INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Saturday, August 4, 2012

Memaknai Idealisma Pengistiharan Kemerdekaan.




Mari kita panjangkan renungan di sebalik kontroversi tema kemerdekaan yang diambil daripada slogan retorik Parti Pemerintah, kita persetankan lawak lagu rasminya "Janji Ditepati" yang dinukilkan Pak Menteri, di mana menurut penulis terkenal Buddhi Hekayat "bagai meletakkan pisau di leher rakyat!".

Pengistiharan kemerdekaan

Anak bangsa Malaysia perlu kembali mewacanakan secara serius semangat & idealisma Dokumen Pemasyuran Kemerdekaan. Apa yang disebut dalam Peristiharan Keramat tanggal 31 Ogos 1957. Dokumen yang diibaratkan sebagai "sijil lahir" kepada sebuah Negara yang merdeka.

"Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen."

Nah! Pemasyuran kemerdekaan meletakkan asas penting pembentukan negara, Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang meletakkan hak-hak serta kebebasan rakyat dan pemerintah yang dipandu undang-undang tertinggi iaitu Perlembagaan.

Hak Asasi & Kebebasan

Jika diimbau sepanjang pemerintahan Tun Mahahir ini merupakan perkataan tabu, dengan pemaksaan maksimum akta-akta drakonian yang menyekat kebebasan rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan beberapa akta lain serta juga Akta Peraturan Polis. Malah diburukkan lagi dengan campurtangan Eksekutif terhadap Legislatif & Kehakiman maka tidak hairan jika indeks demokrasi diukur paling rendah pada zamannya.

Filasuh John Locke, di dalam karya Agungnya "Two Treatises of Government" menggariskan asas-asas kebebasan, persamaan dan matlamat sebenar kerajaan. Teori Locke meletakkan asas baru pemerintahan dan pemerintahan tersebut adalah terbatas. Beliau juga menghalusi hak-hak asasi rakyat di dalam pemerintahan sebuah negara.

Maka inilah yang disebut dalam dokumen tertinggi undang-undang negara kita. Kuasa Pemerintah & hak rakyat dibataskan dengan perlembagaan dan untuk mengimbangi, diaplikasikan pula konsep pemisahan kuasa antara Eksekutif, Legislatif & Kehakiman . Ia untuk mengelak atau menghindari bahaya “kezaliman”, di mana dapat mewujud dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan imbang.

Demokrasi

Kita panjangkan perbincangan dalam konteks Demokrasi, tidak dapat dinafikan lagi rakyat Malaysia dewasa ini berada di persimpangan demokrasi. Apakah kita akan maju kepada tahap demokrasi yang matang, demokrasi yang tidak memiliki undang-undang yang menyekat hak kebebasan asasi, demokrasi yang akan merangsang kreativiti manusia atau mahu terus kekal sebagai demokrasi palsu?, demokrasi otokratik yang tidak menghargai akal manusia?

Amalan demokrasi yang matang haruslah menjamin kesemua yang disebut oleh Perlembagaan. Dari gemblengan partisipasi massa untuk menyertai demokrasi, Pengendali Demokrasi yang bebas campurtangan, gelanggang politik yang sama luas, akses bebas media sehinggalah perdebatan terbuka tentang idea sang Politikus. Bukan hanya faham sempit setiap lima tahun membuang undi.

Jiwa Merdeka.

Mari kita renung gagasan tokoh besar kemerdekaan, Dr. Burhanuddin Al Helmy lewat puisi patriotiknya:

Di atas runtuhan Kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka,
Bersatu-padulah seluruh baka,
membela hak keadilan pusaka.

Gagasan ini meletakkan perjuangan membangun "Jiwa Merdeka" sebagai agenda paling utama. Apakah kontra kepada jiwa merdeka? jiwa yang penakut, hilang daya juang, rendah diri, tiada wawasan, tiada mampu berfikir secara kritis dan seterusnya.

Mengisi kemerdekaan dengan agenda pembinaan Jiwa Merdeka adalah babak perjuangan yang cukup penting dan kritikal. Nilai-nilai Patriotisme serta Pencerahan tulen perlu diserap kepada setiap anak bangsa dalam pembinaan Jiwa Merdeka. Menghargai daya fikir, martabat dan maruah diri serta mewaspadai rempuhan unsur-unsur negatif yang melemahkan.

Apakah kita berdaya untuk memunculkan Jiwa Merdeka jika saban hari disuburkan dengan budaya politik kotor, fitnah-mengaibkan yang jika direnung sejarah Si Kitol padahya cukup parah, bisa memusnahkan maruah bangsa sendiri.

Pembangunan material sahaja tidak cukup, walhal di dalam jiwa masih lagi jauh untuk menghargai kemerdekaan, wahasilnya adalah wawasan palsu apabila sesuatu bangsa berbelanja besar membina pelbagai mercu tanda melangit yang tidak menandakan apa-apa di jiwa selain rasa rendah diri.

------------------------------------------------------------------------------------
Hasani Mohamed, seorang Jurutera & Aktivis AIC yang komited mahu
meletakkan Perubahan terhadap Negaranya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews