Oleh Siddiqin Omar
TAIPING 18 SEPT: Program debat calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berlangsung dalam suasana kekeluargaan walaupun semua calon yang bertindak sebagai pemidato, membawa gagasan, kaedah dan idea yang berbeza.
Program yang berlangsung di Dewan Teratai, Kelab Golf Taiping, Perak itu dirasmikan Ketua AMK Perak, Abdul Yunus Jamhari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau.
Pada program berkenaan, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parit Sulong, Hasmi Hashim tampil sebagai pemidato pertama yang membentang idea ‘Gagasan Pencerahan’.
Beliau mengungkap semula makna dan harapan baru semenjak tercetusnya gerakan reformasi, selain turut menyarankan supaya fungsi seni dan budaya tidak diketepi dalam arus perjuangan.
“Jangan lupa, ahli politik besar adalah pemikir, budayawan dan penulis, antaranya Presiden Soekarno dan Jose Rizal. Penulis zaman baru yang mahu menjadi besar adalah budayawan yang terjun dalam kancah masyarakat dan melihat kesusahan rakyat,” katanya.
Bendahari PKR Trengganu, Rafizi Ramli pula menggamit anak muda mengimbas kembali sejarah awal gerakan reformasi sebagai suatu titik perubahan yang membawa politik baru di negara ini.
Beliau berpendapat, semangat kebersamaan perlu pada semua peringkat walaupun setiap kelompok mempunyai kaedah dan mekanisme tertentu dalam melaksanakan agenda reformasi mengikut konteks masing-masing.
“Revolusi Perancis yang dipelopori golongan imiah dan intelek dilakukan bagi melaksanakan perubahan supaya hak rakyat terus dijunjung,” katanya yang mengingatkan anak muda betapa cabaran dalam berdepan dengan Barisan Nasional berbeza dengan era 1998.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard pula menekankan keperluan pembentukan struktur organisasi yang mantap bagi menyantuni golongan eksekutif sehingga masyarakat jalanan.
Justeru, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu mengingatkan anak muda betapa kebergantungan kepada parti semata-mata, akan gagal membentuk generasi muda yang mandiri.
“Struktur yang ada perlu diperkasakan. Rancangan bagi anak muda, terutama dalam negeri Pakatan Rakyat perlu digarap. Reformasi bukanl sesuatu yang romantis tetapi adalah realiti yang perlu dihadapi,” katanya.
Sesi debat itu dipengerusikan pengasas Universiti Terbuka Perak (Ureka), Afendi Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mat Saman Kati.
Debat seumpama itu yang melibatkan calon bertanding pada peringkat parti adalah pertama di negara, bertujuan membentangkan pandangan masing-masing secara ilmiah dan akademi.
“Acara seperti ini mesti dibudayakan. Inilah politik baru yang dibawa PKR dan dimulakan golongan anak muda,” kata Afendi.
No comments:
Post a Comment