INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL
Showing posts with label Raja. Show all posts
Showing posts with label Raja. Show all posts

Monday, January 23, 2012

Panas ! Ibrahim Ali menghina keputusan Sultan Selangor





Tindakan Ibrahim Ali yang cuba menunjuk pandai dengan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Selangor dalam isu pelantikan Exco Kerajaan negeri yang baharu dan rombakan portfolio Hal Ehwal Islam jelas menunjukkan beliau seorang ahli politik yang kehabisan modal dan sedang mencuba sedaya upaya untuk menjadikan dirinya masih relevan di arena politik tanahair. Percubaan beliau melaga-lagakan PAS dan Kerajaan Selangor juga agak pelik apabila melihat sejarah beliau sendiri dengan PAS.

Siapa yang dapat melupakan bagaimana beliau mengkhianati PAS umpama parasit setelah parti itu memberi beliau tiket bertanding pada 2008. Hari ini beliau terhegeh-hegeh pula dengan UMNO sedangkan parti yang bakal tumbang ini pun melihatnya sebagai liabiliti dan tidak mempunyai sebarang kredibiliti.

Kita tidak mempersoal tindakan Ibrahim Ali yang kini begitu akrab dan bersekongkol dengan mantan Exco Agama Dato' Dr Hasan bin Ali. Namun keceluparan Ibrahim mempertikaikan kedudukan YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Exco Hal Ehwal Islam merupakan satu penghinaan kepada DYMM Sultan Selangor yang sesungguhnya adalah Ketua Agama Islam di Selangor. Keputusan Tan Sri Khalid memegang portfolio ini adalah setelah berbincang dan mendapat perkenan baginda Sultan kerana pentadbiran di Selangor mengamalkan amalan konsultasi berterusan dengan pihak istana dalam banyak hal apatah lagi dalam soal hal ehwal Islam.

Tuduhan Ibrahim Ali bahawa pelantikan Tan Sri Khalid sebagai Exco Hal Ehwal Islam hanya akan menyemarakkan rumah maksiat di Selangor amat keterlaluan. Kita ingatkan Ibrahim Ali bahawa keutuhan dan kesucian agama Islam di Selangor, pengawalan kegiatan tidak bermoral, termasuk perjudian dan rumah-rumah maksiat adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang kedua-duanya dalam pemerhatian rapat Baginda Tuanku.

Menuduh bahawa Tan Sri Khalid akan merelakan kegiatan tidak bermoral atas perkiraan politik seolah-olah mempersenda kedua-dua institusi agama tersebut termasuk baginda Sultan. Pada perkiraan Ibrahim semua ahli politik akan menggadai maruah demi undi sebagaimana dirinya yang sanggup mengkhianati PAS walaupun parti tersebut mengutipnya setelah dicampak oleh Umno.

Selaku umat Islam seharusnya Ibrahim Ali mendoakan setiap pemimpin berkhidmat dengan ikhlas, mentaati hukum dan menggalas jawatan sebagai amanah Allah agar negeri menjadi aman sejahtera dan diampuni Allah swt. Sebaliknya, beliau sanggup menuduh bahawa Selangor akan menjadi negeri peliwat. Ungkapan yang menggambarkan betapa kotornya pemikiran politikus tua ini. Bercakap tanpa iman; penuh dendam dan nafsu serakah. Ini merupakan penghinaan kepada seluruh rakyat Selangor yang seharusnya Ibrahim Ali dihalang dari menjejakkan kakinya di negeri berdaulat ini.

YAB Dato' Menteri Besar amat memandang serius tohmahan jahat ini dan akan membincangkan isu ini dengan semua agensi terbabit dan Kamar Penasihat Undang-undang Negeri termasuk juga pihak Istana. Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap Ibrahim Ali kerana keceluparan melampau beliau semata-mata mendapatkan publisiti murahan.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Sunday, December 4, 2011

Panas ! Pemimpin UMNO marah dan mahu saman putera raja Melayu Negeri Sembilan


Tunku 'Abidin mohon maaf

KUALA LUMPUR 2 Dis. 2011 - Akhbar The Star diberi masa tiga hari untuk memohon maaf ekoran tindakan seorang kolumnisnya, Presiden Ideas, Tunku 'Abidin Muhriz yang mengumpamakan pemimpin UMNO seperti lintah. Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jika gagal berbuat demikian pihak terbabit perlu bersedia menghadapi saman malu daripada UMNO.

"Saya sudah membawa perkara ini kepada peguam untuk dibuat penelitian. Ini adalah suatu fitnah dan tohmahan yang sepatutnya tidak dilakukan. "Mana boleh dia (kolumnis) mengatakan kita (pemimpin UMNO) macam lintah, itu adalah salah," katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. Beliau diminta mengulas tindakan penyumbang ruangan pendapat mingguan The Star itu yang mengumpamakan para pemimpin UMNO seperti lintah.

Dalam pada itu, ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, perumpamaan yang diberikan penulis tersebut sangat tidak wajar. "Proses untuk menjadi pemimpin di dalam UMNO bukanlah urusan mudah kerana perlu melalui banyak tapisan. Ia melibatkan pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya menjadi wakil rakyat dalam pilihan raya," katanya.

Seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Mustapa Mohamed menasihatkan penulis itu agar melihat kembali perjuangan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO untuk kemerdekaan negara. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, dalam UMNO tiada unsur kronisme bukan seperti pembangkang.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pula musykil dengan tindakan The Star yang menerbitkan artikel tersebut ketika Perhimpunan Agung UMNO sedang berlangsung. "Saya bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak, cuma yang menghairankan mengapa The Star membiarkan berita yang boleh menimbulkan kemusykilan kepada pembaca dikeluarkan," katanya.

Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor pula berpendapat, kenyataan tersebut tidak melambangkan kemuliaan institusi yang diwakilinya disebabkan perkataan yang tidak beradab sehingga merendahkan martabat pemimpin UMNO.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, artikel-artikel seumpama itu sememangnya kerap diterbitkan oleh The Star. "Saya tidak hairan dengan kenyataan itu kerana mereka (The Star) sering menggunakan kolumnis yang berfikiran liberal untuk meranap agenda Melayu. Tulisan itu lebih kepada retorik, menggunakan cara halus untuk merendah-rendahkan kepimpinan kerajaan secara melulu," katanya.

Sementara itu, menurut laman web The Star, Tunku 'Abidin malam ini meminta maaf secara terbuka berhubung artikelnya mengenai lintah di PWTC yang mencetus suasana kurang senang di kalangan pemimpin UMNO. Menurutnya, artikel itu telah dijelaskan secara analogi kepada 'beberapa individu' tetapi malangnya terdapat pihak yang menganggap komen itu ditujukan kepada semua perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO itu.

"Saya ingin memohon maaf di atas salah faham terhadap artikel saya mengenai lintah-lintah di PWTC minggu ini. "Sesiapa yang pernah membaca artikel saya dalam tempoh tiga tahun ini akan tahu bahawa saya sangat kagum dan amat menghormati pemimpin UMNO," katanya. 


Sumber Utusan Meloya.

@Pantherian - Siapa kata UMNO hormat pada julang pada Raja Melayu? Kini UMNO menunjukkan siapa mereka sebenarnya seperti pada tahun 1993 mahu saman Putera Raja Melayu dari Negeri Sembilan, Tunku Zain Abidin Muhriz ekoran kritikan ke atas UMNO dalam artikelnya di The Star.

Pemimpin PR juga kerap menerima teguran dan kritikan dari Raja terutama Sultan Selangor tetapi tidak pula mereka mahu menyaman Raja.UMNO ternyata berani dengan pihak raja dan menunjukkan mereka lebih berkuasa.

Selain itu, tokoh akademik seperti Prof Dr Aziz Bari juga banyak memberi kritikan mengenai beberapa tindakan Raja yang tidak mengikut  perlembagaan tetapi tidak pula menggesa rakyat menyaman Raja.


Lebih lucu, terdapat juga komentar dari pemimpin katak seperti Zahrain, Ezam dan Ibrahim Ali yang mempertahankan UMNO lebih daripada pemimpin kanan UMNO.

UMNO angkat martabat Raja Melayu? Putera Raja Melayu pun UMNO nak saman ...




 

Sunday, October 16, 2011

Prof Aziz Bari gesa Ezam,Zul Nordin dan Hamidzun baca buku perlembagaan





Prof. Aziz - “orang-orang seperti Senator Ezam (Mohd Nor), (Pengerusi Pengerusi Gerakan Anti-Penyelewengan Selangor) Hamidzun Kamarudin dan (Ahli Parlimen) Datuk Zulkifli Noordin elok duduk dan baca buku.”
Aziz Bari: Saya tak nafi kuasa Sultan, kaji saman media pesong kenyataan


Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata beliau sedang mengkaji dengan serius untuk menyaman Utusan Malaysia dan media lain yang menurut beliau telah memutar belit kenyataannya tentang titah Sultan Selangor mengenai isu Gereja Methodist Damansara Utama.

Kata pakar perlembagaan ini, pihak-pihak terbabit sepatutnya mengulas dan menganalisis pendapat beliau, bukannya menuduh “derhaka” dan meminta pengurusan Universiti Islam Antabangsa (UIA) mengambil tindakan ke atasnya.

“Saya tidak pernah menafikan kuasa Sultan sebagai ketua agama; malah saya akui kuasa itu. Saya hanya komen bagaimana kuasa itu digunakan,” kata pensyarah UIA ini dalam satu kenyataan hari ini.

Aziz berkata di bawah undang-undang Malaysia tidak ada konsep derhaka atau kurang ajar.

“Hanya Thailand yang mempunyai undang-undang ‘lese majeste’ yakni undang-undang yang menghukum mereka yang menghina raja,” katanya.

“Tuduhan derhaka dan kurang ajar itu mahu memprovokasi masyarakat supaya membenci saya. Mereka juga putar belit kenyataan saya kononnya saya enggan minta maaf,” kata beliau lagi.

“Apa salah saya? Dengan siapa saya hendak mohon maaf? Saya hanya beri komen tentang satu perkara yang dalam bidang kajian dan pengetahuan saya,” kata beliau sambil menambah, “menuduh saya derhaka tentunya tidak logik kerana saya telah banyak menulis mengenai raja berperlembagaan di Malaysia.”

“Tesis PhD saya berjudul The Development and Role of Constitutional Monarchy yang dikemukakan kepada Universiti Birmingham, England menghurai pelbagai kuasa raja termasuk dalam aspek agama.

“Saya kemudian menerbitkan buku bertajuk Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan Di Sisi Perlembagaan pada 2002 yang dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Saya juga menulis satu-satunya huraian mengenai kuasa agama raja-raja dalam buku saya Islam dalam Perlembagaan Malaysia (2005),” katanya lagi.

Oleh itu soal beliau, “logikkah saya, dengan tulisan yang begitu banyak, hendak derhaka dan biadab kepada raja-raja?”

Sambil menegaskan beliau telah memulakan kajian ini sejak 1991, Aziz menambah, “orang-orang seperti Senator Ezam (Mohd Nor), (Pengerusi Pengerusi Gerakan Anti-Penyelewengan Selangor) Hamidzun Kamarudin dan (Ahli Parlimen) Datuk Zulkifli Noordin elok duduk dan baca buku.”

“Jangan mengarut dan menyesatkan orang lain,” katanya lagi.

Aziz juga berkata beliau difahamkan sebuah stesen webTV hendak menganjurkan debat antara saya dengan Zulkifli dan beliau bersedia bila-bila masa.

“Saya harap Zul jangan lari dan jangan hanya berani dalam Parlimen sahaja. Dia cabar saya supaya berhenti UIA dan masuk politik.

“Saya tak minat politik. Saya hanya mahu berkongsi dengan masyarakat apa yang saya kaji selama ini,” katanya.

Baru-baru inini, Ezam menggesa agar portal berita MalaysiaKini dan Aziz disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 atas alasan mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama.

“Aziz Bari telah berlaku biadap dan derhaka kepada Institusi Raja Melayu dengan menghasut orang ramai untuk membenci institusi Raja-raja Melayu.

“Kenyataan Aziz ini dikeluarkan oleh laman portal MalaysiaKini,” kata Ezam selepas membuat laporan polis di Shah Alam.

Katanya, Aziz dan MalaysiaKini menunjukkan sikap biadap, kurang ajar, dan melampaui batas yang dipercayainya perbuatan terancang dan mempunyai agenda jahat disebaliknya.

Aziz dipetik berkata tindakan Sultan Selangor untuk campurtangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja itu bukan sesuatu tindakan yang biasa terjadi.

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ini perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

@Pantherian - Pernah menghadiri kursus perlembagaan bersama Prof Aziz Bari anjuran IDEAS 2 tahun lepas di ILKAP,Bangi. Sepanjang berkursus, Prof  Aziz Bari dikenali sebagai seorang yang cukup tegas dalam mempertahankan hak Raja dan keistimewaan Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara. Banyak persoalan berkaitan peranan Raja dipertahan baik oleh beliau sepanjang kursus tersebut.

Oleh itu, kritikan oleh pemimpin UMNO dan KATAK dalam Parlimen disanggah oleh Prof Aziz yang sememangnya PAKAR PERLEMBAGAAN Malaysia, menyuruh mereka membaca kembali buku tulisan beliau dan Perlembagaan Negara.

"Pelik Malaysia, orang yang menulis TESIS berkaitan Perlembagaan dan Raja dikritik oleh orang yang malas membaca dan menulis "

Saturday, October 15, 2011

Sultan Kedah diistihar sebagai YDP Agong

Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya hari ini bersetuju mengisytihar Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.
  
Sementara Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan hari ini
  
- sumber Bernama.

Sultan yang menjadi Agong ke-2 kali dalam sejarah Malaysia.

Daulat Tuanku... 


Semoga Kedah dan Malaysia Sejahtera dan menjadi negeri yang berkebajikan di bawah pemerintahan Tuanku.
---------------------------
Sedikit berkenaan tentang Sultan kedah ialah:

1) Mencemar duli menziarah makam As-syahid ustz Ibrahim Libya dan sahabatnya ketika umno kata mereka sesat.

2) Menganugerahkan gelaran Datuk pada ustz Fadzil Noor walaupun tiada jawatan dalam kerajaan

3) Terbang menziarahi kematian Datuk Fadzil dari kedah ke kuala lumpur dan hingga dikebumikan

4) Tidak melayan tuntutan umno ketika berhimpun di Istana Anak Bukit.

5) Pernah menjadi Agong ketika Tun Razak...kini Najib Razak..


@Pantherian : DAULAT TUANKU ! 

Sunday, May 22, 2011

Raja Noor Jan Shah sebagai Sultan Melaka dan Perak yang sah?




KUALA LUMPUR 20 Mei – Raja Noor Jan Shah Raja Tuah mempertahankan kedudukannya sebagai pewaris kesultanan Melaka dan Perak yang datang daripada keturunan Raja Alang Abdul Rahman sekali gus menolak kenyataan Persatuan Waris Kerabat Negeri Perak (PWKNP) semalam bahawa Sultan Abdullah Muhammad I tidak mempunyai anak bernama Raja Alang Abdul Rahman.

Raja Noor Jan Shah berkata, dalam buku Tempat-Tempat Bersejarah Perak yang ditulis oleh N.A. Halim dan diterbitkan oleh Jabatan Muzium pada 1981, Sultan Abdullah Muhammad I merupakan Sultan Perak ke-22 yang dilantik pada 1851.

Beliau berkata, dalam muka surat 55 buku itu ada dicatatkan bahawa Sultan Abdullah Muhammad I beristerikan Raja Sharifah Ngah Aminah Raja Alang Rawin dan mempunyai anakanda Raja Loh Yusof (Sultan Yusof Shariffuddin Muzzafar Shah), Raja Sulaiman (mangkat di Ligor), Raja Pandak Abdul Rahman dan Raja Pandak Budak Rasul.

"Bagaimanapun terdapat kesilapan fakta pada buku itu kerana Raja Pandak Abdul Rahman sepatutnya ialah Raja Alang Abdul Rahman kerana dalam panggilan keluarga di Perak, anak ketiga adalah Alang dan tidak mungkin dalam satu keluarga ada dua orang yang bergelar Pandak,” kata Raja Noor Jan Shah.

Raja Noor Jan Shah berkata, tujuan beliau menyatakan perkara itu bukanlah untuk menegakkan benang basah tetapi semata-mata untuk menyatakan fakta seperti yang tercatat dalam salasilah Kesultanan Perak.

Semalam PWKNP meminta Raja Noor Jan Shah menghentikan dakwaan kononnya beliau merupakan pewaris kesultanan Melaka dan Perak.

Yang Dipertua PWKNP Raja Rozlan Raja Yaacob berkata bahawa dakwaan Raja Noor Jan Shah tidak benar sama sekali kerana buku-buku sejarah termasuk yang ditulis pada zaman penjajahan British menunjukkan Raja Abdullah Muhammad I tidak mempunyai anak bernama Raja Alang Abdul Rahman dan tidak wujud dalam salasilah Kesultanan Perak.

Pada 13 November 2005, Raja Noor Jan Shah mengaku dirinya sebagai waris Sultan Perak ke-22 melalui anakanda baginda Raja Alang Abdul Rahman. - Bernama



IPOH: Dakwaan ahli perniagaan, Raja Noor Jan Shah Raja Tuah bahawa beliau pewaris takhta ke-35 Sultan Perak bukan saja tidak berasas, malah disifatkan Persatuan Waris dan Kerabat Negeri Perak (PWKNP) sebagai sesuatu yang mengarut dan tidak waras.

Hari ini, PWKNP tampil mendedahkan hasil kajian dan siasatan berdasarkan maklumat salasilah Kesultanan Perak, catatan sejarah termasuk buku "A History of Perak" yang ditulis R O Winstedt dan R J Wilkinson pada 1934 dan temubual dengan keluarga terdekat Noor Jan sendiri, mengesahkan individu yang turut mendakwa dirinya Sultan Melaka ke-44 pada 2006 itu, bukan berdarah raja, jauh sekali mempunyai salasilah Raja Perak.
Yang Dipertua PWKNP, Raja Rozlan Raja Yaacob berkata, dua daripada empat nama didakwa anak kepada Sultan Perak Ke-22, Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah I, sebenarnya tidak wujud seperti didakwa Noor Jan.
Katanya, satu daripada dua nama yang tidak wujud adalah Raja Alang Abdul Rahman yang kononnya moyang kepada ahli perniagaan itu.

"Tindakan ini (mendakwa sebagai pewaris ke-35 takhta Sultan Perak iaitu selepas Sultan Azlan Shah) memalukan waris (kerabat) Perak.

"Kami minta Noor Jan hentikan daripada membuat dakwaan mengarut itu kerana dakwaan itu langsung tiada asas dan dia sebenarnya bukan berdarah raja.

"Kami tidak teragak-agak membuat laporan polis sekiranya dia (Noor Jan) terus cuba mencemarkan nama baik kerabat diraja Perak atau menghina institusi sah kesultanan yang ada kini," katanya sidang media di sebuah hotel di sini, semalam.
Sidang akhbar itu turut dihadiri Setiausaha Kehormat PWKNP, Raja Omar Ikram Raja Abdullah Omar.

Noor Jan sebelum ini mengejutkan ramai pihak apabila melakukan istiadat Penganugerahan Watikah Gelar Adat Kesultanan Melaka Ke-44 di Dewan Pusat Komuniti Taman Melati, Gombak, pada 2006.

Melalui istiadat itu, dia mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka yang ke-44 dengan membawa gelaran Sultan Ahmad Shah.

Dia mendakwa Sultan Mahmud mempunyai putera bernama Sultan Muzzaffar Shah I yang memerintah negeri Perak (1528-1549) sehingga kepada Sultan Perak Ke-22, Sultan Abdullah Muhammad Shah I Marhum Durian Sebatang (1851-1857) dan dari keturunan inilah munculnya Sultan Ahmad Shah Ke-44 yang bakal menjadi Sultan Melaka itu.

Raja Rozlan berkata, selain maklumat dikumpul oleh Biro Nasab yang turut melawat makam raja-raja, pertemuan pihaknya dengan bapa saudara dan sepupu Noor Jan yang tinggal di Daerah Perak Tengah juga tidak menyokong dakwaan itu kerana mereka sendiri mengakui bukan berdarah raja.

Sementara itu, Raja Omar Ikram, berkata sehingga kini tiada seorangpun kerabat di negeri itu mengenali Noor Jan sebaliknya individu itu hanya orang kebanyakan berasal dari Kampung Teluk Perang, Parit.

Beliau yang turut mendakwa satu stesen televisyen baru-baru ini turut menyiarkan lagi dakwaan Noor Jan sebagai waris Kesultanan Melaka dan mendakwa sebagai bakal Sultan Perak Ke-35, mahu ahli perniagaan berhenti daripada terus mengelirukan orang ramai dengan fakta yang tidak benar itu.

Sambil menegaskan Kesultanan Perak mempunyai sistemnya tersendiri bagi membolehkan seseorang pewaris ditabalkan sebagai Sultan seperti Raja Muda, Raja Dihilir dan diikuti raja-raja bergelar, beliau berharap penjelasan pihaknya dapat dijadikan panduan supaya mana-mana pihak yang menerima tuntutan Noor Jan tidak terpedaya dengan dakwaan itu.Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Saturday, January 8, 2011

Raja perlu ikut semangat Raja Berpelembagaan

Lim Hong Siang | Jan 07, 2011 04:36:29 pm

Perbincangan tentang institusi Raja Melayu dalam alaf ke-21 perlu mengambil kira faktor sejarahnya. Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan - Yang Di-Pertuan Agung sebagai Ketua Negara, sementara kuasa raja tertakluk kepada perlembagaan. Raja yang berkecuali dari politik kepartian, dijadikan lambang tertinggi dalam sesebuah negara.

Di Malaysia, institusi Raja sering diheret ke gelanggang pergelutan politik kepartian. Bukan itu sahaja, pada ketika kuasa hampir dimonopoli sepenuhnya kerajaan UMNO-Barisan Nasional, pembangkang dan masyarakat sivil yang kebuntuan menjadikan istana sebagai pangkalan untuk menyekat kuasa regim BN. Misalnya, perhimpunan dan perarakan untuk menuntut pilihan raya yang adil dan BERSIH pada tahun 2007.

Strategi ini semestinya mengundang risiko. Bukan tugas yang enteng untuk meletakkan garisan pada batas "sistem Raja berperlembagaan", terutamanya dalam konteks masyarakat yang sarat dengan pelbagai akta untuk digunakan terhadap mereka yang berbicara mengenai kuasa institusi Raja. Pengaruh institusi Raja semakin terserlah, antaranya ketika rampasan kuasa kerajaan negeri Perak, sebelum kemelut perlantikan Setiausaha Negeri Selangor, baru-baru ini.

Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim berulang kali menegaskan "semangat prinsip Raja Berperlembagaan", dalam wawancara bersama MerdekaReview di ibu pejabat PKR, semalam. Ahli politik yang cuba menampilkan diri sebagai pemimpin negara masa depan ini menghadapi desakan golongan pendukung politik baru yang progresif, di samping perlu berhati-hati dengan sentimen "kemelayuan" yang tidak boleh diperlekehkan.

Antara Rakyat dengan Raja

"Dia harus ditangani dengan hikmah. Mempertahankan hak rakyat dan juga memuliakan institusi raja," jawab Anwar dengan cermat, menjelaskan bagaimana convention perlantikan SUK selama ini menyaksikan hak rakyat diputuskan seperti mana yang diusulkan Menteri Besar, dan kemudian nama itu mohon perkenan Raja.

Beliau menyambung, "Dalam kes ini, usul Menteri Besar tidak berlaku. Maka kita sukar menerima. Di mana ada kuasa rakyat di sini? Apa erti pilihan raya? Apakah ini bermakna kita mengetepikan perkenan Raja? Tak benar. Tetapi bagaimana perlantikan dibuat tanpa usul daripada rakyat? Itu prosedur dia."

Bagaimanapun, upacara angkat sumpah SUK baru, Khusrin Munawi, calon yang tidak direstui kerajaan negeri Selangor telah berlangsung di Istana Bukit Kayangan, sebelum wawancara ini dijalankan. Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang menegaskan bahawa "kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri" pada 3 Januari, akhirnya akur, walaupun mendakwa "hadir tidak bermakna rela" kemudiannya.

Anwar menjelaskan bahawa perbincangan dalam PR, bersama Lim Kit Siang (DAP) dan Hadi Awang (PAS) mencapai muafakat - menyerah kepada EXCO kerajaan Selangor untuk menyelesaikan kemelut ini.

Kehadiran halalkan perlantikan

Anwar: Kerana upacara itu bukan upacara angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri sahaja. Upacara itu upacara yang melibatkan banyak program lain. Keengganan kerajaan negeri hadir akan menimbulkan tafsiran yang berbeda. Bukan soal Setiausaha Kerajaan Negeri. Soal Setiausaha Kerajaan Negeri kita tegas. Tetapi nampaknya usul angkat sumpah itu dimasukkan sebagai salah satu upacara itu.

MR: Tetapi sebelum ini, MB dengan jelas mengatakan bahawa beliau tidak akan menghadiri upacara itu...

Anwar: Tetapi upacara itu disekalikan dengan beberapa upacara yang lain!

MR: Tetapi, kehadiran ini memberi laluan kepada Khusrin untuk menjadi SUK yang halal.

Anwar: Itu saya tidak... (mahu mendalami) macam mana implikasi dari segi undang-undang, tetapi kalau Setiausaha Kerajaan Negeri yang tidak diterima oleh kerajaan negeri, juga tidak mudah (untuk Khusrin).

PR berganjak langkah?

Bagaimanapun, kesudahan isu perlantikan SUK semalam mungkin mengundang persepsi di kalangan sesetengah pengamat politik, bahawa PR telah berganjak langkah.

"Pendirian kita jelas. Kita tidak setuju dengan cara mengetepikan suara rakyat. Itu prinsip dia. Tetapi kita tidak mahu langkah kita itu memberikan tafsiran berbeda, terutama kerana upacara istana itu tidak hanya angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri. Kenyataan MB itu merujuk kepada upacara angkat sumpah. Tetapi upacara angkat sumpah itu disekalikan dengan upacara yang melibatkan institusi Raja yang lain, jadi itu menyukarkan kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri, dan saya faham bahawa ia menimbulkan juga sedikit kerumitan tambahan kepada kita. Tapi saya yakin kerana kerajaan negeri masih punya suara yang besar," jelas Anwar.

Beliau kemudian menuding jari kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, "Ini peranan Dato Seri Najib yang cuba nak merampas Selangor setelah setahun, dua tahun ini gagal. Ini helah tambahan. Ini kita tahu. Ini usaha, helah UMNO untuk rampas secara haram. Jadi, oleh yang demikian, kita akan mempertahankan (kerajaan negeri Selangor)."

Apabila keputusan MB semalam dipertikaikan sebagai memberi ruang kepada UMNO-BN untuk menggunakan institusi Raja untuk menekan PR sebaliknya, Anwar berkata, "Itu bukan bagi ruang, itu perlembagaan. Kita nak pilih. Kalau saudara buat andaian begini, makna seolah-olah kita memilih untuk menolak institusi Raja-Raja. Ini perangkap yang dimainkan oleh mereka."

"Ada orang yang bersuara kita harus tegas. Tegas, betul. Tetapi tegas sehingga menyebabkan kita dilihat sebagai menentang institusi Raja juga tidak sihat. Sebab pendirian kita pertahankan institusi ini. Jadi, jangan kita terperangkap. Oleh kerana kita nak keras, keras itu menyebabkan kita terperangkap, kerana suara rakyat sekarang masih mahu pertahankan semangat perlembagaan itu. Tapi, semangat perlembagaan itu tidak bermakna kesediaan kita menerima kenyataan bahawa institusi Raja diheret oleh mana-mana pihak," tekan Anwar.

Tentang kenyataan Suhaimi...

Sama ada perlantikan SUK Selangor ini konspirasi UMNO-BN untuk merampas kuasa, ia terserah kepada masa untuk menjawabnya. Namun, apa yang pasti, ia membuka gelanggang pertarungan politik, dan akhirnya ADUN Sri Muda-PKR, Suhaimi Shafiei menjadi sasaran baru, atas tuduhan "menghina Sultan".

Utusan Malaysia pada 6 Januari 2011, memberi liputan penuh pada muka surat ketujuh, untuk mengecam kenyataan Suhaimi (gambar kanan), di samping menyiarkan tulisan asal blognya. Antara kenyataan Suhaimi berbunyi, "baginda DYMM Sultan Selangor selaku Raja Berperlembagaan hendaklah mendapat nasihat dan bertindak mengikut nasihat MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan) dalam menjalankan fungsi baginda seperti yang dinyatakan dalam peruntukan fasal 55(1) dan (1A), Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959."

Meskipun tidak bersetuju sepenuhnya kenyataan Suhaimi, tetapi Anwar mempertahankan kenyataan Suhaimi pada bahagian di mana Sultan perlu mendapat nasihat daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ditafsirkannya sebagai "maksud Raja Berperlembagaan".

Beliau mempersoalkan, sejak bila Utusan Malaysia tidak menyerang PKR/PR? "Cuba baca Utusan masa dia menyokong pinda perlembagaan. Cuba baca Utusan masa dia menyerang Raja, itu jauh lebih parah daripada kenyataan Suhaimi. Jadi, kalau Utusan mahu ambil tindakan kepada Suhaimi, Utusan juga harus diambil tindakan, dan juga semua ucapan Presiden UMNO dulu...patut diambil tindakan."

Cubaan PR menarik sokongan Institusi Raja

Walaupun demikian, sesetengah pengamat politik mungkin menganggap PR juga pernah menunjukkan kecenderungan untuk menarik sokongan institusi Raja, khususnya sekitar rancangan rampasan kuasa pada 16 September 2008. Ia mungkin bertujuan untuk mengimbangi kuasa UMNO-BN, namun ia sering berakhir dengan kesudahan yang memihak kepada UMNO.

"Kita pertahankan prinsip perlembagaan, iaitu kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja. Ada juga usaha UMNO untuk mengheret institusi Raja, mendukung mereka dengan menanam rasa cemas atau takut, seolah-olah Pakatan Rakyat, terutama dengan adanya DAP, sebagai tidak menghormati Raja atau akan mengingkari kuasa Raja. Ini sebab kita nak pertahankan (institusi Raja)," Anwar menafikan andaian yang dilontarkan di atas.

"Yang kita pertahankan prinsip itu sahaja. Tidak lebih dari itu. Kita tidak mahu pulihkan kerajaan di mana Raja-Raja berkuasa, kerana itu sudah meninggalkan semangat prinsip perlembagaan dan raja berperlembagaan. Kalau dia katakan Raja yang melantik (dalam isu SUK), mana ada prinsip raja berperlembagaan di situ?"

Wartawan MerdekaReview membangkitkan ucapan dasar Presiden dalam Kongres PKR pada November 2008, yang menyebut kesediaan PKR untuk "mengembalikan kekebalan Raja-Raja".

Anwar bagaimanapun mendakwa bahawa "istilah itu mungkin dipertikai", sebelum menekankan, "Kalau kita pilih untuk mempertahankan institusi Raja berperlembagaan, institusi Raja itu mesti dimuliakan. Kalau tidak institusi itu tidak ada kesan. Tetapi ia tidak bermakna kuasa itu berbalik kepada Raja. Ini tahun 2010, ia tidak masuk akal untuk rakyat dipinggirkan."

Ketika dibangkitkan rancangan 16 September yang diuar-uarkannya itu turut menyebut langkah "mengadap Yang Di-Pertuan Agong", Anwar tetap mempertahankan bahawa perlembagaan menuntut prosedur mendapat perkenan Agong untuk menubuh kerajaan baru.

Beliau tidak melihat bahawa langkah ini bertentangan dengan politik baru yang didukung Pakatan Rakyat, "Politik baru tidak pernah mengatakan tidak mahu perkenan Raja."

Namun apabila wartawan membangkitkan situasi di mana Akta Hasutan 1948, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) digesa untuk digunakan, setiap kali apabila isu institusi Raja disentuh, Anwar berkata, "Yang itu kita tidak pernah setuju. Itu Utusan punya politik. (Politik) Lama. Kami kata orang nak bagi pandangan, teguran, tak ada salah. Sebab itu kita besarkan kenyataan Profesor Aziz Bari dan sebagainya untuk memberi pandangan yang berbeda."

Beliau menegaskan bahawa PR tidak menghina mana-mana institusi, tetapi memberi hak kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan. Secara terus terang beliau berkata, "Saya ikut perlembagaan sahaja. Saya juga tahu bahawa seluruh perjuangan kebangsaan Melayu juga mahu merdeka. Bebaskan diri dari kuasa mutlak Raja. Dari segi sejarahnya itu kita akui, tetapi institusi (Raja) itu kita pertahankan." (Bahagian pertama, bersambung)

*Wawancara ini dijalankan oleh Chan Wei See (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina), Lim Hong Siang (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia) dan Ong Vic Kee (Wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina), di pejabat Anwar Ibrahim pada 6 Januari 2011.

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews