KENYATAAN MEDIA
Pembebasan DSAI: Ayuh Perbaharui Komitmen Ke Arah Malaysia Yang Lebih Adil
Kelab Anwar Ibrahim (AIC) merakamkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan keizinanNya, keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas diputuskan tidak bersalah.
Keputusan ini – yang diakui sedikit mengejutkan – membuktikan bahawa segala fakta-fakta perundangan yang telah dikemukakan oleh pasukan peguam pembela Datuk Seri Anwar berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah sehingga gagal disanggah oleh pasukan pendakwaraya.
Walaupun mahkamah membebas dan melepaskan Datuk Seri Anwar, AIC melihat ini bukanlah bermakna sistem kehakiman Malaysia sudah bebas sepenuhnya. Malah, AIC berpandangan sekiranya sistem kehakiman Malaysia mempunyai integriti yang tinggi, kes ini sewajarnya dibuang lama dahulu kerana kes yang dibawa pendakwa adalah kes yang rapuh dan tidak kredibel sama sekali.
Dalam masa yang sama, AIC berharap agar pihak berkuasa boleh bertindak untuk mengekang sebarang bentuk fitnah yang disasar ke atas Datuk Seri Anwar. Tidak perlu ada kompromi dalam hal ini, tanpa mengira sasaran, budaya fitnah harus dikekang dan dihentikan sepenuhnya.
Segala kemungkinan akan dihadapi, dan sokongan generasi muda sentiasa tidak putus ke atas Datuk Seri Anwar dengan agenda merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik.
Tanggal 9 Januari harus menjadi satu permulaan baru untuk rakyat Malaysia, memperbaharui azam dan tekad untuk mengeluarkan Malaysia dari gejolak rasuah, salahguna kuasa dan sistem tadbirurus negara yang lompong. Perubahan yang dituntut, melangkaui perbezaan agama, ideologi dan kaum: ianya untuk masa depan generasi muda Malaysia pastinya.
GENERASI PENGGERAK ZAMAN
Julailey Jemadi
Kelab Anwar Ibrahim (AIC)
Malaysia
No comments:
Post a Comment