AMK PP kritik salahguna premis awam sekolah untuk ceramah NGO TIBAI & Perkasa
Angkatan
Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) melahirkan rasa kesal dengan insiden
kekecohan yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu
semalam di antara penduduk tempatan dan pihak penganjur ceramah yang
mengundang Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, YB Zulkifli Nordin dan
Pemuda UMNO Malaysia, Zahid Mat Arip. Kekecohan tercetus kerana tindakan
penganjur yang tidak menghormati sensitiviti masyarakat setempat
terutamanya di Taman Guar Perahu dan Penanti.
Angkatan Muda
KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) difahamkan bahawa penduduk tempatan kesal
dengan sikap penganjur yang tidak sensitif dan telah mempergunakan
kemudahan awam (Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu) sebagai
tempat untuk menganjur ceramah yang berbaur fitnah. Penduduk tempatan
telah meminta pihak Polis Di Raja Malaysia untuk tidak membenarkan
ceramah berlangsung di dalam dewan sekolah, tetapi keluhan dan bantahan
mereka tidak dilayan oleh pihak berkuasa. Ternyata insiden semalam dapat dielak sekiranya penganjur dan pihak berkuasa mengambil langkah proaktif.
Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) percaya sekiranya pihak
berkuasa dan penganjur ceramah memahami dinamika dan sensitiviti
masyarakat setempat, mereka tidak akan menganjur ceramah seumpama itu
dengan menyalahgunakan kemudahan awam. Ini bukan kali pertama UMNO dan
Barisan Nasional, mempergunakan kemudahan awam untuk tujuan politik dan
menyebar fitnah terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh. Selain dewan
sekolah, dewan dan auditorium institut pengajian tinggi seperti UiTM
Permatang Pauh dan Politeknik Seberang Perai telah dipergunakan dan
siswa institut yang terlibat telah dipaksa untuk menghadiri program -
program dangkal sebegini rupa.
Angkatan Muda KEADILAN Pulau
Pinang (AMKPP) berharap sikap dwi-standard pihak berkuasa dalam
membenarkan sebarang aktiviti politik dihentikan. Pihak berkuasa harus
menjadi pihak yang neutral dan tidak memilih kasih apabila ingin
mengambil sebarang tindakan atau membuat keputusan. Pihak berkuasa
seharusnya menjadi penjaga kepada keharmonian masyarakat, bukan hanya
tunduk kepada desakan dan arahan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional.
Sekian, terima kasih.
Dr AFIF BIN BAHARDIN
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP)
1 comment:
INILAH PEMERINTAH ANAK HARAM NAMANYA. GUNAKAN PREMIS KERAJAAN UNTUK BERKEMPEN. KERAJAAN YG TIDAK BOLEH LAGI DIHARAPKAN OLEH RAKYAT. WAJIB TUKAR.
Post a Comment