Sementara Anwar Ibrahim menjulang harapan anggota parti dan penyokong di luar parti untuk merampas kuasa kerajaan persekutuan daripada regim Barisan Nasional (BN), Ketua Umum PKR ini juga tidak terelak daripada menjadi sasaran pertama yang dituding jari, apabila situasi parti menjadi seolah-olah di luar kawalannya.
Bermula daripada pertikaian isu agama Islam yang dicungkil Zulkifli Noordin, disusuli pula pemimpin yang keluar parti seperti Zahrain Hashim, Salehuddin Hashim, Wee Choo Keong dan sebagainya; sehinggalah apa yang berlaku di Selangor antara Azmin Ali dengan Khalid Ibrahim dalam Kongres Nasional Tahunan pada Mei 2010, PKR memberi persepsi yang semakin tercalar di khalayak ramai.
Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 11 Julai 2010, Tian Chua, salah seorang "veteran" yang masih tinggal dalam PKR, memberi gambaran dari kaca matanya di sebalik "kekecohan" ini.
Kelemahan, juga keistimewaan Anwar
Zulkifli Noordin mencetuskan pertikaian sejak beliau merempuh forum bertemakan isu agama anjuran Majlis Peguam Malaysia pada Ogos 2008. Namun demikian, isu ini dikendalikan secara "berhati-hati", malah lebih tepat secara "senyap-senyap", memandangkan seluruh tenaga PKR ditumpukan pada PRK Permatang Pauh, yang menyaksikan "kembalinya Anwar secara rasmi" ke dalam parlimen.
Anwar dituduh teragak-agak untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap bekas peguamnya yang menyarung jersi PKR untuk bertanding di Kulim Bandar Baru ketika PRU ke-12. PKR hanya memecat Zulkifli Noordin (gambar kanan) pada Mac 2010, setelah beliau membuat laporan polis terhadap Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam-PAS, berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
"Adakah ini kelemahan, atau keistimewaan Anwar? Pada dasarnya Anwar seorang demokrat. Jadi beliau selalu menyimpan 'sangka baik' terhadap kritikan yang dilontarkan terhadapnya. 'Dia kritik saya, ok-lah, sabarlah, saya bincang dengannya kemudian selesai' (sikap Anwar)." Tian Chua membela Ketua Umumnya, sambil memberi contoh bagaimana Anwar mempertemukan Zulkifli Noordin dengan tokoh agama, Yusof Al-Qaradawi, untuk membincangkan isu penggunaan kalimah Allah.
Tian Chua berkata, ramai orang yang menganggap bahawa Anwar (gambar kiri) mempunyai kedudukan yang tidak tercabar dalam parti, tetapi pada hakikatnya, Anwar jarang menggunakan kewibawaan ini untuk menyelesaikan masalah. Sebaliknya beliau tetap dengan "sangka baiknya", dan beliau tidak percaya, seandainya diberitahu, misalnya "Wee Choo Keong telah bertemu dengan pemimpin UMNO".
"Semestinya ia (sikap Anwar ini) ada baik dan buruknya. Ini bermakna apabila berdepan dengan masalah, maka orang di sisi Anwar perlu memikirkan cara untuk mengurangkan bahaya dan ancaman masalah tersebut," katanya.
Antara disiplin dengan perbezaan pandangan
Ketika mengulas siri kejadian yang berlaku, sehingga PKR dilihat "kecoh", Tian Chua mengakui bahawa partinya masih dalam proses untuk mengimbangkan diri, antara "disiplin" dengan "ruang perbezaan pendapat". "Adakah kami perlu mengetatkan disiplin ke satu tahap, di mana kesemua daripada kami mencapai muafakat, 'tiada masalah' (no problem), ataupun kami dibenarkan untuk mengakui bahawa kami mempunyai pendapat yang berbeza?"
Tian Chua (gambar kanan) menyedari bahawa "demokrasi yang membenarkan ruang perbezaan pendapat kadang-kala menimbulkan riuh-rendah yang membingitkan, sehingga rakyat hilang yakin terhadap parti", tetapi menganggap situasi ini tidak semestinya sesuatu yang buruk seandainya PKR-Pakatan Rakyat telah mengambil alih kuasa kerajaan.
Lantaran daripada itu, Tian Chua menafikan tuduhan bahawa Anwar mempunyai kedudukan tertinggi yang tidak boleh dicabar dalam parti. "Jikalau semuanya diputuskan Anwar, maka kami tidak akan mempunyai katak, tidak ada riuh-rendah, tiada lagi orang yang kata 'saya nak ikut halatuju ini dan ada pula yang mahu ikut halatuju itu di Selangor'."
Bagaimanapun, Tian Chua mengakui kelemahan PKR yang selama ini beroperasi berdasarkan "idealisme". Mekanisme 'puji dan hukum' (power of reward and punishment) dalam PKR masih lemah, dan perlu diperkasa untuk kepentingan jangka panjang parti, katanya.
Keluar parti: Pengaruh budaya UMNO?
Kebangkitan semula PKR selepas 8 Mac 2008 mungkin cukup memberangsangkan buat reformis yang lebih satu dekad bergelut dalam perjuangan ini. Namun, keghairahan ini surut tidak lama kemudian, lebih-lebih lagi selepas kegagalan rampasan kuasa pada 16 September 2008.
Ada yang menuduh bahawa arus keluar parti ini dibayangi "pengaruh budaya UMNO" yang masih kuat di kalangan anggota, malah pemimpin PKR. Tian Chua menyangkal analisa sedemikian, "padahal PAS mempunyai lebih ramai bekas anggota UMNO daripada PKR".
Tian Chua meminjam istilah Marxisme, untuk menjelaskan bahawa kebangkitan sesebuah parti yang menganjurkan revolusi (perubahan) biasanya dimulakan dengan golongan "Lumpenproletariat", iaitu mereka yang tidak memiliki apa-apa untuk dihilangkan (nothing to lose). Golongan pertengahan seperti peguam, ahli korporat biasanya hanya menyusul di belakang.
Menurut Tian Chua, PKR mempunyai ramai anggota seperti itu (golongan Lumpenproletariat), yang tidak semestinya bekas ahli UMNO. Bukan semua daripada mereka mempunyai "agenda reformasi" untuk dimainkan dalam otak. Jadi, apabila PKR memegang kuasa (kerajaan negeri), orang yang tidak mempunyai idealisme reformasi mula merungut.
"Sesetengah akan berkata, untuk 10 tahun saya berkorban, kini tibalah masa saya mengecapi kekayaan dan kemewahan." Golongan ini akan meninggalkan PKR dengan penuh kekecewaan, apabila parti ini gagal memenuhi kemahuan mereka, jelas Tian Chua.
Golongan kedua pula, dilambung ke atas kerana ombak tsunami politik PRU ke-12, biarpun tidak masak dengan dasar mahupun selok-belok pentadbiran kerajaan negeri. Mereka menyedari bahawa diri mereka tidak layak untuk tempat itu, malah tidak mungkin dipilih semula untuk menyandang jawatan tersebut. Jadi, mereka memilih untuk meninggalkan PKR, memandangkan orang yang baru masuk PKR memiliki kelebihan daripada diri.
Tian Chua mengambil ahli parlimen Bayan Baru, Zahrain Hashim (gambar kiri) sebagai contoh untuk golongan ketiga, iaitu ahli korporat proksi UMNO. Golongan ini dipinggirkan semasa perbalahan dalam UMNO, kerana "tersilap" pilih sekta. Oleh itu, mereka pun menyertai PKR. Selepas PKR menguasai kerajaan negeri, maka mereka pun mendesak agar mereka dilantik sebagai pengarah syarikat tertentu, untuk mengembalikan kemegahan mereka seketika dahulu.
Selain tiga golongan di atas, Tian Chua menganggap suara berbeza yang muncul dalam parti disebabkan corak pimpinan yang berbeza. Tian Chua selanjutnya mengulas perbezaan yang timbul antara Menteri Besar Selangor, dengan Azmin Ali, Naib Presiden yang baru-baru mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor dari Khalid Ibrahim.
Khalid vs Azmin
"Saya tidak boleh secara ringkasnya, melabelkan Khalid sebagai golongan progresif, dan Azmin sebagai golongan konservatif. Untuk saya, perbezaannya sebegini, langkah pembaharuan dalam sistem kakitangan awam dan korporat terlalu perlahan. Dasar parti gagal diterapkan sepenuhnya. Ini kerana kami terlalu beri muka kepada kakitangan kerajaan ini, dan kami terlalu ikut prosedur. Tapi prosedur ini ditetapkan UMNO. Tan Sri (Khalid) tidak mahu menyentuhnya pada kebanyakan masa," kata Tian Chua.
Tian Chua menjelaskan, Khalid Ibrahim (gambar kanan) enggan mengubah model yang lama kerana khuatir menyinggung pegawai kerajaan ini. Inilah punca kekecewaan anggota parti. Bagaimanapun, Tian Chua menganggap niat Khalid mungkin baik, iaitu orang yang melaksanakan dasar bukan datang dari parti.
"Masalahnya apabila kami berdepan dengan tekanan, anda menyerahkan jawatan ini kepada ahli profesional dan pegawai kerajaan. Ia menyebabkan satu situasi tersekat (jam), dan menjadi rintangan kepada diri kita." Tian Chua bersambung, maka orang dalam parti tertanya-tanya, "mengapa orang ini bekas penyokong BN, dan kini hanya dengan menukar topinya (sokong BN), dia masih memegang jawatan dalam kerajaan kami?"
"Caranya mengolah isu ini, atau penyampaiannya memberi gambaran seakan-akan dialah yang mahukan jawatan tersebut, tetapi pada hakikatnya bukan semestinya begitu," jelas Tian Chua.
Tian Chua seterusnya memberi contoh masalah yang dihadapi Khalid Ibrahim, yang akhirnya menjurus kepada penyerahan jawatan Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor kepada Azmin Ali.
"Dalam mesyuarat, seorang Ketua Cabang mengetengahkan masalahnya. Hutang bil air dan elektrik pejabat cabang telah tertunggak untuk tiga bulan, dan akan dipotong jika tidak dijelaskan. Khalid tidak mungkin memberi satu projek kepadanya, dan berkata 'nah, kamu pergi selesaikan masalah ini'. Maka ketua cabang pun mencadangkan jamuan kutipan derma, dan meminta agar Tan Sri (Khalid) hadir."
"Sudah tentu Tan Sri (Khalid) bosan dengan perkara remeh temeh ini, kerana beliau sebagai Menteri Besar nak uruskan hal pentadbiran negeri. Jadi, beliau akan mengambil sikap 'jangan kamu bangkitkan isu ini kepada saya, kamu cakap dengan orang lain'... Masalahnya, Tan Sri ialah Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor. Pemimpin akar umbi akan tertanya-tanya, siapa lagi yang harus selesaikan masalah bil bekalan air dan elektrik, kalau bukan beliau?"
Tian Chua (gambar kanan) menambah, "Ini masalah yang benar wujud, dan bukan soal Ketua Cabang tamakkan wang, merungut kerana tidak mendapat projek. Parti pada peringkat pusat kini memberi arahan, menggariskan matlamat pendaftaran pemilih pada 6000 orang setiap cabang. Tetapi ketua cabang berkata, bil air dan elektrik belum dijelaskan, saya gagal mencapai matlamat yang digariskan."
Dalam situasi sedemikian, Tian Chua tidak menolak bahawa timbulnya rungutan daripada segelintir anggota parti, yang mahukan Khalid Ibrahim dijatuhkan, tetapi agak keterlaluan untuk dikatakan bahawa wujud satu komplot yang terancang agar Khalid digulingkan.
Tian Chua, yang mengakui dirinya bukan menyetujui Azmin Ali (gambar kiri) dalam semua isu, bagaimanapun sanggup membela Azmin Ali dalam isu ini. Pada tanggapan Tian Chua, adalah kurang adil untuk Azmin Ali apabila ditonjolkan dengan imej negatif dalam media.
Tian Chua, pemimpin yang sama taraf dari segi senioritinya dengan Azmin Ali, berkata "veteran" seperti mereka akan menerima arahan bos, Anwar untuk menyelesaikan masalah yang timbul, misalnya di Sabah. "Tetapi untuk sesetengah orang, kami akan dianggap sebagai 'wakil dari pusat untuk campur tangan' dalam isu tempatan, atau negeri," katanya. (Bahagian keempat, tamat)Bahagian pertama: Boikot media: PKR perlu lindungi diri, Tian Chua Bahagian kedua: Tian Chua: Perkara 48 Perlembagaan penghalang politik mobilisasi Bahagian ketiga: Tian Chua: Pembangkang jadi arus perdana biarpun belum berkuasa
No comments:
Post a Comment