oleh Merdeka Review
Dalam politik, musuh kepada musuh adalah kawan. Semua puak dan sekta akan disatu-padukan sebaik mungkin untuk menentang musuh yang utama. Pendekatan sedemikian menjadi salah satu pilihan kepada politik berhaluan kiri, yang sering dilabel sebagai fahaman anti-agama dalam politik tanahair.
Jika diimbas zaman pasca penjajahan Jepun, konsep "kerjasama" ini terjelma dalam bentuk draft Perlembagaan Rakyat, yang dikemukakan oleh gabungan Putera-AMCJA. Kemudian, usaha disusuli dengan cubaan untuk menggabungkan pengikut tiga orang tokoh Ahmad Boestaman (dari Parti Rakyat), Burhanuddin Helmi (dari PAS) dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako, dari Parti Buruh Malaya).
Bagaimanapun ia berakhir dengan ketidakhadiran PAS, apabila Parti Rakyat dan Parti Buruh membentuk Barisan Sosialis (Socialist Front, SF) pada tahun 1958. Kuku besi regim Perikatan (dan Barisan Nasional kemudiannya) terus mencengkam perluasan pengaruh sosialis - untuk beberapa dekad perjuangan sosialis disamakan dengan pengorbanan, seolah-olah perjuangan yang tidak menemui kemenangan...
Apa kata jikalau gerakan Reformasi tidak tercetus pada tahun 1998? "Tidak tahulah..." jawab Syed Husin Ali (gambar kanan), bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang mengambil keputusan penting pada zaman yang bergelora itu.
Sesungguhnya, tiada "jikalau" dalam sejarah. Tiada sesiapa yang dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku "jikalau" sejarah berlaku sebegini dan bukan sebegitu pada detik saat tertentu. Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview, Syed Husin Ali mengimbas faktor yang mencantumkan PRM dengan Parti KeADILan Nasional; dan berkongsi penilaian dan pandangannya terhadap Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), sebelum beliau berundur dari jawatan Timbalan Presiden yang disandang sejak tahun 2003.
Anwar nyatakan hasrat dalam surat
Dalam negara seperti Malaysia, ruang demokrasi kadang-kala hanya berkembang di celah-celah retakan parti pemerintah. Pembangkang melalui zaman paling sukar untuknya setelah berlakunya tragedi 13 Mei 1969. Bukan sahaja Barisan Sosialis berpecah dan terbubar, malah PAS menyertai Barisan Nasional pada awal tahun 1970-an.
Harapan pembangkang akhirnya muncul dari celah retakan UMNO pada tahun 1987. Tengku Razaleigh Hamzah pada ketika itu keluar dari UMNO, dan menubuhkan parti Semangat 46, yang seterusnya menjuruskan pembentukan Gagasan Rakyat, satu perikatan politik yang turut melibatkan PRM.
Belum genap 10 tahun kemudian, sejarah yang agak mirip dengan babak ini berulang. Anwar Ibrahim (gambar kiri) dipecat dari UMNO Baru. Parti KeADILan Nasional ditubuhkan, menjurus kepada pembentukan Barisan Alternatif (BA). Bagaimanapun, seperti tahun 1990, UMNO-BN berjaya mempertahankan majoriti dua pertiga dalam parlimen pada PRU ke-10 tahun 1999, tetapi...
Sesuatu yang luar biasa berlaku. BA biarpun tidak terelak daripada nasib keretakan, tetapi menyaksikan percantuman antara Parti KeADILan Nasional dengan PRM untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat pada 3 Ogos 2003.
Siapakah sebenarnya yang mula-mula mengutarakan cadangan ini? Soalan yang menjangkakan hanya dua kemungkinan jawapannya, iaitu Anwar Ibrahim atau Syed Husin Ali.
"Tidak pasti," jawab Syed Husin Ali, "Tetapi dalam satu surat Anwar sebut..." Beliau mula menceritakan bagaimana Anwar menyatakan hasratnya dalam surat yang diseludup keluar dari penjara.
"Jadi, pada Dr. Syed (gambar kanan), apakah pertimbangan Anwar ketika mencadangkan pencantuman ini?" tanya wartawan MerdekaReview.
"Sebenarnya dia (Anwar) jelaskan, lebih kurang beginilah. Dia melihat bahawa kebanyakan anggota dalam PKN, bukan tak ada, tetapi kebanyakan anggota biasa, terdiri daripada pelbagai golongan..."
Syed Husin Ali bersambung, "Satu golongan UMNO, satu golongan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia ), satu golongan JIM (Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia ), satu golongan NGO. Dan kebanyakan anggota biasa ini masih belum ada pengalaman politik, belum ada pandangan politik yang jelas, dan beliau mengharapkan kerjasama daripada Parti Rakyat untuk memberikan misalnya, sedikit... pendirian yang lebih bermakna."
PRM pula, pada ketika itu berdepan dengan masalah perkembangan organisasi yang terbantut, bilangan ahli aktif yang berkurang, meskipun mencatat bilangan 30,000 ahli yang mendaftar pada waktu itu. Syed Husin Ali mengakui realiti bahawa kekuatan PRM semakin menyusut jikalau dibandingkan dengan zaman Barisan Sosialis.
Oleh yang demikian, PRM melihat cadangan pencantuman ini sebagai satu peluang untuk mengembangkan idea kepada massa. Untuk tiga tahun berturut-turut kongres PRM membincangkan agenda ini, dan akhirnya kongres meluluskan usul agar PRM dibubarkan dan bercantum dengan Parti Keadilan Nasional, dengan sokongan majoriti dua pertiga, kata Syed Husin Ali.
Tentangan dalaman kedua-dua parti
Bagaimanapun, pertikaian tidak berhenti di situ. Percantuman ini berdepan dengan tentangan segolongan kecil anggota, termasuk beberapa orang pemimpin dari ABIM. Dalam satu warkah dari penjara berjudul "Pakatan Pembangkang Digeruni Kerajaan" pada Ogos 2003, Anwar sengaja mengungkap lembaran sejarah perjuangan PRM menentang penjajahan dan imperialisme, "untuk memperlihatkan aspek relevan dalam perjuangan kini terutama dalam konteks penggabungan KeADILan dan PRM".
Untuk beberapa tahun yang berikutnya, Anwar perlu mempertahankan bekas gurunya daripada prejudis dan tanggapan negatif terhadap "orang kiri", malah menyatakan kesanggupan untuk berkempen mempertahankan Syed Husin Ali sebagai Timbalan Presiden dalam PKR, kerana menganggap ia sesuatu yang tidak beretika untuk menendang Presiden PRM selepas pencantuman, dengan bilangan ahli yang majoriti.
Sementara itu, keputusan Syed Husin Ali dan parti untuk mengambil risiko dengan membubarkan PRM dan bercantum dengan PKN, turut dipertikaikan oleh beberapa orang rakan seperjuangan dalam partinya. Sesetengah pemimpin PRM tetap meragui keikhlasan Anwar, yang dijangkakannya akan kembali ke pangkuan UMNO.
"Saya pasti dia (Anwar) tak masuk UMNO," tegas Syed Husin Ali dengan yakin, biarpun pendirian Anwar agak "kabur" untuk seketika, sebaik dibebaskan dari penjara pada tahun 2004. Apakah punca keyakinan bekas profesor Universiti Malaya terhadap anak muridnya ini? Soalan ini diajukan kerana Syed Husin Ali memaklumkan kepada wartawan, bahawa Rafidah Aziz (bekas Ketua Wanita UMNO) juga salah seorang anak muridnya.
"Pertama, komunikasi saya dengan dia (Anwar, gambar kiri). Sesetengah surat dia masih saya simpan..." Syed Husin Ali meneruskan, "Kedua, mereka (UMNO) sudah begitu menghina dia dengan keluarga dia, tak mungkin dia kembali ke situ."
"Saya kenal dia dah lama, sebagai student (pelajar), sebagai kawan, sebagai orang tahanan sama, sebagai orang yang sama-sama berjuang..." Dengan kata lain, hubungan yang merentasi kira-kira empat dekad inilah yang menjadi benteng kepercayaan Syed Husin Ali terhadap Anwar.
Razaleigh bersifat feudal
Malah, beliau sendiri menyebut nama Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perbandingan. "Saya bekerjasama rapat dengan Tengku Razaleigh (bekas Presiden Semangat 46) dulu, saya tak begitu yakin dengan perjuangan Tengku Razaleigh (gambar kanan bawah). Tak begitu yakin..."
Beliau turut ketawa dengan luahan dirinya yang berterus-terang, "Ada dua sebab, satu dia bersifat feudal yang kuat. Anda boleh jadi Tengku tetapi pada masa yang sama tak feudal sangat. Misalnya, dalam mesyuarat, orang selalu tunjukkan penghormatan feudal kepadanya. Dan dia macam tak ada benda. Kadang-kadang macam biasa sahaja. Kalau orang yang ada sikit sifat yang tak feudal, dia tak mahu menerima cara-cara begini."
"Dan bezanya dengan Anwar. Anwar you boleh kritik dia. Anggota biasa boleh kritik dia. Dia akan dengar. Terutama sekali seperti sekarang," kata Syed Husin Ali.
"Yang keduanya, Semangat 46 dengan Tengku Razaleigh, mereka tak pernah mahu mengakui diri sebagai pembangkang. Tak pernah mahu menentang kuat pihak polis atau pihak kerajaan. Kalau misalnya dia pergi ceramah, polis datang suruh henti, terus henti. Tak ada lawan tak ada apa... Kalau misalnya sebelum ceramah, tak ada permit, dia tak pergi."
"Anwar tidak, orang-orang PKR tidak. Kalau lagi disekat, lagi mereka lawan. Kalau tak lama pun sekejap (mereka lawan). Tetapi ini semangat yang saya anggap berbeza dengan Semangat 46." Jiwa inilah sebenarnya yang dihayati Syed Husin Ali, yang mungkin ramai di kalangan anggota PKR tidak menyedarinya. Beliau seterusnya mendedahkan, "Tengku Razaleigh pernah minta PRM bersama (Semangat) 46, saya terus tolak."
Anwar berjiwa kerakyatan
Sememangnya, Anwar Ibrahim seorang pemimpin politik yang kontroversial, sepanjang perjuangannya menggunakan wadah ABIM, UMNO dan kini PKR. Tetapi, Syed Husin Ali menemui unsur "kerakyatan" yang sebati dalam jiwanya.
"Saya tahu dia prihatin terhadap orang yang miskin, setinggan. Dalam tahanan, saya nampak dia memang tak ada prejudis terhadap orang Tionghua, atau orang bukan Melayu. Bahkan kadang-kadang, mereka menganggap dalam beberapa aspek, saya lebih melayu (bersifat kemelayuan) daripada dia," katanya sambil ketawa.
"Saya rasa dia seorang yang ikhlas, dan tidak berdendam." Demikianlah jawapannya ketika diminta untuk menilai Anwar Ibrahim. Beliau mengamati perubahan yang berlaku dalam diri anak muridnya ini, "Saya sendiri sangka dia akan masuk PAS waktu itu (selepas dibebaskan dari tahanan ISA tahun 1970-an). Tapi hubungannya dengan Mahathir cukup rapat. Terutama sekali selepas 13 Mei...bila Mahathir dikeluarkan (disingkirkan) daripada UMNO. Dia memang rapat dengan Mahathir. Dan saya percaya Mahathir lebih kuat pengaruhnya ke atasnya."
Bagaimanapun, Syed Husin Ali mengakui, "Dari segi perwatakan, bila dia (Anwar) jadi menteri, ada sifat orang besar sikitlah. Tapi pada hakikatnya saya tahu, pendirian politiknya tak berubah. Sebab tu mudah saja bagi dia kembali kepada yang asal, sekarang ini."
Sejauh mana unsur "kerakyatan" diterapkan?
Penilaian Syed Husin Ali terhadap pencantuman ini setelah tujuh tahun merumuskan bahawa PKR telah memulakan satu tradisi yang amat penting untuk menjadi sebuah parti yang multi-etnik. Pemimpin Melayu telah berani untuk mengetengahkan dasar parti yang bukan bercorakkan kemelayuan dan keagamaan, tetapi kerakyatan.
Wartawan menyusul dengan menyenaraikan Agenda Ekonomi Baru, konsep "Ketuanan Rakyat", slogan "Merakyatkan ekonomi", yang diterapkan ke dalam pentadbiran PKR-Pakatan Rakyat selepas tsunami politik. Syed Husin Ali yang rendah diri bagaimanapun enggan mengundang jasa dalam hal ini. Namun, wartawan melanjutkan persoalan dengan merujuk kepada orang-orang di keliling Anwar, yang kebanyakannya berhaluan kanan, atau liberal.
Sejauh manakah unsur "kerakyatan" ini diterapkan dalam dasar parti pada masa depan, apabila Syed Husin Ali tidak berada pada tempat nombor dua ini?
"Saya yakin dari dua segi. Satu, dasar parti sudah jelas. Keduanya, kalau kita perhatikan, ucapan dan kenyataan pemimpin utama kita, terutama sekali Anwar, juga Wan Azizah, dan Khalid Ibrahim misalnya, mereka menekankan aspek-aspek kerakyatan ini. Dan Khalid Ibrahim, walaupun dia seorang dari latar belakang korporat, tetapi sentimennya untuk menolong rakyat, walaupun pada mula-mulanya, rakyat Melayu terutama sekali, adalah sangat kuat."
Beliau menambah, "Jadi saya yakin, mereka tidak akan lari dari teras perjuangan." Namun, siapakah "pengganti" Syed Husin Ali yang bukan sahaja mewarisi jiwa "kepedulian rakyat"-nya, tetapi memiliki kewibawaan untuk mengetengahkan pandangan dalam Majlis Pimpinan Pusat pada masa depan?
"Saya nak tegaskan bahawa, perubahan dalam parti, dasar dalam parti, masa depan parti, tidak ditentukan oleh satu orang. Tetapi ditentukan oleh organisasi seluruhnya," tekannya, setelah enggan menyebut nama khusus pemimpin baru yang berkongsi idealisme bersamanya, seperti yang diminta wartawan.
Zaid, Azmin...
Syed Husin Ali pada mulanya enggan mengulas secara spesifik calon Timbalan Presiden yang bakal menggantikannya. Tetapi apabila wawancara menyentuh beberapa kenyataan yang dibuat Zaid Ibrahim baru-baru ini, beliau kelihatan terpanggil untuk menjawab beberapa tuduhan.
Biarpun bersetuju bahawa "musuh parti" seharusnya dirujuk kepada "musuh yang lebih besar", iaitu "segelintir perompak yang merampas harta negara di luar parti", tetapi beliau jelas terusik apabila nama Soh Chee Wen dikaitkan dengan Anwar, oleh Zaid Ibrahim. Perbualan kemudian dilanjutkan kepada Zaid Ibrahim...
"Tidak semua jawatan yang disebut media, yang kononnya dipegang oleh Zaid, benar. Sebenarnya dasar Pakatan (Rakyat) dibuat satu kumpulan, bukan seorang. Memang dia ditugaskan untuk daftarkan Pakatan (Rakyat), tapi tidak bererti dia coordinator for Pakatan," Syed Husin Ali cuba memperbetulkan.
Berhubung dasar Pakatan Rakyat, Syed Husin Ali berkata, "Dia (Zaid) ada buat first draft. Akan tetapi bila dia berada di luar negara, dasar pakatan itu telah disiapkan oleh sebuah jawatankuasa yg terdiri daripada wakil ketiga-tiga parti. Apa yang disiapkan oleh jawatankuasa inilah yang dikemukakan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat dan diterima sebagai agenda perubahan Pakatan Rakyat."
Syed Husin Ali secara jujur mengakui bahawa dirinya mungkin menyimpan prejudis terhadap Zaid (gambar kanan, tengah), calon PRU yang nyaris ditentang oleh dirinya ketika PRU ke-10 pada tahun 2004 di kawasan parlimen Kota Bahru. Beliau mengungkit zaman Zaid ketika menjadi Presiden Persatuan Peguam Islam, apabila wartawan mengajukan pandangan bahawa "Zaid dilihat lebih kuat dari segi idea untuk memimpin".
"Nak katakan sarat dengan idea, tidak juga..." Pemimpin veteran ini bagaimanapun memberi nasihatnya, "Dia perlu jadi team player. Ketika beliau dilantik masuk Biro Politik, bila suka datang (hadir mesyuarat). Bila tak suka, tak datang. Macam mana anda menjadi pemimpin seperti itu?"
Bagaimana pula dengan Azmin Ali (gambar kanan)? "Azmin Ali ada juga kekurangan... Misalnya dia dilihat sombong dan berpuak-puak oleh sesetengah orang..." Beliau enggan mengulas lanjut, "Tapi secara ikhlas daripada saya, orang yang memimpin parti haruslah orang yang komited kepada asas-asas perjuangan Parti seperti termaktub dalam Perlembagaannya, menghormati disiplin organisasi Parti, sudah teruji merentas duri dan ranjau perjuangan, bergerak secara pemain berpasukan (team player), menentang amalan korupsi dalam segala bentuk dan mendukung nilai akhlak yang tinggi."
Adakah Azmin Ali memenuhi syarat tersebut? "Ada dia penuhi, ada tidak..." Wartawan menyusul dengan soalan bahawa Azmin dilihat kurang menyentuh soal dasar. "Dari segi idea, dia ada idea. Dia harus lebih cakap pasal dasar, mulai sekarang..." katanya.
Wartawan terus menguji, menyebut nama Sivarasa Rasiah, Naib Presiden sekarang. "Dari politik, dia matang sebenarnya...."
Tian Chua? "Tian Chua (gambar kanan) saya rasa dia lebih efektif on the street (ketawa), imej dia di situ. Tapi dia disiplin juga...dia datang mesyuarat, taklah bersikap 'suka datang, tak suka tak datang'. Lagipun dia tak condemn (mempersalahkan) parti di luar..." Syed Husin Ali, menambah "Nak condemn, datang dan condemn dalam mesyuarat..."
Syed Husin Ali melihat secara positif generasi pemimpin muda dalam PKR, meskipun mengakui bahawa sayap pemuda, iaitu Angkatan Muda Keadilan ini lemah dari segi organisasi. Beliau mempersalahkan pengaruh yang ditinggalkan bekas Ketua AMK, yang disifatnya sebagai "self-centered" (berpusatkan diri).
Syed Husin Ali secara terus-terang dengan kritikannya terhadap budaya tidak menepati masa dalam parti, "Perpaduan organisasi tak begitu mantap, kerana disiplin tak kuat." (Bahagian kedua, bersambung)
Bahagian pertama: Anasir lunturkan semangat perjuangan PKR...
*Wawancara ini dijalankan oleh Lim Hong Siang dan Wong Shu Qi dari MerdekaReview, di pejabat Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali pada 16 September 2010.
No comments:
Post a Comment