Lee
Kuan Yew, pemimpin paling berpengaruh di Singapura dan salah seorang
paling berpengaruh di Asia bukanlah sosok kecil. Kuan Yew sudah lama
bersilat politik, sudah lama mengatur muslihat menewaskan komunisme di
Singapura, membuatkan pemimpin Malaysia atau Malaya kelihatan naif dan
memastikan politik beliau serta Singapura tidak tenggelam dibaham
politik antarabangsa.
Bagi Kuan Yew The Asian Drama adalah pentas paling sesuai
untuk beliau dan Singapura beraksi. Kuan Yew sedar hanya dengan menjadi
rakan Barat maka dia dan Singapura akan selamat, terutamanya dari
Malaysia pasca 1965.
Namun menjadi rakan Barat secara syumul tidak menguntungkan Kuan Yew.
Perlu ada kawasan kelabu. Tidak semua perlu hitam dan putih. Lee Kuan
Yew bijak menyusun langkah. Dia tahu apa yang digusari Barat; Amerika
Syarikat mahupun United Kingdom adalah Marxisme. Jadi, Kuan Yew pun
merebut peluang untuk dikenali sebagai musuh Marxisme ataupun pergerakan
komunisme nombor wahid di Asia Tenggara. Sudah lama Lee Kuan Yew
menulis skrip muslihat politik ini, skrip sesuai untuk pemimpin
otoritarian yang tidak mahu dipalit dengan gelaran pemimpin kuku besi.
Dekad 90an menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang menghairahkan di Asia
Timur. Apa yang sering dilupakan sekarang, pertumbuhan pesat ekonomi
negara-negara yang dikenali sebagai Harimau Asia itu bukanlah satu
mukjizat yang tiba-tiba terjadi. Padahal ekonomi dunia tatkala itu
relatifnya stabil, serta berhadapan perubahan politik antarabangsa pasca
keruntuhan Tembok Berlin dan menandai berakhirnya era perang dingin,
Lee Kuan Yew dan “rakan-rakannya” menyedari harus ada satu pemikiran
politik luar dari lingkungan wacana Marxisme untuk menjadi benteng
kepada pemikiran liberalisme. Mereka membaca runtuhnya Tembok
Berlin dan kemudiannya rebahnya Soviet Union maka Amerika Syarikat dan
United Kingdom adalah penguasa dominan sejagat.
Berakhirnya era Perang Dingin itu, meminjam judul buku Francis Fukuyama, kononnya mencetuskan fenomena The End of History,
bahawa tiada lagi pertentangan antara otoritarianisme dengan kebebasan
kerana kebebasan diwakili liberalisme sudah menewaskan otorianisme yang
diwakili Marxisme. Episod ini meresahkan pemimpin seperti Lee Kuan Yew
kerana faham liberal bukan sahaja merangkumi dasar-dasar ekonomi akan
tetapi juga meliputi perlaksanaan nilai-nilai kebebasan; terutamanya
menjunjung hak rakyat untuk bebas bersuara dan mendakap kepercayaan
serta keyakinan tanpa diganggu gugat oleh negara mahupun sesiapa sahaja.
Ini bermakna, jika liberalisme diterapkan, pimpinan Kuan Yew,
Soeharto, Mahathir dan seumpamanya pasti akan disanggah. Dan mereka ini
tidak suka serta tidak mahu disanggah. Mereka mahu rakyat sentiasa
mematuhi, mengiyakan “kebijaksanaan” mereka dan mereka mahu terus di
altar, bagai dewa-dewa yang maksum.
Helah politik Kuan Yew tidak sekadar “manoeuvring” sahaja;
tidak sekadar menjatuhkan atau menaikkan pemimpin. Pemimpin Singapura
itu sedar, untuk dia terus berkuasa dan pertumbuhan ekonomi Singapura
tidak terencat, perlu ada benteng intelektualisme ampuh mengabsahkan
otoritarianisme acuan Lee Kuan Yew. Lee Kuan Yew, otoritarian par excellence,
yang mesti diakui jauh lebih bijak serta inovatif berbanding Perdana
Menteri Malaysia ketika itu Mahathir Mohammad, merasakan benteng
berhadapan dengan kemaraan liberalisme ini hanyalah dengan mencedok
beberapa dasar ekonomi liberal seperti penswastaan serta perlaksanaan
disiplin pengurusan ekonomi makro.
Kuan Yew mengungkapkan hujah ampuh, popular dengan gelaran Tesis Lee,
bahawa kebebasan politik mesti ditangguhkan terlebih dahulu, kerana
yang mustahak adalah pertumbuhan ekonomi; demi mengisi perut-perut yang
lapar dan perut-perut yang lapar tidak memerlukan hak bersuara.
Propaganda Kuan Yew adalah kebebasan tidak semestinya menjamin
pertumbuhan ekonomi serta kesenangan rakyat. Pastinya pemimpin Singapura
itu menawarkan negaranya sebagai bukti kepada hujah-hujah beliau. Tidak
ada lebih jelas melainkan apa yang ada di depan mata, iaitu Singapura,
sebuah pulau kecil dikelilingi negara-negara Asia Tenggara lainnya, yang
pada dekad-dekad 60an atau 70an terkesan akibat persengketaan kaum
ataupun revolusi, tetap stabil baik dari sudut ekonomi mahupun politik,
sebuah negara anti pergerakan Marxisme dan punya aspirasi sekular.
Inilah Tesis Lee, penghujahan yang akhirnya sampai kepada kesimpulan,
kenapa perlu memperjuangkan sesuatu yang abstrak seperti kebebasan, jika
otoritarianisme acuan Kuan Yew, otoritarianisme lembut, terbukti
efektif.
Lama Kuan Yew bersembunyi di sebalik tesis ini, yang kemudiannya
berkembang menjadi ‘Nilai-nilai Asia’. Gagasan Nilai-nilai Asia ternyata
bukanlah hujah intelektual yang canggih ataupun kuat, tapi cukup
sebagai program propaganda membentengi hujah-hujah liberalisme tulen,
atau liberal demokrasi yang meraikan kebebasan keyakinan dan suara, dan
menjunjung kedaulatan undang-undang. Bersama-sama otoritarian lainnya
termasuk Mahathir, mereka merekayasa pembohongan kononnya faham
liberalisme, faham kebebasan yang tidak dinafikan bermula di Eropah dan
Amerika Syarikat, bertentangan dengan kebudayaan atau kepercayaan
orang-orang Asia. Ujar mereka kebebasan dan nilai-nilai orang Asia tidak
secocok.
Mereka mahukan dikotomi antara Asia dan Barat itu jelas. Mereka
mahukan imej Barat itu dikaitkan dengan kekacauan, malas, kemerosotan
moral, tiada agama, tiada akhlak, penjajahan, eksploitasi dan segala
yang jelik dan keji. Lee Kuan Yew pun mula tampil sebagai sosok yang
mengagumi Confucius, barangkali satu-satunya helah yang beliau pelajari
dari Mahathir Mohammad; untuk ekploitasi keyakinanan atau agama
menentang faham liberal, sudah lama dikaitkan dengan Barat yang kononnya
jijik itu.
Malangnya, propaganda mereka berjaya. Faham liberal dan imajinasi
kebebasan disogok sebagai konspirasi Barat. Pembangkang di Malaysia
misalnya, sama ada gerakan Islam mahupun aliran kiri juga gagal
menanggapi serta mendedahkan propaganda ini. Slogan anti Barat menelan
bulat-bulat akal sihat pemimpin gerakan Islam dan kiri. Semuanya serba
mudah buat otoritarian seperti Mahathir dan Lee Kuan Yew. Lucunya,
sungguhpun Lee Kuan Yew dan Mahathir Mohammad dianggap seteru utama,
ternyata mereka berdua berkongsi jiwa yang sama. Mereka berdua adalah
pemimpin anti kebebasan.
Namun pada tahun 97 di Kotaraya New York atau lebih tepat di Carnegie Council of Ethics and International Affairs, Amartya Sen, pemenang Hadiah Nobel Ekonomi 1998 telah menyampaikan satu syarahan yang berjudul Human Rights and Asian Values.
Dalam syarahan itu, Sen mengungkapkan dua hujah demi menjawab dua
mitos, pertamanya kebebasan dan demokrasi tidak secocok dengan nilai
serta adat orang Asia, kedua, Amartya Sen menghalakan serangan
intelektualnya terhadap Tesis Lee Kuan Yew; tesis yang mengagungkan
“efektif” lebih utama dari kebebasan. Ikhtiar intelektualisme Sen itu
menggegar otoritarian terutamanya Lee Kuan Yew.
Sen menyediakan satu pelantar intelektual kepada pendokong kebebasan
untuk mempersoal kembali hujah kononnya, asalkan sesuatu negara itu
diurus dengan efisien, asalkan pengangkutan awamnya baik, jika perut
yang lapar terisi, asalkan jalan rayanya kemas, pendek kata asalkan
semuanya teratur, bagaikan seorang pengurus ataupun akauntan memastikan
imbangan kewangannya positif, mengapa perlu kepada kebebasan? Perut
terisi? Adakah jika kita punya kebebasan keyakinan atau kebebasan suara
makanya ekonomi akan berkembang pesat?
Amartya Sen membuktikan tidak semestinya sesebuah negara yang amalkan
otoritarian lembut, kononnya mengutamakan pertumbuhan ekonomi ketimbang
hak asasi manusia akan berjaya, malah beliau menunjukkan Bostwana pada
waktu itu adalah negara yang paling pesat membangun dan pada masa yang
sama adalah oasis demokratik di benua Afrika. Hujah bahawa negara-negara
membangun perlu mengabaikan kebebasan untuk memberi laluan kepada
kepesatan ekonomi sudah jelas tidak berasas. Tesis Lee bagaikan sudah
tercabut akar dari tanah.
Yang tinggal kini adalah kesan propaganda sekian lama, yang tinggal
adalah sentimen kebencian terhadap apa sahaja yang datang dari Barat,
atau lebih tepat apa sahaja yang datang dari Amerika Syarikat. Tesis Lee
sudah hilang kehebatannya. Lee Kuan Yew mahupun Mahathir Mohammad sudah
tumpul taring hujah intelektualisme mereka. Kedua-dua mereka dan
otoritarian lainnya kini hanya mengitar semula kecurigaan rakyat
terhadap apa yang mereka sebut sebagai hegemoni Barat.
Usai pilihanraya umum Singapura yang lalu menyaksikan Lee Kuan Yew,
“pemimpin agung” Singapura hanya mampu membebel menyalahkan anak muda
yang “tidak tahu bersyukur,” propaganda yang sama diulang-ulang oleh
UMNO serta Barisan Nasional terhadap pendokong Pakatan Rakyat.
Manakala Kuan Yew perlahan-lahan menyepi, otoritarian seperti
Mahathir dan UMNO berterusan meniup kebencian terhadap kebebasan yang
sinonim dengan peradaban Barat. Menyalahkan kebebasan, faham liberal dan
Barat adalah sasaran mudah dan peluru propaganda berkesan. Ia terbukti
berkesan, setidak-tidaknya di Malaysia, baik ke atas nasionalis kanan,
aktivis kiri dan Islamis.
Apatah lagi, mutakhir ini kekalutan yang meletus di Mesir dan perang
saudara di Syria bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal buat
otoritarian seumpama Mahathir. Mantan Perdana Menteri dan juga ideolog
utama UMNO itu lekas merebut peluang mengkritik kegagalan Arab Spring,
yang pernah dicanang akan membuka pintu dunia Arab untuk mendakap
demokrasi dan kebebasan. Buat Mahathir kekalutan di Timur Tengah adalah
modal mengkritik Barat, akan tetapi itu tidak lebih penting melainkan
untuk melukis gambaran jelik terhadap demokrasi dan kebebasan, nilai
yang sering dizahirkan sebagai sebahagian dari nilai-nilai Barat.
Ternyata Amartya Sen berjaya menguburkan Tesis Lee dan memperlihatkan
menerusi tradisi Ashoka, Kautilya dan Akbar, hak untuk memilih
keyakinan tanpa dipaksa dan sikap meraikan kemajmukan budaya bukanlah
sesuatu yang asing dari nilai-nilai Asia. Sen mencungkil dari tradisi
bahawa mendengar suara rakyat dan tidak zalim menindas adalah juga
“milik” orang Asia. Sementara hujah-hujah Amartya Sen cukup ampuh namun
berapa ramai yang terpengaruh dengan penulisan beliau?
Hakikatnya pemikir tersohor asal India itu meluncurkan terlebih
dahulu arus intelektualisme menggoncang para otoritarian bermazhab Lee
Kuan Yew, sebagai pemangkin; buat seluruh masyarakat pembentuk pendapat (opinion maker)
berhadapan dengan tirani di negara mereka. Adalah suatu yang naif
sekiranya kita berhasrat menewaskan regim lama, seperti PAP ataupun
UMNO-BN hanya sekadar dengan berhimpun di jalanan dan melaung-laungkan
slogan kejatuhan regim tersebut.
Bukannya kita menolak peranan perhimpunan aman, lagipun ianya
sebahagian dari hak asasi warga sesebuah negara, hak untuk bersuara
keyakinan yang kita percayai. Akan tetapi seperti menguliti lapisan demi
lapisan, persoalan lain bakal muncul; iaitu apa yang kita suara-kan?
Cukupkah sekadar slogan bersemangat dan berapi-api? Jawapannya pasti
tidak. Kenyataannya sebarang upaya melakukan perubahan mesti didahului
dengan pergerakan intelektualisme, yang membentuk keyakinan-keyakinan
substantif, kemudiannya barulah merencana pergerakan aksi politik.
Melawan sosok seperti Lee Kuan Yew, Mahathir Mohammad dan Soeharto
seumpama raksasa besar yang tidak mudah dialahkan. Aksi politik
bersemuka atau head-on hanya akan melelahkan, tambahan lagi jika
sistem juga pincang dan berat sebelah. Kesedaran mesti dipupuk bahawa
tanggungjawab menewaskan tirani dan otoritarian bukanlah semata-mata
milik parti politik. Persepsi itu mesti berubah, mengalahkan tirani
melibatkan keseluruhan forces yang menjalar dan berdenyut dalam masyarakat.
Justeru kekuatan seperti kebudayaan dan intelektualisme tidak boleh
lagi diabaikan jika pendokong liberal dan kebebasan, misalnya di
Malaysia, mahu melakukan Reformasi yang menyeluruh. Mahathir Mohammad
dan Lee Kuan Yew berdekad-dekad memerintah, mereka sudah lama
melumpuhkan sistem berfikir rakyat, kerana kekuatan berfikir bersamaan
kekuatan untuk mempertanyakan sesuatu; itu bermaksud hak rakyat untuk bersuara.
Kerana itu Kuan Yew dan Mahathir tidak mahu hak bersuara itu
diagung-agungkan, kerana mereka akan dipertanyakan, mereka akan
dipertanggungjawabkan.
Demi melumpuhkan proses berfikir, otoritarian-otoritarian ini
menumpukan usaha mencambah lambakan golongan teknokrat; sama ada
akauntan, jurutera, arkitek, doktor ataupun peguam. Pendidikan golongan
teknokrat ini semata-mata menjadikan mereka robot menuruti apa yang ada
dalam buku teks. Jika seseorang itu dilatih sebagai seorang doktor
misalnya, apa yang dididik adalah menghadam buku teks dan lulus
peperiksaan. Makanya berjayalah kita menghasilkan seorang doktor atau
jurutera, namun tanpa imajinasi yang tidak mampu melangkaui sempadan
ilmu buku teks.
Imajinasi dimomok sebagai sesuatu yang selekeh. Anak-anak tidak
digalakkan punya angan-angan untuk menjadi pemuzik, pelukis ataupun
penulis novel kerana kejayaan hidup diukur dengan ijazah apa yang kamu
miliki dan kerjaya apa yang kamu pilih. Dalam diam-diam otoritarian dan
gerombolan anti kebebasan seperti Mahathir Mohammad serta Kuan Yew
memusuhi imajinasi, kerana imajinasi ada makna “liar” yang tidak
bersedia tunduk terhadap dogma-dogma sogokan pemerintah.
Benar tidak semestinya sekiranya kita seorang teknokrat maka kita
tidak menyebelahi kebebasan. Apa yang cuba dihujahkan adalah betapa
pentingnya proses berfikir dirancakkan bagi melahirkan imajinasi
kebebasan dalam setiap batang tubuh rakyat. Jadinya, salah satu usaha
pro kebebasan adalah merungkai rantaian besi yang menambat imajinasi
kebebasan. Imajinasi ini perlu menguasai akal budi rakyat dan
memunculkan keyakinan mereka terhadap faham kebebasan dan Liberal.
Rakyat perlu sedar bahawa hanya dengan kebebasan, mereka punya hak
untuk bersuara terhadap kejelikan pemerintah. Rakyat perlu sedar hanya
dengan kebebasan, keyakinan mereka tidak boleh dipaksa-paksa pemerintah.
Rakyat perlu sedar bahawa harga kebebasan mereka sememangnya mulia,
lebih mulia dari bebelan menakut-nakutkan Mahathir Mohammad kononnya
kebebasan akan mencetuskan kekacauan.
Sudah tiba masanya, seluruh kekuatan masyarakat, kekuatan kebudayaan
dan intelektualisme digerakkan untuk mengungkapkan kehendak kebebasan.
Sama ada anda seorang seniman, penyair, wartawan, pemain bolasepak,
akauntan, peguam, doktor, penulis, pemuzik, pelukis, para hakim ataupun
ahli politik, rancakkanlah wacana membincangkan hak anda sebagai rakyat
dan rencanakan “serangan” anda dari pelbagai sudut terhadap kejelikan
pemerintah, terhadap pemimpin anti kebebasan.
Eekmal Ahmad berumur 33 tahun, seorang penterjemah, aktivis Jalan Telawi dan bercita-cita menjadi seorang penulis.
No comments:
Post a Comment