INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL
Showing posts with label ETS. Show all posts
Showing posts with label ETS. Show all posts

Wednesday, November 11, 2015

Pengalaman wartawan menaiki ETS KTMB dari KL ke Padang Besar






oleh Suliati Asri

Cuti-Cuti Malaysia ‘Dekat Je’, slogan terbaru kempen pelancongan domestik Tourism Malaysia ternyata sangat kena dengan perjalanan penulis menaiki kereta api laju elektrik ETS dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis.
Mana tidaknya, perjalanan yang biasanya mengambil masa kira-kira lapan jam dari Kuala Lumpur ke sempadan Malaysia-Thailand itu jika menaiki bas ekspres, kini ‘dekat je’ menggunakan perkhidmatan kereta api laju ETS, iaitu hanya lima jam setengah.
Ditambah dengan perkhidmatan persis menaiki kapal terbang yang lengkap dengan kapten, pramugara dan pramugari, perjalanan ke destinasi pelancongan popular di Perlis itu cukup selesa.Tren ETS-CSR yang baru saja tiba dari China dinaiki penulis bersama rombongan media dan penggiat industri pelancongan yang menyertai Program Lawatan Suai Kenal Perlis ‘Dekat Je’ ternyata membuatkan kami teruja.
Mana tidaknya, rombongan kami menyertai penumpang pertama bagi tren ETS CSR yang mempunyai enam koc dengan kapasiti 312 tempat duduk itu.
Dengan kelajuan mencecah 140 kilometer sejam serta pelbagai perkhidmatan moden dan selesa yang disediakan di dalam koc, perjalanan jauh itu bagaikan tidak terasa.
Apatah lagi, gelak tawa dan gurau senda peserta yang mengikuti rombongan itu meriuhkan suasana.
Itulah antara pengalaman menarik dirasai penulis saat menaiki satu lagi perkhidmatan terbaru yang ditawarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB.
Perkhidmatan tren elektrik ETS atau ‘Electric Train System’ mula diperkenalkan pada 12 Ogos 2010 bagi laluan Kuala Lumpur - Ipoh.
Namun, bermula 10 Oktober lalu, perkhidmatan ETS ke Padang Besar merangkumi enam perkhidmatan pergi balik dari KL Sentral-Padang Besar- KL Sentral, Gemas-Padang Besar-Gemas dan Ipoh-Padang Besar-Ipoh.
Kini, ada dua jenis set tren itu, iaitu ETS- CSR dari China yang kami naiki dan ETS-ROTEM dari Korea Selatan yang terdiri daripada lima set tren dengan keupayaan enam koc dan 350 tempat duduk bagi setiap set.
Memulakan perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar pagi itu, kami yang teruja dengan pemandangan menarik yang dilihat dari tingkap koc bagaikan tidak senang duduk dibuatnya.
Selesai menikmati secawan coklat panas dan bihun goreng yang disediakan, kami memulakan penerokaan di setiap koc yang ada.
Bermula di koc F yang paling hadapan, kami terus ke belakang melihat tandas moden jenis vakum sehingga ke kafe yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.
Menariknya, selain dilengkapi kemudahan mesra orang kurang upaya, televisyen LED, CCTV dan rak bagasi, koc ETS-CSR turut mempunyai surau dan tempat berwuduk.
Selesai sesi menjelajah di setiap sudut, kami pulang ke tempat duduk masing-masing. Tangan mula sibuk merakam gambar di sepanjang laluan yang dilewati.
Perjalanan ke Padang Besar berhenti di beberapa stesen iaitu Tanjung Malim, Tapah, Kampar, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Parit Buntar, Bukit Mertajam, Butterworth, Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar, Arau dan Padang Besar.
Menjelang tiba ke bandar raya Ipoh, kami disajikan pemandangan batu kapur yang cukup mempesona terutama di sekitar Gopeng.
Pengurus Kanan Pemasaran KTM Intercity, Nordin Kimi memaklumkan, kami bakal melalui beberapa lokasi menarik yang menjadi tumpuan di sepanjang jalan seperti terowong berkembar kereta api terpanjang di Asia Tenggara sepanjang 3.3 kilometer.
Selain itu, kami juga melalui Tasik Bukit Merah, jambatan Victoria, kawasan sawah padi, jambatan pusing serta kampung nan permai.
Sebaik mendengar penerangannya, rata-rata peserta tidak senang duduk dibuatnya. Masing-masing mahu merakam keindahan pemandangan yang dinyakan.
Ketika mendekati terowong berkembar, jurugambar bersedia di bilik awalan untuk merakamkan suasana di dalamnya yang mengambil masa hanya dua minit untuk melepasinya.
Ia diikuti dengan Tasik Bukit Merah dan jambatan Victoria yang dibina ketika zaman penjajahan British. Sekali lagi, semua bersedia dengan kamera dan telefon bimbit untuk merakam pemandangan itu.
Dengan kelajuan ETS, agak sukar mendapatkan gambar yang sempurna, apatah lagi jika hanya menggunakan telefon bimbit. Pelbagai gaya dan kreativiti digunakan ada yang menjadi, ada yang tidak!
Melihat gambar dirakamkan, hilai tawa mula kedengaran. Bateri telefon bimbit pula mulai menjunam dek ‘kerajinan’ merakam gambar. Mujur ada soket disediakan untuk mengecas bateri.
Sesi perkenalan secara tidak rasmi, gurauan dan pelbagai topik yang diceritakan sepanjang perjalanan sesama peserta bagaikan tidak terasa apabila kami sampai di hentian Butterworth.

Di sini, kami berhenti agak lama iaitu lapan minit berbanding hentian lain kerana kapten perlu berjalan dari hadapan ke belakang untuk mengendalikan bilik kawalan yang satu lagi.
Maklumlah, kereta api tidak boleh membuat pusingan U. Jadi, kaptenlah yang perlu bertukar tempat duduk.

Memasuki Kedah yang terkenal dengan jolokan jelapang padi, pemandangan sawah padi yang dilihat cukup mempesona. Rumah kampung di tengah sawah mencetuskan pemandangan indah yang sukar ditemui di tempat lain.

Tepat jam 3 petang, kami tiba di stesen KTM Padang Besar.

Ternyata, dengan kelajuan maksimum 140km sejam, tempat duduk selesa serta perkhidmatan mesra penumpang, perjalanan lima jam setengah bagaikan ‘dekat je’ dengan ETS.
Tidak hairanlah apabila Nordin memaklumkan bahawa perkhidmatan kereta api laju mendapat sambutan hangat apabila setiap hari tiket habis dijual.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/90949#foto

Monday, July 13, 2015

Tren ETS KTMB beroperasi KL ke Padang Besar



 Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Padang Besar dan Padang Besar ke Kuala Lumpur yang bermula hari ini akan berhenti di 15 hentian.Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad dalam satu kenyataan 11 Julai 2015 berkata 15 hentian itu ialah KL Sentral, Tanjung Malim, Tapah Road, Kampar, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Parit Buntar, Bukit Mertajam, Butterworth, Bukit Mertajam,
Sungai Petani, Alor Star, Arau dan Padang Besar.

Kenyataan itu berkata harga tiket sehala dari Kuala Lumpur-Padang Besar atau Padang Besar-Kuala Lumpur ialah RM80.Tren dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, akan berlepas pada pukul 9.30 pagi dan tiba pada pukul 3 petang manakala dari Padang Besar ke Kuala Lumpur pada pukul 4 petang dan tiba pada 9.15 malam.

Bagi perkhidmatan tren ETS Transit Ipoh-Butterworth-Padang Besar dan sebaliknya yang telah bermula pada 10 Julai lepas akan berhenti di kesemua 24 stesen.Sepuluh stesen hentian baharu diperkenalkan iaitu Anak Bukit, Bukit Ketri, Bukit Tengah, Kamunting, Kobah, Kodiang, Padang Rengas, Simpang Ampat, Tasek dan Tasek Gelugor.

Tiket tren Ipoh ke Butterworth adalah RM23 manakala Butterworth ke Padang Besar adalah RM21.
Waktu laluan Ipoh-Butterworth adalah 5 pagi dan tiba 6.50 pagi, Butterworth-Padang Besar (7.30 pagi-9.15 pagi), Padang Besar-Butterworth (2 petang-3.45 petang) dan Butterworth-Ipoh (5 petang-6.50 petang).

Buat permulaan, KTM Berhad hanya menyediakan satu perkhidmatan tren untuk setiap arah bagi kedua-dua perkhidmatan ETS dan kekerapan tren akan ditambah apabila tren-tren ETS yang baharu mula beroperasi.

Para penumpang boleh mula membuat pembelian dan tempahan tiket bermula hari ini dan sebarang maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang www.ktmb.com.my atau menghubungi pusat panggilan di talian 1-300-88-5862.


LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews