INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Sunday, July 8, 2012

Keselamatan rakyat perlu diutamakan dalam isu skandal LRT Ampang



Adalah malang sekiranya kerajaan membuat kesilapan dalam memilih kontraktor yang  layak untuk tender ini dan seterusnya membahayakan nyawa ratusan ribu rakyat yang menggunakan perkhidmatan LRT setiap hari.

Sejak 2 minggu lepas, negara telah digemparkan dengan pendedahan skandal projek LRT Ampang oleh  Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa wujudnya campurtangan Perdana Menteri (PM), DS Najib Razak dalam menganugerahkan projek tersebut kepada konsortium George Kent JV bernilai RM960juta. Kontrak tersebut adalah bagi kerja-kerja projek tambahan sistem LRT Ampang “The Engineering, Procurement, Construction, Testing and Commissiong of System Works for the Ampang Line Extension Project”.

Dakwanya lagi, merujuk kepada mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) pada 25 Januari 2012 yang dipengerusikan oleh PM, kerajaan  telah memutuskan untuk menganugerahkan kontrak projek ini kepada Konsortium Balfour Beatty-Invensys. Namun, berita di Business Times pada 22 June 2012 lepas memetik sumber syarikat Prasarana mengesahkan kenyakinan bahawa George Kent akan memenangi bidaan projek tersebut telah menimbulkan keraguan besar kepada kita bagaimana syarikat yang gagal dalam penilaian teknikal mampu memenangi kontrak kerja-kerja pembinaan sistem LRT Ampang. Kegagalan George Kent dalam penilaian teknikal ini telah didedahkan oleh Rafizi Ramli di sidang media lepas dan di dalam blognya.

Sistem Rel berteknologi tinggi  
  
Molek kiranya saya menceritakan sedikit mengenai sistem rel LRT yang digunakan di Malaysia. Sistem rel yang digunakan untuk Light Rapid Transit atau Mass Rapid Transit adalah jenis Third Rail. Sistem ini membekal kuasa elektrik kepada tren melalui “semi –continuous rigid conductor” atau “conductor rail” yang dipasang di   sepanjang bawah landasan. Kuasa elektrik yang dijana adalah tinggi yakni sebanyak 750VDC. Oleh itu, bukan sebarangan kontraktor yang mampu untuk membina dan memasang sistem Third rail ini kerana ia  memerlukan pengetahuan dan kepakaran teknikal terhadap sistem elektrifikasi dan semboyan.

Dalam membina satu sistem rel baru, kos peralatan sistem yang mahal  adalah sistem elektrifikasi dan semboyan (signalling) disebabkan sistem ini berteknologi tinggi dan memerlukan kepakaran teknikal untuk membinanya. Sebagai contoh, sistem LRT laluan Kelana Jaya ke Gombak yang dikendalikan oleh sistem Pusat Kawalan tanpa menggunakan pemandu. Sebarang kesilapan dan masalah teknikal pada sistem semboyan dan elektrifikasi boleh menyebabkan berlakunya kemalangan dan nyawa penumpang pastinya diancam bahaya.

Keselamatan Rakyat
 
Apa yang membimbangkan saya adalah konsortium George Kent yang gagal dalam penilaian teknikal oleh syarikat perunding kejuruteraan, HSS Integrated Sdn Bhd/Halcrow  ini dipilih oleh kerajaan Malaysia seperti didedahkan oleh Rafizi Ramli. Selain itu, laporan perunding kejuruteraan ini juga mengesahkan bahawa George Kent tidak mempunyai apa-apa kemahiran, kepakaran atau pengalaman yang melayakkannya dianugerahkan tender ini.

Adalah malang sekiranya kerajaan membuat kesilapan dalam memilih kontraktor yang  layak untuk tender ini dan seterusnya membahayakan nyawa ratusan ribu rakyat yang menggunakan perkhidmatan LRT setiap hari. Mengikut rekod pada tahun 2006, tren laluan Ampang  ke Sentul Timur pernah mengalami kemalangan di Stesen Sentul Timur apabila melanggar penghadang konkrit dan tergantung di ketinggian 25 meter namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Isu kerosakan teknikal pada  tren LRT juga hangat diperkatakan pada tahun 2006 sehingga Menteri Pengangkutan waktu itu, DS Chan Kong Choy mengarahkan perunding asing untuk mengaudit kejadian kes kemalangan dan kerosakan tren LRT.

Untuk makluman tentang tren baru laluan Ampang, Kementerian Kewangan telah menganugerahkan kontrak pembelian 20 set tren tersebut kepada syarikat CSR Zhuzhou dari China dengan nilai bidaan RM 530 juta pada bulan April lepas yang didakwa adalah terendah jika dibandingkan bidaan lain. Tren ini dijangka mampu membawa penumpang sebanyak 1308 orang dan berkelajuan 80km/sejam.

Jika pembelian tren telah dimuktamadkan dengan bidaan terendah dan kemampuan teknikal yang baik, maka keputusan untuk pemberian tender kerja pembinaan ini perlu lah dilakukan sedemikian rupa. Kerajaan perlu menyakinkan rakyat bahawa perkhidmatan LRT ini cekap dan selamat dengan pemberian tender kerja pembinaan tersebut kepada kontraktor yang kompetan dan berkelayakan. Rakyat tiada pilihan lain melainkan menggunakan pengangkutan awam terutama pengangkutan rel  untuk menjimatkan kos pengangkutan dan mengelakkan kesesakan di jalan raya. Saranan kerajaan untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam perlu disusuli dengan penyediaan sistem pengangkutan awam yang selamat dan efisien.

@ikhwanhafiz- Penulis adalah seorang Jurutera yang pernah berkhidmat di industri rel dan automotif. Aktif  sebagai  Exco Pembangunan AIC dan juga merupakan Alumnus Akademi Pak Sako dan Sekolah Politik.






No comments:

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews