAYSIA
No comments:
Post a Comment