INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Monday, October 18, 2010

Projek Mega sebagai monumen Kemegahan dan perkayakan kroni


Monumen cinta Najib kepada Bik Mama (Menara Warisan)

Oleh Clara Chooi


KUALA LUMPUR, 18 Okt – Sambil mengkritik pentadbiran Najib juga sudah mula boros dengan projek-projek mega atas alasan mahu merancakkan ekonomi negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ia petanda awal empayar Barisan Nasional (BN) kini di ambang keruntuhan.

“Keghairahan kerajaan untuk menunjukkan elemen mega (dengan membina monumen) adalah petanda kejatuhan empayar mereka. Kami akan berdoa agar ia akan terjadi,” kata ketua pembangkang (gambar) ini di Dewan Rakyat ketika membahaskan ucapan Bajet 2011 hari ini.

“Tindakan terburu-buru untuk melaksanakan projek-projek mega, yang kononnya bagi menggambarkan kemegahan negara, kini diulangi oleh kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) semasa,” kata beliau.

“Di sini, saya hendak bertanya mengenai kebijaksanaan Permodalan Nasional Berhad menerima arahan daripada kerajaan untuk melibatkan diri dalam projek raksasa ini,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini.

Dalam Bajet 2011 yang diumumkan Jumaat lalu, Najib antara lain mengumumkan projek transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Lembah Klang yang akan dilaksanakan mulai tahun hadapan.

Projek itu dengan anggaran kos pelaburan swasta kira-kira RM40 bilion dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.

Sebuah lagi projek utama yang akan dilaksanakan adalah pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh seluas 2,680 ekar. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan pembangunan bercampur melibatkan kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana. Keseluruhan pembangunan ini, dianggarkan bernilai RM10 bilion dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.

Turut diumumkan ialah pembinaan projek bersepadu “Warisan Merdeka” dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.

Najib berkata, “di sudut yang lain, kita berasa sungguh berbangga, bahawa, ke mana sahaja kita pergi, semua orang mengetahui tentang Menara Berkembar Petronas yang menjadi ikon negara.”

“Ia merupakan satu monumen kepada semangat Malaysia Boleh. Hakikatnya, kekuatan negara adalah adunan dan bauran sejarah kelmarin dan harapan hari esok. Jadi, sebagai satu lagi mercu tanda kebanggaan negara menjelang 2020, Permodalan Nasional Berhad akan mula membangunkan projek bersepadu yang dinamakan Warisan Merdeka.

“Ia akan mengekalkan Stadium Merdeka, Stadium Negara dan pembinaan sebuah menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia. Keseluruhan projek ini bernilai RM5 bilion, di mana, menaranya dijangka akan siap pada tahun 2015,” kata Najib.

Anwar pula berhujah, pembinaan Menara Berkembar Petronas pada 1990-an dengan sendiri telah menelan kos RM6 bilion.

Kata Penasihat PKR ini ia tidak termasuk kos tanah sebanyak RM900 juta, taman KLCC RM200 juta dan Dewan Filharmonik Petronas yang menelan RM500 juta.

“Kos keseluruhan lebih RM10 bilion dan ini tidak termasuk kos penyelenggaraan RM250 juta setiap tahun.

“Adakah ini (yang dimaksudkan) kemegahan negara? (Juster) adakah kita memerlukan satu lagi menara 100 tingkat di Malaysia?” soal beliau.

Anwar memberitahu, sebanyak RM5 bilion yang dicadangkan untuk projek menara Warisan Merdeka boleh digunakan untuk membina 1,667 sekolah pada kos RM3 juta setiap satu.

“Tetapi tidak, yang itu tidak penting. Tetapi, apa yang penting ialah menunjukkan elemen mega,” kata beliau.

Anwar berkata, projek-projek di bawah Bajet 2011 tidak memberikan pertimbangan kepada kedudukan ekonomi semasa negara dan keperluan untuk mengurangkan defisit bajet selain memperbaiki daya saing.

“Ia satu projek untuk menunjukkan bagaimana hebatnya kita menerusi projek-projek besar,” kata beliau lagi.

Anwar menekankan bahawa di kalangan negara Asean hanya Malaysia merekodkan “aliran masuk negatif”.

Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia, menurut Anwar, telah merosot 81 peratus daripada RM23.47 bilion pada 2008 kepada RM4.43 bilion tahun lalu berbanding Thailand yang mencatatkan FDI RM19.01 bilion manakala Indonesia pula RM19.08 bilion.

“Ini adalah FDI paling rendah dalam 20 tahun kecuali pada 2001 di mana kita merekodkan FDI RM1.54 bilion,” katanya.

Malah, Anwar juga menekankan bahawa pengajaran-pengajaran daripada masa lalu khususnya ketika era Dr Mahathir telah menunjukkan bahawa dasar projek mega negara sebenarnya tidak berjaya.

Beliau juga mempertikaikan cadangan kerajaan untuk melaksanakan projek MRT RM40 bilion di ibu negara dengan menekankan sama ada ia akan mengalami nasib projek LRT Star-Putra yang mengalami kerugian hampir RM6 bilion.

“Pada 1999, kerajaan telah dipaksa menyuntik RM600 juta kepada Star menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kerajaan juga membenarkan Star dan Putra untuk meneruskan operasi meskipun berhadapan masalah salah pengurusan.

“Pada 2001, kerajaan mengesahkan ia akan mengambil alih Putra dan Star dengan menerbitkan bon bernilai RM8 bilion.

“Sejak Mac lalu, kedua-dua syarikat mengalami kerugian RM5.5 bilion,” kata Anwar.

Sebalik perkembangan itu, Anwar berkata, kerajaan memberikan lampu hijau untuk melaksanakan projek MRT kepada Gamuda-MMC untuk menguruskannya tanpa melalui proses tender terbuka.

“Kebimbangan kami ialah sama ada projek MRT akan berakhir dengan lebih banyak ketirisan dan amalan korup seperti sebelum ini dan hanya akan memberikan manfaat kepada kroni-kroni dan kerugian besar kepada rakyat,” kata beliau.

Tangani Hutang Negara

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan membentangkan secara terperinci kaedah bagi menangani masalah hutang negara dalam masa lima tahun akan datang.

Menurutnya, perkara tersebut penting supaya defisit dapat dikurangkan, memberi fokus memotong perbelanjaan bagi mengurangkan pembaziran dan ketirisan yang berleluasa.

“Dengan perbelanjaan sebanayak RM211 bilion dalam Belanjawan 2011, defisit yang ditanggung negara masih berada pada paras 5.6 peratus buat tahun ke-13 walaupun defisit ini menurun berbanding tahun 2009.

“Hasil kerajaan sebanayak RM162 bilion masih bergantung 36 peratus daripada hasil minyak Petronas namun hutang isi rumah masih berada pada kadar tertinggi di Rantau Asia dengan mencecah 77 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 2009,” katanya.



No comments:

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews