Polis Mengganas! Mahasiswa Dibelasah, Ditangkap Dalam Tragedi Berdarah UPSI
Kemaskini Tanjong Malim, 1 Jan : Tatkala seluruh dunia khususnya orang ramai di Malaysia sedang lena dibuai mimpi indah dan bergembira menyambut ketibaan tahun baru 2012 Masihi hari ini, lain pula ceritanya sekumpulan mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Awal pagi tadi, hampir 100 mahasiswa yang mengambil keputusan meneruskan aksi himpunan aman di hadapan UPSI semata-mata ingin menuntut pihak universiti menggugurkan kes Adam Adli, telah dibelasah dan dipukul sehingga menyebabkan beberapa siswa cedera parah dan luka di badan.
Tragedi berdarah itu menurut sumber berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi tadi dan berpunca akibat ‘kedegilan’ kumpulan mahasiswa terbabit bersurai setelah diarahkan berbuat demikian oleh pihak polis.
Diberitakan hampir 20 anggota polis dan FRU telah dikerahkan turun untuk mengekang pergerakan mahasiswa selain puluhan lagi ‘Special Branch’ yang berkeliaran sekitar himpunan sejak petang semalam.
Dua buah trak FRU juga ditempatkan di sana sejak malam semalam.
Safwan koma dibelasah
Menurut sumber, tragedi berdarah awal pagi tadi berlaku setelah Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Muhammad Safwan Anang tidak mengendahkan arahan pihak polis supaya bersurai.
Mahasiswa yang hadir dari sekitar Lembah Klang dan UPSI teguh berdiri di hadapan sekumpulan anggota FRU dan polis dengan mengangkat beberapa kain rentang dan melaungkan beberapa kalimah keramat mahasiswa.
Namun, seketika kemudian, setelah beberapa kali arahan pihak polis tidak didengari, pihak polis mula bertindak agresif dan meluru ke arah kumpulan mahasiswa terbabit.
Diberitakan kira-kira lapan orang polis dan ‘Special Branch’ telah memukul Muhammad Safwan namun berjaya ditarik keluar oleh rakannya.Safwan, 22, yang juga Timbalan Presiden GAMIS terpaksa dikejarkan ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut dan pemeriksaan mendapati beliau telah mengalami patah tulang di bahagian kiri pipi.
Safwan kini sudah sedar daripada koma dan sedang dirawat di hospital ditemani beberapa rakan mahasiswa.
Selain Safwan, beberapa siswa juga dilaporkan berdarah teruk dan cedera akibat dibelasah dengan kejam oleh pihak polis.
Tujuh belas siswa ditangkap
Sehingga kini, dilaporkan hampir tujuh belas mahasiswa telah ditangkap dalam pergelutan itu termasuk aktivis yang menurunkan bendera Datuk Seri Najib, Adam Adli.
Antara yang dikenalpasti telah ditangkap polis adalah Timbalan Presiden PMIUM, Amir Nabil, Adam Adli (UPSI), Haziq Abdullah (KAMI), Syukri Razab (SMM), Shukri Kamaruddin, dan beberapa siswa Universiti Malaya, UniSEL serta kampus sekitar Lembah Klang.
Tiada tangkapan dilakukan terhadap mahasiswi namun dikhabarkan ada beberapa provokasi telah dilakukan pihak polis terhadap mereka.
‘Hadiah’ tahun baru yang ‘suprise’
Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd Taufiq dalam kenyataannya jelas kecewa dengan apa yang berlaku awal pagi tadi.
“Inilah hadiah tahun baru terbaik dan ‘suprise’ yang pernah saya terima.
“Saya kecewa dengan sikap polis yang seperti dicucuk ubat pelali, sangat-sangat bodoh ketika membelasah rakan-rakan saya tadi (pagi tadi).
“Dengan tidak sedarkan diri dan tanpa kawalan iman, ramai aktivis berdarah dibelasah dan terpaksa dikejarkan ke hospital.
“Mengapa kami diperlakukan sebegini rupa? Adakah kami lebih teruk daripada ribuan lagi rakyat yang sedang berseronok malam ini? Mengapa mereka yang tidak diperlakukan sebegini rupa?”, soalnya yang turut menyatakan kesemua mereka ditahan di Balai Polis Tanjung Malim.
Beliau juga menyatakan beberapa wartawan yang sedang membuat liputan juga dipukul walaupun sudah ditunjukkan kad lesen kewartawanan mereka.
‘Manja’ bertukar kepada ‘benci’
Terdapat juga sesetengah pihak menyifatkan tindakan pihak polis awal pagi tadi adalah kesinambungan kesan daripada himpunan BEBAS 17 Disember lalu di Kuala Lumpur.
Ketika himpunan itu, pihak polis terlalu ‘bermanja’ dengan mahasiswa sehingga dikatakan membantu melancarkan perarakan mahasiswa sehinggalah terjadinya kejadian turun bendera di PWTC yang membuatkan pihak polis kebingungan.
Mungkin atas alasan itu, mereka tidak mahu kejadian serupa terjadi di UPSI, membelai mahasiswa dengan kasih sayang dan senyum.
No comments:
Post a Comment