INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL
Showing posts with label pas. Show all posts
Showing posts with label pas. Show all posts

Thursday, July 23, 2015

Parti baru gasak PAS, PKR juga tersepit - Fathi Aris Omar (Siri 3)


 Tarikh :14Julai 2015
Semalam, setelah sebulan tersingkir daripada kepemimpinan atasan PAS, kumpulan G18 mengumumkan parti baru.

Tidak lama selepas sambutan Aidilfitri, kumpulan ini akan melancarkan kempennya, selain Perlis, di Kota Bharu.

Selain barisan mereka yang tersingkir, menurut edaran poster di Internet dan laporan media, gerakan ini juga dijadual menampilkan tokoh DAP Lim Kit Siang dan pemimpin PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Hubungan gerakan parti baru ini dengan DAP tidaklah menghairankan.

 
Kecaman dua pihak ini terhadap PAS dan presidennya Abdul Hadi Awang sudah lama senada seirama.

Malah, banyak program mereka beberapa minggu mutakhir  diadakan bersama pemimpin DAP, termasuk di peringkat akar umbi.

Beberapa hari selepas sambutan ketewasan mereka di Johor, ketua G18 Mohamad Sabu bergambar dengan Lim selepas satu pertemuan tertutup.

Kemuncak krisis MB

Namun, gerakan ini bukanlah bermula selepas ketewasan G18 di muktamar Kuala Selangor awal Jun lalu.

Ia bermula sejak setahun lalu lagi, khususnya di kemuncak krisis menteri besar Selangor selepas Aidilfitri.

Dua wakil rakyat PAS menyokong calon awal PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail setelah mendapat restu kumpulan G18.

Tindakan itu dianggap "pembelotan" oleh Abdul Hadi, yang membantah pencalonan Dr Wan Azizah, sehingga tersembur kata "broker" dan "barua" yang masing-masing dipercayai ditujukan kepada timbalannya Mohamad Sabu dan dua dua wakil rakyat tersebut.

DAP pula menjulang dua wakil rakyat ini, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib), sebagai hero.

Simboliknya, DAP mengambil kesempatan ini untuk mentertawakan kepemimpinan Abdul Hadi yang gagal mengawal wakil-wakil rakyatnya sendiri.

Begitu juga sikap beberapa tokoh PKR, seperti Saifuddin (waktu itu, setiausaha agung) dan Rafizi Ramli (waktu itu, pengarah strategi dan kini naib presiden), antara penggerak utama 'Kajang Move'.

'Tak mampu lagi berdamai'

Sel PKR ini agak lantang terhadap PAS, khususnya Abdul Hadi, maka mereka tidak mampu lagi berdamai dengan parti Islam itu.

Maka itu juga tidak hairanlah Saifuddin muncul di Kota Bharu atas pentas gerakan parti baru ini selepas Aidilfitri.

Untuk menjayakan projek 'Kajang Move' dulu, sel PKR ini berhubung dengan G18 dan DAP.

Maka gabungan pecahan-pecahan inilah yang tolong-menolong mendirikan parti baru.

Dalam masa yang sama tahun lalu, di belakang tabir politik yang tidak disedari ramai, beberapa elemen yang dikaitkan dengan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) ingin membentuk parti Islam baru.

Beberapa elemen yang dikaitkan dengan Ikram itu, atau selalunya disebut Islamic Representative Council (IRC), sering pula dituduh menyusup dalam PAS dan ingin mengambil alih parti itu dari dalam.

Akibatnya, sejak di muktamar 1986 di Rusila, PAS menyingkirkan mereka yang digelar "orang IRC".

Berbelah bahagi

Di muktamar yang menyingkirkan G18 baru-baru ini, sebuah buku yang mendedahkan permainan licik IRC dalam parti Islam itu dipromosikan dan mendapat sambutan hangat.

Tidak pasti Ikram sebagai sebuah pertubuhan Islam terlibat secara rasmi atau tidak.

Kemungkinan besar mereka berbelah bahagi sebab beberapa tokoh atasan Ikram menemui PAS tahun lepas memberi amaran tentang projek parti baru ini.

PAS kemudian meminta pemimpin atasan Ikram agar menenangkan elemen-elemen itu dan tidak cuba memecah-belahkan gerakan Islam dengan mendirikan sebuah lagi parti Islam.

Namun seorang pemimpin Ikram baru-baru ini menyatakan sokongan kepada "harapan baru" G18, yang kebetulan ada hubungan rapat selama beberapa dekad dengan NGO tersebut.

Seperti beberapa pemimpin PKR dan G18 yang mesra dengan DAP, beberapa elemen daripada NGO itu sudah mendekati atau menyertai sayap Melayu DAP.

'Berebut pengundi'

Pendek kata, semua anasir yang menolak kepemimpinan PAS sekarang bergabung atas nama parti baru untuk menentang parti Islam itu.

Tetapi mereka semua selama ini penyokong setia Pakatan Rakyat, malah sejak pilihan raya umum 1999 lagi.

Gabungan pecahan-pecahan PAS, PKR dan Ikram inilah yang dikatakan "harapan baru".

Sebab itu gerakan parti baru ini tidak memberikan nilai tambah, misalnya akibat perpecahan Umno pada 1987 (munculnya Parti Semangat 46) dan 1998 (lahirnya PKR), tetapi hanya berebut-rebut khalayak pengundi pembangkang sedia ada.

Yakni, pecahnya undi pembangkang tetapi tidak mengaut undi BN.

Oleh itu, kita boleh menjangkakan persaingan tiga penjuru yang sengit antara parti baru dengan PAS dan BN, khususnya di kawasan-kawasan luar dan pinggir bandar.

Jika PKR masuk dalam "gabungan baru", atau Pakatan Rakyat 2.0 tajaan bersama DAP dengan parti baru ini, bolehlah diduga pertembungan tiga penjuru juga tidak dapat dielakkan antara BN, PKR dan PAS.

Gabungan baru

Sebabnya, jika PKR bersama "gabungan baru" itu dan gabungan ini pula berpakat menentang PAS, parti Islam itu berasa ia dikhianati oleh PKR.

Jika dua senario ini berlaku, pertandingan tiga penjuru bukan hanya PAS dan parti baru tetapi juga PAS dan PKR.

BN dan Umno, yang tertekan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bolehlah bernafas lega melihat perpecahan serius pembangkang.

Selain keuntungan bagi Umno, yang pernah dijadikan sasaran kempen pembangkang 'Asalkan Bukan Umno' (ABU) dalam pilihan raya umum 2013, DAP juga meraih manfaat besar atas krisis kelompok-kelompok pembangkang Melayu ini.

Sementara itu, akibat perpecahan pangkalan undi Melayu-Islam, ketiga-tiga parti pembangkang (PKR, parti baru dan PAS) yang paling rugi.

DAP, yang yakin dengan kesetiaan pengundi bandar, akan terus mengekalkan tapak pengaruhnya.

Kelihatan jelas, DAP tidak rugi apa-apa, malah menguntungkan untuk bekerjasama dengan parti baru yang, antara lain, tidak mahu meneruskan agenda hudud PAS.

Jika PKR mendatangkan masalah kepadanya, DAP boleh menggunakan parti baru untuk berdepan dengan parti Anwar Ibrahim.

Kita sedang melakar senario barisan pembangkang yang diketuai oleh DAP, sementara barisan parti kerajaan diketuai oleh Umno.

Apakah pengundi Melayu yang konservatif, termasuk kelas menengah mereka di pinggiran bandar, boleh menerima permainan "politik baru" pembangkang?

Bahagian 1: Dilema dan penyakit parti baru Islam

Bahagian 2: PAS masuk jerat DAP, G18 ganti PKR?



FATHI ARIS OMAR menghuraikan lebih lanjut isu-isu politik di Facebook. Beliau dapat dihubungi di fathiaris@gmail.com.

Pas masuk jerat DAP, G18 ganti PKR ? - Fathi Aris Omar (Siri 2)



Selepas sambutan Hari Raya minggu depan, kita mungkin tidak mendengar lagi ledakan mercun pembangkang.

Kita sebaliknya akan mendengar letupan meriam dan ledakan bom serangan bertubi-tubi antara tiga parti ini.

Sejak beberapa bulan lalu, khususnya menjelang dan selepas muktamar PAS, kita hanya mendengar mercun politik pembangkang. Bingit dan membingungkan.

Namun tiga keputusan penting yang ditangguhkan selepas Aidilfitri bakal mencetuskan ledakan besar, jika tiada jalan damai, tanda kehancuran lengkap Pakatan Rakyat.

Ledakannya itu permulaan krisis pembangkang sehingga pilihan raya umum nanti – kalaulah tiada langkah meredakannya.

Tiga keputusan penting tersebut:

(a) sama ada PAS benar-benar menolak atau menerima semula DAP,

(b) sama ada G18, atau serpihan PAS, berjaya mendirikan parti baru, dan

(c) apakah hasil tekanan DAP ke atas PKR di Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak mencetuskan ketegangan baru.

Dalam pengamatan awal penulis:

(a) PAS cenderung memutuskan hubungan dengan DAP seperti usul muktamar walau tetap bersama PKR.

Sumber-sumber PAS, setakat ini, membayangkan ia tidak akan berundur daripada usul Dewan Ulama.

Jerat DAP mengena

Keputusan ini ibarat ledakan awal yang mengakibatkan rantaian letupan-letupan berikutnya.

Dengan menolak DAP, PAS seolah-olah termasuk dalam jerat yang dipasang DAP.

PAS termakan provokasi mengikut 'game plan' DAP tanpa disedarinya. G18 mungkin tidak perasan atau sengaja buat-buat tidak nampak.

Keputusan PAS ini sebagai reaksi balas terhadap sikap DAP tetapi tindakan dua parti ini menggagalkan Pakatan Rakyat.

Selain memutuskan hubungan dengan presiden PAS Abdul Hadi Awang atas alasan beliau "tidak jujur", provokasi DAP itu termasuklah memutuskan hubungan dengan PAS di Sarawak dan Sabah.

Yakni, DAP memang mahu memutuskan hubungan dengan PAS di peringkat nasional tetapi ia harus menunggu senario sesuai untuk bertindak.

Dengan usul perpisahan itu, Dewan Ulama memberikan pucuk dan ulam kepada DAP.

Dengan cepat sahaja, DAP menyambar peluang itu dengan mengumumkan Pakatan Rakyat "sudah mati". Serentak, DAP sendirian mengisytiharkan "gabungan baru", atau Pakatan 2.0, dengan G18.

Sikap DAP ini bukan setakat itu, ia malah mendesak PKR di Selangor mengambil pendirian memihak kepadanya tetapi PKR enggan.

Cara beberapa wakil rakyat DAP memainkan isu kod berpakaian di Selangor boleh ditafsir dalam konteks serangannya pada pimpinan PKR.

Setelah beberapa kali mendesak PKR di belakang tabir, DAP sendiri mengumumkan kematian Pakatan Rakyat di Pulau Pinang baru-baru ini.

Yakin dengan kesetiaan pengundi bandar, DAP tidak risau berpisah dengan PAS kerana G18 boleh dipergunakan untuk melebarkan pengaruhnya di kawasan Melayu dan kawasan pinggir bandar, yang selalunya ditandingi PAS dan PKR.

DAP berasa ia tidak rugi apa-apa, malah menguntungkan untuk bekerjasama dengan parti baru G18 yang, antara lain, tidak mahu meneruskan agenda hudud PAS.

Malah, jika PKR mendatangkan masalah kepadanya, DAP boleh menggunakan G18 untuk berdepan dengan parti Anwar Ibrahim.

Apatah lagi, beberapa pemimpin utama PKR, khususnya yang bermasalah dengan PAS, menyokong usaha G18 dan DAP.

DAP sedang bersiap sedia menguasai sepenuhnya barisan pembangkang atau, jika terdesak, bergerak sendirian.

Bagi DAP, di sinilah peranan strategik parti baru G18 yang belum disedari oleh penyokong-penyokong PAS yang anti kepada kumpulan proulama.

DAP perkuda 'Gelombang Baru'

(b) Keputusan PAS menolak DAP sesuai pula dengan persiapan G18, serpihan PAS yang akrab dan bergerak sejalan dengan DAP, yang mahu mengumumkan parti baru.

Keghairahan mereka mengkritik PAS dan bergerak di kawasan-kawasan "jebon" kini jauh lebih aktif berbanding sebelum muktamar.

Seolah-olah mereka lebih rela membentuk parti baru daripada menang pemilihan PAS!

Apatah lagi idea parti baru sudah muncul sejak krisis menteri besar Selangor selepas Aidilfitri tahun lepas lagi.

Kalau kita perhatikan betul-betul, G18 dan DAP bersama beberapa kerat pemimpin PKR menyokong "gabungan baru" yang asalnya dari ketumbukan sama sejak krisis tersebut bermula.

Kumpulan itu kini ingin dikenali dengan slogannya 'Harapan Baru', bukan lagi G18, bagi menggambarkan ia mendapat sambutan meluas penyokong Pakatan Rakyat dan orang ramai.

Ia akan dilancarkan di Perlis selepas Aidilfitri dengan menampilkan beberapa tokoh popular, seperti mufti, ahli akademik dan profesional Islam.

Mereka berharap 'Harapan Baru' mencetuskan semacam gelombang masyarakat bagi menutup imej asal mereka sebagai kumpulan bekas pemimpin atasan PAS yang tewas dan kecewa.

Tetapi setakat ini "gelombang" itu gagal dicipta, malah hanya berebut-rebut dengan pangkalan sokongan (support base) sedia ada pembangkang.

Malah, tokoh-tokoh "baru" yang dijangka menyertai 'Harapan Baru' sudah sedia dikenali sebelah kaki mereka bersama pembangkang!

Sama ada G18 sedar atau tidak ia sedang dipergunakan oleh DAP, mereka senada dalam mengkritik dan menolak PAS.

PAS-DAP bertembung

(c) Susulan perkembangan (a) dan (b) itu, DAP dijangka mahu terus menekan PKR untuk mendapatkan konsesi lebih besar di Selangor.

Usaha itu sudah beberapa kali dicuba oleh pemimpin-pemimpin DAP, termasuk dari peringkat pusat.

Namun PKR selama ini enggan menunaikan konsesi itu kerana sikap DAP yang tidak meraikan mereka di Pulau Pinang.

Malah, penulis ini difahamkan, DAP mengambil sikap "pecah dan perintah" beberapa pemimpin PKR dalam pentadbirannya.

Mereka yang sedia tunduk kepada gaya "politik tokong" DAP diberikan keutamaan. Sementara mereka yang enggan 'kowtow' pada telunjuk DAP digertak untuk disisihkan.

Kerenggangan DAP-PKR belum begitu ketara di dua negeri ini.

Tetapi keretakan awal semakin ketara antara PKR dan DAP di Sarawak apabila parti yang selalunya bergerak di bandar didakwa ingin merampas kerusi-kerusi PKR di pedalaman.

Jika tiada jalan keluar, dua parti ini akan bertembung dalam pilihan raya negeri Sarawak dalam masa terdekat.

Krisis di Sarawak sedikit  sebanyak mempengaruhi hubungan DAP-PKR di Semenanjung.

Sedar nasibnya yang terhimpit dan bakal ditelan DAP, PKR melancarkan jelajah 'amanat presiden', juga selepas Aidilfitri.

Dengan latar tiga keputusan (a) hingga (c), kita akan berdepan politik nasional yang lebih mendebarkan, selain isu sejauh mana perdana menteri dapat bertahan selepas didakwa mengambil RM2.6 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Isu 1MDB yang menggugat nilai mata wang dan ekonomi negara tidak dapat dimanfaatkan oleh pembangkang jika perpecahan DAP-PAS diikuti pula kerenggangan DAP-PKR.

Dengan kemunculan parti baru pula, "gabungan baru" ini tidaklah membawa "harapan baru", malah ramuan kemusnahan pembangkang seumpama 2004.

Namun, jika semua pemimpin pembangkang, termasuk serpihan PAS, menyedari betapa ruginya permainan politik mereka, mungkin "jalan damai" masih boleh dirintis.

Walau jalan damai ini semakin hari semakin berliku dan mungkin sudah terputus seperti patahnya arang.

Dilema dan penyakit parti baru islam - Fathi Aris Omar ( Siri 1)




Kononnya, 65 peratus penyokong PAS akan bersama kumpulan "profesional" yang ingin menubuhkan parti Islam baru.

Kononnya lagi, jika parti Islam baru ini bertanding tiga penjuru dengan PAS dan Umno, parti baru ini boleh menang!

Kononnya, saat ini, Umno berada dalam keadaan yang sangat merosot.

Jika pilihan raya umum diadakan sekarang, dengan pelbagai isu seperti GST dan 1MDB, Umno hanya menang lebih 40 kerusi parlimen!

Beginilah garis berhujah untuk mengolah persetujuan semua agar parti baru ini dapat diwujudkan.

Dan, lebih lucu lagi, projek menubuhkan parti baru ini kelihatan lebih ghairah dijayakan berbanding kempen memastikan pemimpin "profesional" menang dalam pemilihan PAS awal bulan ini.

Pemimpin-pemimpin ini yang kelihatan tidak bersatu sebelumnya, yang tidak menduga perancangan rapi dan "serangan hendap" aliran pro-Abdul Hadi Awang, tiba-tiba menyedari mereka masih popular dan masih mendapat dukungan.

Namun, ada beberapa masalah konteks dan latar peristiwa yang mengaburi projek parti baru Islam "inklusif" tersebut.

Pertama, ia akan dianggap sarang pemimpin yang tewas, kecewa dan takut tidak dapat bertanding lagi dalam pilihan raya umum nanti (melalui tiket PAS).

Bayangan agenda DAP

Maksudnya, mereka ini golongan "opportunis" (penting diri) yang tersisih dan patah hati tetapi tidak cerdik dalam politik sehingga tidak menduga diserang hendap sebegitu rupa oleh kumpulan "ustaz muda" (istilah saya, neo-Taliban).

Kedua, parti baru ini muncul dalam seruan DAP ingin menubuhkan "gabungan baru" pembangkang tanpa PAS.

Yakni, inisiatif ini selalu dibayangi oleh agenda tersembunyi DAP, sebuah parti yang dimomokkan sebegitu rupa (betul atau salah) sehingga tidak membantu citra positif kumpulan aliran "profesional" PAS.

Ketiga, parti baru Islam ini kemungkinan besar tidak mengutamakan agenda hudud, syariah dan Negara Islam seperti mana sikap DAP yang menolak agenda yang sudah menjadi darah daging PAS.

Sekali lagi, parti baru ini akan dianggap kowtow pada DAP. Tanggapan seumpama ini merosakkan imej parti baru sebelum ia ditubuhkan!

Keempat adalah justifikasi asas kewujudan parti baru ini berbanding PAS. Apakah keistimewaannya dan di mana silapnya PAS sehingga harus ada satu lagi parti Islam?

Jika tidak kemas, rasional tapak kewujudannya akan dipertikaikan banyak pihak, khususnya kenapa perlu parti lain sewaktu PAS dirasakan "tidak menyeleweng".

Orang nampak, PAS "tidak buat salah apa-apa" kecuali mahukan hudud dan golongan "profesional" ini tewas. Maka, kenapa perlu sebuah parti baru?

Latar peristiwa pergaduhan PAS-DAP dan kaitan DAP dengan pemimpin aliran "profesional" menjelang muktamar akan diungkit-ungkit untuk melemahkan asas kewujudannya.

Berebut penyokong

Kelima, dan yang paling penting, apa nilai tambah yang parti baru ini boleh sumbangkan kepada barisan pembangkang?

Atau, ia hanya memecahkan lagi kesatuan pembangkang selepas PAS dan DAP mencetuskan karenah politik yang memecahkan Pakatan Rakyat?

Mari kita teliti: Apa bezanya parti-parti Tengku Razaleigh Hamzah (1990) dan Anwar Ibrahim (1999) berbanding parti baru Islam?

Tengku Razaleigh dan Anwar memecahkan ketumbukan "gerombolan" Umno. Mereka menggugat dan menyerang Umno dari dalam dan merobek-robek keutuhan parti itu, tonggak pemerintahan BN.

Oleh itu, Tengku Razaleigh dan Anwar memberikan "nilai tambah" kepada barisan pembangkang.

Nilai tambah ini menjadikan Ku Li dan Anwar "gadis manis" yang mahu cepat-cepat dipinang oleh parti-parti tradisi, PAS dan DAP. Seperti "nilai tambah" PBS kepada pembangkang menjelang pilihan raya umum 1990.

Tetapi kewujudan parti baru Islam ini dilihat hanya perebutan pengkalan sedia ada pengikut pembangkang, termasuk PKR dan PAS.

Jadi, persaingan PAS-DAP yang membawa kelahiran parti baru Islam tidak ubah seperti permainan bongkah-bongkah Lego.

Jumlah bongkahnya kekal sama (malah mungkin berkurangan akibat penyokong yang kecewa), hanya rekaan Lego sahaja diubah-ubah.

Tawaran nilai tambah

Apa lagi daya tarik parti baru ini untuk meluaskan pengkalan penyokong pembangkang? Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam? Dari mana mereka datang?

Beberapa hari lalu, Anwar mengeluarkan kenyataan: "Saya percaya bahawa pembangkang, setelah disusun semula dengan kekuatan baharu termasuk NGO-NGO, akan muncul bersatu dan lebih kuat selepas ini."

Tetapi sedarkah beliau bahawa mana lagi NGO yang beliau boleh harapkan? Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) atau Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)?

Semua NGO itu, termasuk bukan Melayu, pernah menyokong beliau dan pembangkang sejak 1998 lagi!

Jadi, di mana "nilai tambah" parti baru? Daripada PERKASA, ISMA atau Pekida? Daripada Belia 4B, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) atau persatuan-persatuan bekas pelajar sekolah berasrama penuh?

"Nilai tambah" yang saya maksudkan itu seumpama dampak dan krisis yang dicetuskan oleh gelombang (ulang: gelombang) Tengku Razaleigh dan Anwar, khususnya di awal-awal krisis menjelang pilihan raya 1990 dan 1999.

Dua tokoh nasional itu, yang berpengalaman luas dalam kerajaan dan berkedudukan kanan dalam parti pemerintah utama, menubuhkan parti baru selepas disingkirkan.

Tetapi siapa tokoh-tokoh parti Islam baru ini yang boleh mencipta gelombang nilai tambah pada pembangkang?

Parti baru ini (termasuk G18 atau PasMa) tidak mencipta nilai tambah. Semua kumpulan ini hanya berebut-rebut constituents (penyokong) pembangkang sedia ada; yang boleh disalurkan oleh PKR dan DAP.

Malah, parti baru ini bukan sahaja meretakkan lagi hubungannya dengan PAS, dan berpotensi menimbulkan konflik dengan PKR!

Sebabnya sasaran kerusi dan pangkalan sokongan parti baru itu, khususnya di pantai barat Semenanjung, hampir-hampir sama dengan PKR.

Undang kebencian

Tetapi sebenarnya nilai tambah ini lebih kritikal saat ini berbanding zaman Tengku Razaleigh dan era Anwar (dulu) untuk menampung kekurangan undi (offset) akibat perpecahan dengan PAS.

Jika nilai tambah ini tidak wujud – atau wujud minimal sahaja, tidak mencipta "gelombang" – parti baru Islam itu sedang melakukan eksperimen besar.

Eksperimen yang boleh menggugat Kelantan, Selangor dan gagal menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen – yakni "penanda aras" pencapaian terbaik pembangkang.

Risiko ini sangat besar kepada pembangkang.

Risiko ini, jika gagal, akan dimaki habis-habisan oleh penyokong Pakatan Rakyat, khususnya "generasi Ini Kalilah" 2013, yang kini makin keliru dan kecewa dengan permainan politik berlebihan pembangkang.

Parti baru Islam itu didirikan atas kemarahan mereka kepada PAS tetapi eksperimen mereka itu boleh menyebabkan hilangnya Selangor atau BN mendapat semula dua pertiga.

Apakah wajar risiko sebesar itu diambil demi menyelamatkan beberapa tokoh pemimpin PAS yang tewas baru-baru ini?

Apakah wajar risiko sebesar itu diambil demi melayan sikap DAP yang menolak PAS?

Bagaimanapun, wujud atau tidak wujud parti baru, ada satu lagi dilema yang semua pembangkang harus bertanya secara jujur dan strategik: Apakah PAS mampu mempertahankan kerusi-kerusinya, khususnya di pantai barat Semenanjung?

Apakah PAS dapat dipercayai untuk meyakinkan kita bahawa ia masih relevan sebagai pembangkang, sekali lagi khususnya di pantai barat Semenanjung?

Fathi Aris Omar kritikal terhadap Gerakan Harapan Baru (GHB) - Siri 4





 Jangan tersilap faham, saya suka tafsiran-tafsiran baru, beragama dan progresif terhadap Islam.
Tetapi, dalam konteks politik pilihan raya saat ini, saya mengkritik projek parti baru Islam ( Gerakan Harapan Baru) ini.

Video di sini : https://www.youtube.com/watch?v=X_uhsYh3C-o& merakamkan sedikit huraian saya tentang dilema menafsirkan agama seperti yang diharap-harapkan anak muda tentang "Islam progresif".

Program ini dianjurkan oleh rakan-rakan DAP di Kulai, Johor pada penghujung Jun lalu.
Tanggapan saya ini sudah dihuraikan lebih 10 tahun lalu lagi dalam artikel-artikel saya di kolum Malaysiakini. Sekarang, artikel-artikel itu dibukukan dalam 'Agong Tanpa Tengkolok'.

Artikel-artikel tersebut antaranya:
- Gelora akal dalam resah agama;
- Ancaman pembiusan agama;
- Kritik agama cabang reformasi;
- Sewaktu agama kehilangan akal;
- 'Islam Liberal' wacana terdesak;
- Islam di air yang tenang

Saya selalu percaya, walau jarang saya tulis dan huraikan, serpihan PAS ini sebenarnya sama totok saja dengan PAS lama yang mereka mahu tinggalkan.

Percayalah anak-anak muda, kalian akan kecewa dengan slogan "progresif" kumpulan Islamis baru ini.

Sebab apa? Sebab "progresif" hanyalah wayang kata-kata tanpa inti perbahasannya.
Semua mereka ini ahli politik yang mencaturkan diri dalam persaingan kekuasaan; bukan pemikir dan idealis yang mengutamakan perbahasan yang mendalam tentang idealisme atau ideologi mereka.

Lihat kata YB Khalid Samad: "Beza ‘Parti Baru’ dengan PAS hanya satu. Aqeedahnya sama, dasar perjuangan sama, kefahaman terhadap Islamnya sama. Yang membezakan hanyalah kejujuran berkerjasama dan kommitmen kepada kaedah tahalluf siyaasi dan konsep PR."

Tidak ada bezanya serpihan PAS dengan PAS lama kecuali soal tahalluf siyasi dan komitmen pada tahalluf siyasi.

Lihat kenyataan asas Mohamad Sabu, pengerusi kumpulan serpihan ini, yang tidak mengiktiraf tokoh-tokoh progresif PAS seperti Dr Burhanuddin al-Helmy.Sebaliknya hanya menerima tokoh-tokoh PAS era fundamentalisme Islam pasca-1982.Fundamentalisme Islam PAS pasca-1982 yang membawa bala dan malapetaka kepada serpihan PAS ini!

Kenyataan ini dokumen utama hasrat penubuhan mereka.Tetapi lihatlah betapa pendeknya perspektif mereka melihat sejarah PAS dan kemelut politik Islam di tanah air kita!

Mohamad Sabu: "Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan gerakan ini bagi pembentukan semula kerjasama dan muafakat politik sebagai penerusan legasi perjuangan pemimpin terdahulu seperti Al-Marhum Tuan Guru Yusof Rawa, Al-Marhum Ust Fadhil Mohd Noor dan Al-Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menjayakan usaha penubuhan Pakatan Rakyat 2.0."

Sebab itu saya berani sebut begini: Menjadi progresif dan berpura-pura progresif dua hal berbeza.
Budak-budak mentah bolehlah kita tipu!

- Fathi Aris Omar-

Nota : Kenyataan ini dipetik melalui Facebook Fathi Aris Omar.

Wednesday, November 20, 2013

PAS Penang buat U turn 360 tarik balik ugut lepaskan jawatan pentadbiran kerajaan negeri P.Pinang?

Adalah memalukan bila ostaz Pas P.Pinang melalui Pesuruhjaya Negeri Datuk Salleh Man telah menyalahkan media seperti di NST kononnya salah dalam melaporkan  tohmahan kerajaan DAP campurtangan urusan agam Islam P.Pinang. Ya, mungkin NST nak bagi hot news akan sebut kerajaan DAP campurtangan urusan agama Islam P.Pinang, tapi yang sebetulnya ialah kerajaan negeri melalui Exco Agama yang campurtangan. Exco Agama ialah YB Malik Kasim (PKR) dan itu memang tugas beliau sebagai Exco Agama untuk  membuat keputusan penting melibatkan urusan perkembangan agama Islam di negeri P.Pinang.

Adakah ostaz Pro UG dalam Pas P.Pinang tersilap langkah dan kata dalam mengugut melepaskan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan keluar Pakatan Rakyat?  Kesan besar ialah Datuk Salleh Man perlu melepaskan jawatan YDP MAINPP termasuk juga beberapa  jawatan GLC contoh ahli lembaga pengarah di PBA, HALAL,  Yayasan Islam PP, Ahli majlis MAINPP, Perbadanan Perpustakaan PP, Ahli Majlis MPSP/MPPP, Penyelaras DUN,  Lembaga Zakat dan JKKK.  Nampaknya semua jawatan ini perlu dilepaskan oleh PAS berdasarkan pendirian Pas Negeri P.Pinang.

Polemik ini telah menggemparkan penyokong PR di seluruh negara terutama di P.Pinang.Persoalan pokok di sini pada kacamata rakyat kelihatan Pas PP terdiri daripada ostaz-ostaz ulamak ini GILA JAWATAN dan KUASA sehingga berani mengugut keluar PR di media perdana dan yang menarik masanya menjelang Muktamar PAS yang bermula hari ini. Apa sudah tidak cukup lagi jawatan seperti yang sebahagian disenarai di atas untuk PAS  ? Menang 1 kerusi DUN tapi minta macam dia kerajaan utama?

Orang kata ukur baju di tangan sendiri dahulu!

Ostaz-ostaz seperti Afnan Hamimi dan Fauzi ini perlu muhasabah diri dahulu sebelum bercakap. Jawatan YDP MAINPP itu sudah cukup besar untuk PAS dan patut dipergunakan dengan sebaiknya untuk manfaat kepada orang Melayu dan Islam P.Pinang seperti disarankan oleh YB Mujahid Yusuf Rawa. Tanah-tanah wakaf Islam perlu dimanfaatkan untuk kegunaan orang Islam P.Pinang terutama dalam bidang ekonomi dan perumahan. Bila pemimpin sendiri lemah dan tidak cekap dalam pentadbiran maka jangan salahkan orang lain.

Sunday, June 2, 2013

Pemimpin UG PAS,Nik Abduh salahkan Anwar punca gagal Putrajaya & mahu Anwar redha tewas PRU13

 Oleh UTUSAN

KOTA BHARU 1 Jun - Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim terus giat merancang perhimpunan Blackout 505 menentang keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula menerima kekalahan pakatan pembangkang dan menyifatkannya sebagai takdir Allah.
.
Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menerusi akaun Facebook miliknya hari ini menyatakan tidak terkejut dengan keputusan pada 5 Mei lalu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kekal membentuk kerajaan sekali gus menafikan impian Anwar bercita-cita menjadi Perdana Menteri.

“Keputusan yang diperolehi pada 5 haribulan (5 Mei lalu) adalah tidak mengejutkan saya. Saya mudah menerima takdir Allah dalam PRU kali ini berbanding kejutan takdir Allah dalam PRU 2004 yang begitu menggegar bahtera perjuangan Pas.

“Keputusan PRU-13 adalah kemenangan buat BN dan kekalahan buat pakatan pembangkang. Pas melalui Presidennya (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) menyeru rakyat menerima kekalahan. Ia adalah takdir Allah," katanya.

Nik Abduh turut menyentuh prestasi pembangkang di Sabah dan Sarawak yang kekalahan pembangkang di kedua-dua negeri itu membayangkan kelemahan jentera Anwar.

Kekalahan pakatan pembangkang di Sabah dan Sarawak jelas beliau, telah melenyapkan harapan pembangkang untuk memenangi Putrajaya seterusnya membentuk kerajaan meskipun berjaya menambah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung.

Dalam nada sinis, Nik Abduh turut menyifatkan janji-janji Anwar sekadar janji manis sehingga mengakibatkan ramai penyokong pakatan pembangkang menjadi mangsa ‘kencing manis akibat janji manis bergula’ Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

“Saya tidak faham politik janji manis dan harapan meranap gunung. Sepanjang saya berguru dengan TGNA (Tuan Guru Nik Aziz), TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) dan guru politik dalam Pas, saya tidak pula diajar begitu selain berkata benar dan tegas.

“Ya, DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bukan Pas dan beliau tidak perlu mengguna pakai kaedah Pas. Tetapi, saya jadi keliru melihat sebahagian mangsa adalah ahli dan pendukung Pas," katanya.

Beliau sehubungan itu menempelak ahli dan pendukung Pas yang sukar memahami maksud ‘menerima takdir Allah’ yang dianjurkan Abdul Hadi sehingga menganggap kekalahan pilihan raya lalu sebagai menyerah kepada kezaliman BN yang didakwa mempergunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya sukar memahami sesetengah ahli Pas tidak memahami maksud beriman kepada takdir Ilahi.
“Sama ada saya menyalahkan DSAI atau menyalahkan ahli dan pendukung Pas sendiri yang terlalu kemaruk janji manis DSAI, saya tangguhkan buat sementara kerana mungkin juga kedua-duanya bersalah," katanya.

Nik Abduh turut mengakui Pas masih gagal memikat undi orang Melayu di seluruh negara termasuk kegagalan parti itu membantu sekutunya PKR mengekalkan tiga kerusi Parlimen di Kelantan yang mereka menangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Menurut beliau, Dewan Pemuda Pas sekitar tahun 2010 telah merumuskan bahawa Pas mestilah menumpukan usaha memikat hati orang Melayu yang didakwa masih liat untuk berubah.

Dalam rumusan tersebut katanya, Dewan Pemuda Pas juga mengingatkan semua jentera parti agar menjaga hati orang Melayu agar Pas dilihat mampu menggantikan UMNO.

“Pas perlu bertegas dengan isu orang Melayu sebagaimana UMNO dilihat begitu. Bezanya Pas hanya perlu menampilkan penyelesaian cara Islam yang adil dan bersifat memakmurkan hubungan antara kaum tanpa rasis UMNO. Justeru ia akan menambah undi Melayu selain mengekalkan undi bukan Melayu kepada Pas," katanya lagi merujuk kepada rumusan sayap Pas itu.
Nik Abduh turut menegaskan bagaimana Dewan Pemuda Pas telah berusaha menjuarai isu-isu Melayu dan Islam serta yakin memperolehi hasil yang agak positif.

@Pantherian :  Puak UG Ulama PAS melalui Nik Abduh sudah bersuara lantang dengan menyalahkan PKR terutama Anwar Ibrahim diatas kegagalan menawan Putrajaya.
 
Mungkin dia lupa PAS hilang negeri di Kedah, tumbang kekuasaan Azizan Razak "Keteqaq" di tangan Mukriz Mahathir. Selain itu,  banyak juga seat DUN PKR juga tewas kepada UMNO disebabkan Azizan. Orang Kedah tolak Azizan tapi PAS masih sayangkan Azizan dan letak dia mengepalai jentera Kedah yang akhirnya menguburkan PAS. Seat Parlimen Kedah kurang nak tawan Putrajaya? Mat Sabu pun melopong.
 
Mungkin Nik Abduh  lupa juga PAS tergolek juga di Terengganu yakni kawasan Melayu dan Haj i Hadi masih kempunan lagi untuk jadi MB menggantikan Ahmad Said. Presiden Pas dok berebut seat DUN Terengganu dengan PKR, akhirnya dia sendiri melopong nak jadi MB.

Jika kita membaca komentar Nik Abduh juga, kita dapat melihat bahawa Ulama PAS ini walaupun mereka kata nak perjuangkan Islam tapi persoalan bangsa Melayu masih membelenggu ulama UG Pas ini seperti apa diperjuangkan UMNO.
Ternyata kini suara Nik Abduh yang kini merasa gah menjadi Ahli Parlimen senada dengan pemimpin besar UG PAS, Harun Taib. Kita nantikan pemimpin UG ini bersuara di Parlimen nanti.

https://www.facebook.com/pages/Nik-Mohamad-Abduh/177786515581027?fref=ts

Tuesday, September 6, 2011

Panas! Reezal Mamak UMNO P.Pinang tipu rakyat,sorok resit kos perubatan Mat Sabu


Sumber Penang Daily

GEORGETOWN – UMNO Pulau Pinang dinasihatkan supaya menghentikan fitnah ke atas kerajaan negeri serta digesa mendedahkan kesemua resit pembayaran kos perubatan Mohamad bin Sabu yang dikeluarkan oleh Hospital KPJ Selangor, kata Lim Guan Eng.

Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian sebagai respons pada fitnah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas Datuk Seri reezal Merican bin Naina Merican kononnya kerajaan negeri bersubahat dengan Mohamad menyeleweng lebih RM3,000 dana Perbadanan Bekalan Air (PBA).

“Sebenarnya ada dua resit, tapi dia (Reezal) hanya tunjuk satu resit sahaja sebab berhati busuk…saya yakin ini semua telah diatur (dan) ini semua fitnah (pihak pembangkang),” ujar beliau.

Berdasarkan kedua-dua resit berkenaan (lihat gambar di bawah) , kos hospitaliti keseluruhannya sebanyak RM5,060.54. Manakala kos perubatan dan konsultansi berjumlah RM3373.50.

Jumlah keseluruhan kos perubatan Mohamad yang juga Ahli Lembaga PBA adalah berjumlah RM8,434.05.
Lim berkata, Reezal tidak wajar menuduh Mohamad menyeleweng dana PBA kerana transaksi pembayaran perubatan Mohamad melibatkan PBA dan Hospital KPJ Selangor sahaja.

Bercakap dalam sidang akhbar yang sama, Pengurus Besar PBA Ir Jaseni Maidinsa pula berkata, pihaknya wajar berlaku profesional membiayai kos perubatan ahli lembaga pengarahnya.Ditambah dengan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PBA yang dijadualkan pada 19 Ogos lepas, beliau berkata pihaknya wajar melakukan tanggungjawab korporat kepada Mohamad.

“Inilah keprihatinan kami (PBA), inilah ‘manfaat perubatan’. Ini adalah keputusan korporat.
“Sesetengah syarikat korporat ada yang menghantar ahli lembaganya pergi bercuti, tetapi ini tidak berlaku (dalam PBA),” ujar beliau.Sambil menegaskan bahawa PBA tidak pernah menyeleweng dana rakyat, beliau berkata manfaat yang disumbangkan kepada Mohamad adalah rekod pertama bagi tahun ini.

Beliau turut menjelaskan mengenai status sebenar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu yang sengaja dicetuskan oleh pihak pembangkang.“Tidak ada sebarang siasatan ke atas saya. Sebab itu, mereka (SPRM) datang ke pejabat kami (PBA). Kalau tidak (jika saya disiasat), saya ke pejabat mereka,” ujar beliau lagi.

Lim dalam reaksi spontan turut mengalu-alukan SPRM untuk mengesahkan kedua-dua resit pembayaran yang didedahkan oleh Hospital KPJ Selangor dengan kerjasama PBA.Pada 9 Julai lepas, Mohamad mendakwa kenderaan polis melanggarnya sehingga mengalami kecederaan serius di bahagian lutut.
Dalam pembedahan di Hospital KPJ Selangor, lututnya menerima skru sepanjang 2.5 inci.

[Caption: Resit perubatan yang didedahkan oleh pembangkang]


@Pantherian - Sememangnya saya sudah agak UMNO PP terutama Mamak Reezal yang mengaku Melayu ini "kaki kencing" sehingga sanggup tipu resit kos perubatan Mat Sabu.
 
Mamak tongkang ini tunjuk satu resit sahaja kemudian kata Mat Sabu tipu "claim", satu Malaysia tonton mamak tongkang ini dok penipu rakyat.
 
Lepas itu, Mamak PERDA Tok Musa tokok tambah kononnya dalam Perjanjian Pekerja PBA , Mat Sabu tidak layak claim kos perubatan disebabkan menyertai perhimpunan haram.

Tok Musa tokey Bandar Perda ini tidak faham bahawa Ahli Lembaga Pengarah seperti Mat Sabu tidak termasuk dalam perjanjian antara kakitangan PBA dan majikan. Nak kata BODOH, kasihan pulak tetapi dia pemaju tersohor Bandar Perda.
 
2 Mamak bukan wajah Melayu ini memang kaki kencing !
 
 
 
 

Thursday, August 11, 2011

Presiden PAS, DS Hadi tegas UMNO mahu main isu politik agama ekoran serbuan JAIS ke atas gereja


Kenyataan media milik Umno dalam isu gereja lebih bersifat apa yang disebut oleh Imam Ali bin Abi Thalib k.w. sebagai "ucapan yang zahirnya benar tapi matlamatnya kebatilan."
- Abd Hadi Awang

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang menganggap tindakan media arus perdana mahu dilihat sebagai juara mempertahankan Islam dalam isu serbuan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) se
eliau menyifatkan kenyataan media milik Umno dalam isu gereja lebih bersifat apa yang disebut oleh Imam Ali bin Abi Thalib k.w. sebagai “ucapan yang zahirnya benar tapi matlamatnya kebatilan.”

Pada 3 Ogos lalu, sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu gereja berkenaan di Seksyen 13, di sini ekoran kehadiran sekumpulan penganut Islam pada majlis makan malam anjuran gereja tersebut.

Menulis dalam Harakah keluaran terbaru, Hadi berkata matlamat media arus perdana dan Umno ialah untuk memancing undi Melayu Islam yang buta Al Quran bagi PRU ke 13.“Mereka mahu meneruskan agenda warisan penjajah iaitu Islam yang terpimpin bukannya Islam yang memimpin. Islam menjadi agama yang diperintah dan ditadbir, bukannya Islam yang memerintah dan mentadbir.

Hasilnya masjid boleh digeledah, tidak ada perbezaan dengan gereja dan imam boleh diambil tindakan bukan kerana kesalahan agama tetapi kerana kononnya kesalahan berpolitik dalam masjid.

Memisahkan agama dengan politik
“Politik pula dipisahkan dari agama sama seperti juga pemisahan agama dengan politik dalam lain-lain agama selain dari Islam,” terangnya.

Menurut beliau, ketika Islam dalam keadaan berkuasa di Madinah, Rasulullah saw mengizinkan penganut agama lain hidup dalam masyarakat Islam secara aman dengan menjadikan rakyat yang wajib dilayan secara adil tanpa paksaan dalam agama menerusi perjanjian bertulis yang dimeteraikan.

“Dalam masa yang sama Islam mewajibkan penganutnya mempertahankan Islam, yang menjadi hak kepada penganut Islam sendiri dan kerajaannya,” katanya.Ujar Hadi, “berlaku zalim terhadap penganut agama lain juga adalah haram sehingga Rasulullah saw memberi amaran neraka kepada orang Islam yang mengkhianati perjanjian yang sebenarnya adil.

Beliau lalu memetik ayat 40 dari Surah Al-Hajj, firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan sesetengahnya yang lain, nescaya runtuhlah biara- biara serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang didalamnya banyak disebut nama Allah.”

Rasulullah saw menafsirkan perintah Allah secara amalan; apabila Islam melarang penganut Islam menceroboh gereja dan paderi walaupun ketika berlakunya perang maka sudah tentulah ketika damai keadaan ini lebih wajib dipelihara.

Beliau mengajak umat Islam membuka Al Quran dan mengamati ajaran Rasulullah saw dan para sahabat serta ulama muktabar yang menunjukkan cara beramal yang sebenarnya, bukan melalui media dan pengampu di jalanan.


@pantherian -  Kagum dengan ketegasan kenyataan Tok Guru Hadi Awang berhubung isu serbuan di gereja oleh JAIS . Apabila ulama yang faham AL QURAN dan hadis, beliau dapat menasihat orang ramai berhubung sesuatu tindakan itu berdasarkan apa yang termaktub dalam Al Quran dan hadis.

Jelas UMNO gunakan media untuk pancing sokongan Melayu kepada mereka kononnya inilah PEJUANG ISLAM SEBENAR. 
 
Kenyataan tegas ini jelas menidakkan Ketua Pemuda PAS,Nasrudin TANTAWI  yang secara terbuka menyokong tindakan JAIS di atas serbuan tersebut. 
 
Nampaknya Pemuda PAS walaupan banyak mereka org agama tetapi belum cukup MAKAMNYA untuk dahului ilmu  ulama seperti Tok Guru Hadi dan Tok Guru Nik Aziz baik dari segi ilmu agama dan politik.
 
Lihat kenyataan Tantawi dibawah yang dibelitkan oleh Hassan Ali. Kehebatan hujah Hasan Ali belum mampu yakinkan PAS Pusat tentang serbuan JAIS ini yang menyebabkan Presiden mahu temui JAIS dan Gereja sendiri.


Wednesday, June 1, 2011

Mat Sabu untuk Tim.Presiden, Tuan Ibrahim tumpu tawan Pahang


Abg Mat Sabu terkenal sebagai Pejuang Rakyat yang berani!


Ditangkap polis dan merengkok dalam lokap sudah biasa bagi Abg Mat.



Dato' Tuan Ibrahim Lebih Diperlukan di Pahang Dari Di Pusat

Peribahasa "Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran" rasanya berada di benak majoriti Ahli Badan Perhubungan PAS Pahang di Mesyuarat Perhubungan mereka yang baru lepas.

Di dalam mesyuarat tersebut, seorang veteran PAS yang amat dikenali oleh orang2 lama PAS Pahang, mempersoalkan tindakan Tuan Ibrahim menerima pencalonan Timbalan Presiden PAS Pusat tanpa berbincang dengan Perhubungan PAS Pahang.

Bukanlah soalan yang diberikan itu bertujuan menyerang Ustaz Tuan Ibrahim. Cumanya, yang merisaukan majoriti ahli Perhubungan PAS Pahang adalah masa sekarang tidak sesuai untuk Pesuruhjaya mereka mengambil kedudukan yang lebih berat tanggungjawabnya seperti Timbalan Presiden.

Mereka tahu Pahang memerlukan seorang Pesuruhjaya yang sepenuh masa dan tidak boleh dipimpin oleh seorang Pesuruhjaya yang "Part Time".

Semenjak selepas 1999, Dato Tuan Ibrahim telah memimpin Perhubungan PAS Pahang. Hasil kepimpinan beliau, sebuah pasukan yang mantap telah berjaya ditubuhkan. Ini adalah lantaran Dato' Tuan Ibrahim menumpukan masa dan kederat beliau hanya kepada PAS PAhang.

Sekiranya beliau ke Pusat, maka masa yang beliau ada untuk menumpu kepada PAhang sudah tentu BERKURANGAN yang amat sangat. Sedangkan PAhang adalah salah sebuah negeri yang berpotensi untuk menang.

PAHANG BERPOTENSI MENANG

Bayangkan pilihanraya umum cuma setahun sahaja lagi. PAhang sedang menyaksikan kebangkitan rakyat yang amat baik.

Misalnya:

1.0 Kebangkitan warga Felda yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kebangkitan warga Felda akan menyebabkan tersungkurnya Barisan Nasional di Pahang

2.0 Orang2 Cina dan India yang secara terbuka menolak Barisan Nasional dan mereka secara terbuka boleh menerima PAS.

3.0 Malahan, kalau kita baca blog Haji Suhaimi Said, kebangkitan dapat dilihat di kalangan orang-orang asli di Pahang juga. Cawangan-cawangan PKR tubuh melata diperkampungan2 orang asli seluruh Pahang

4.0 Team Pakatan Rakyat yang begitu mantap. PKR dipimpin bekas orang kuat UMNO Pahang, Dato' Fauzi Abdul Rahman yang dikenali seluruh ahli2 UMNO Pahang. DAP Pahang pula dipimpin pemimpin veteran mereka, Leong Ngah Ngah yang bukan sahaja dihormati orang Cina malahan juga disukai oleh orang Melayu dan India seluruh Pahang

5.0 Kepimpinan Adnan Yaakob yang semakin dibenci rakyat Pahang menyebabkan beliau antara MB yang paling tidak popular.

Mudah kata, Pahang di persimpangan jalan untuk memberi PAS jawatan MB yang ketiga selepas Kedah dan Kelantan. Malahan, Pahang dilihat lebih berpotensi untuk menang berbanding Terengganu.

PERGINYA TUAN IBRAHIM SEKRANG BAKAL MENGHANCUR JENTERA PILIHANRAYA PAHANG

Sekiranya pergi Tuan Ibrahim ke Pusat, nescaya pasukan yang telah dibina oleh beliau selama lebih 10 tahun sebelum ini akan hancur.

Masanya sekarang tidak mencukupi untuk menggantikan Tuan Ibrahim dengan Pesuruhjaya yang baru.

Masa sekarang bukan masa pertukaran di Pahang tapi masa untuk menyerang dan bergerak.

Pendek kata, masa sekarang adalah masa yang paling tidak sesuai untuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertukar jawatan.

Hatta kalau Tuan Ibrahim tidak bertanding Timbalan pun, WAJIB bagi PAS Pusat melantik beliau semula sebagai Pesuruhjaya Pahang. Kalau tidak, PAS Pusat mensabotaj peluang PR Pahang untuk memerintah.

PAHANG NI NEGERI LUAS

Pengalaman TUlang Besi melawat Pejabat Perhubungan PAS PAhang menunjukkan ahli2 Perhubungan PAS Pahang boleh bersolat Jama dan Qasar setiap kali menghadziri mesyuarat perhubungan.

Malahan, Tulang Besi pernah melihat Nasruddin Tantawi bersolat Jama dan Qasar sewaktu beliau memimpin Pemuda PAS Pahang satu masa dahulu.

Bayangkan Pahang ini negeri yang bersempadan dengan Kelantan, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor. Ada pula Cameron Highland yang juga ada PAS Kawasan yang perlu dijaga oleh PAS Pahang.

Tidak mungkin seorang Pesuruhjaya PART TIME dapat mentadbir Pahang dengan baik.

GENG TERENGGANU MAHU SABOTAJ PAS DAN PAKATAN PAHANG?

Tindakan Geng Terengganu@Geng Perpaduang memaksa Tuan Ibrahim bertanding hanya akan melemahkan serta merosakkan peluang PAS Pahang merampas Pahang bersama Pakatan Pahang.

Mungkin Geng Terengganu sedar peluang mereka untuk memerintah lebih tipis berbanding dengan PAS Pahang. Jadi, mereka berusaha membawa Tuan Ibrahim ke Pusat, lantaran mereka juga berjaya merosakkan "Pasukan" PAS PAhang yang sekarang sedang rancak bergerak untuk menawan PAhang bersama-sama PR.

Bagi saya, perwakilan2 PAS Pahang wajib mengundi Abang Mat Sabu dan tidak Tuan Ibrahim kerana perginya Tuan Ibrahim ke Pusat hanya akan merosakkan peluang PAS Pahang untuk memerintah Pahang.

Wallahualam bissawab

Tulang Besi

#Pantherian- SOKONG KOMENTAR TULANG BESI !

MAT SABU FOR DEPUTY PRESIDENT PAS !!!!!!!!!!!

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews