INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Sunday, September 9, 2007

Sejarah Jalur Gemilang???

Kaitan dengan Amerika Syarikat?

Rizal Radzi

Apabila penulis di dalam perjalanan ke suatu destinasi di Pantai Timur tempohari, penulis telah melihat pelbaga ragam dan cara penduduk – penduduk setempat merealisasikan kecintaan mereka kepada negara dengan pengibaran Jalur Gemilang.

Ada yang mengambil tindakan meletakkan bendera di hud depan kenderaan masing – masing, ada yang meletakkan Jalur Gemilang dihujung kiri atau kanan tiang bendera yang secara praktiknya salah, tetapi tidak menghalang penduduk dari terus mengibarkan Jalur Gemilang.

Dapat dipastikan lebih banyak rumah – rumah dan tempat – tempat kediaman di luar Kuala Lumpur yang mengibarkan Jalur Gemilang tetapi tidak dapat dipastikan samada ini melambangkan secara umumnya tahap kecintaan negara dalam diri penduduk berbeza di dalam dan luar bandar. Tiada analisa dilakukan dan tidak hubungkait yang konkrit telah ditemui, akan tetapi perkara ini adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian yang serius. Tetapi yang lebih menarik ialah apabila sebilangan rakyat Malaysia merasakan Jalur Gemilag ialah hasil ciplak reka bentuk bendera Star Spangled Banner.

Artikel ini dinukilkan oleh penulis bukanlah untuk mengadakan penilaian komperatif (comparative studies) di antara negara Malaysia dan Amerika Syarikat, tetapi lebih untuk menilai semula alasan, dalil, spekulasi dan tanggapan berkenaan Jalur Gemilang, iaitu bendera negara kita yang seringkali dianggap menirurupa bentuk “Star Spangled Banner”, iaitu bendera Amerika Syarikat. Penulis juga merasakan perlunya pengupasan dengan memahami proses penciptaan Jalur Gemilang dan evolusi Jalur Gemilang untuk lebih memahami kepentingan Jalur Gemilang kepada negara, bangsa dan agama.

Penciptaan bendera Jalur Gemilang

Selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu setelah kejayaan UMNO secara amnya, memaksa pihak British untuk membubarkan Malayan Union. Satu perintah am telah dibuat iaitu Perintah No. 61 tahun 1949 dan berdasarkan dokumen BT 11/4189, di Pejabat Rekod Awam (Public Record Office) di Kew, London, menyaksikan pembentukan satu jawatankuasa untuk memberi pandangan berkenana pemilihan bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Satu peraduan telah diadakan dan parameter – parameter umum telah diberikan dimana rekaan bendera yang dilampirkan perlulah:

1. Mempunyai reka bentuk yang mudah.

2. Tidak mengandungi lebih dari empat warna iaitu merah, kuning, putih dan biru, yang mewakili warna-warna yang sering digunakan dalam bendera – bnendera Negeri – negeri Bersekutu dan Negeri – negeri Tidak Bersekutu serta Negeri – Negeri Selat.

3. Mengandungi simbol-simbol seperti keris, harimau dan bulan sabit.

Terdapat 383 penyertaan diterima dan jawatankuasa yang dibentuk telah menyenarai pilih 3 rekabentuk bendera untuk

cadangan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Reka bentuk bendera yang disenarai pilih adalah seperti berikut:

1. Bendera berwarna biru yang mengandungi dua keris bersilang berwarna merah di tengah – tengah bendera, yang dilingkungi bulatan sebelas bintang berbucu lima .

2. Serupa dengan rekabentuk (1) tetapi bintang diletakkan di dalam dua bulatan yang bertindih, satu besar dan satu kecil dimana enam bintang di bulatan luaran dan lima bintang di bulatan dalaman.

3. Enam jalur biru dan lima jalur putih melintang yang berselang seli. Kanton yang berwarna merah yang meliputi separuh lebar (melintang) bendera dan panjangnya (mengunjur) diatas jalur putih yang kedua dari hujung bendera. Bintang berbucu lima yang berwarna kuning, yang terletak di tengah kanton merah, berpaksikan satu titik jam 6 berdasarkan bulatan jam. Diikuti dengan bulan sabit seperti huruf “C” yang diletakkan diantara bintang berbucu lima dan hujung bendera.

Akhbar Malay Mail telah membuat undian kepada pembaca akhbar berkenaan untuk memilih rekabentuk yang paling popular untuk dijadikan bendera Persekutuan Tanah Melayu.

42% responden memilih rekabentuk (3), 27% memilih rekabentuk (3) dan mencadangkan penukaran bintang dan bulan sabit kepada keris, dan lebih mengejutkan (terutama kepada generasi muda pasca kemerdekaan) apabila 25% responden mahukan rekabentuk Union Jack dimasukkan dalam bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 6 March 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah mencadangkan tidak untuk memilih satu daripada tiga reka bentuk yang disenaraipilih dan mengarahkan agar perubahan rekabentuk dilakukan dengan secepat mungkin.

Pada 19 April1950, majlis bersetuju untuk menukarkan jalur berwarna biru kepada merah, Kanton merah kepada Kanton biru, bintang berbucu lima diganti dengan bintang berbucu sebelas.

Fakta – fakta ini tidak dapat memastikan samada Majlis Perundangan Persekutuan mendapat ilham daripada Star Spangeled Banner tetapi dapat memahami proses penciptaan dan pemilihan bendera Persekutuan Tanah Melayu yang menjadi asas kepada Jalur Gemilang kini. Bendera ini digunapakai dari tahun 1950 sehingga 1963.

Walaubagaimanpun, jika kita terus mengkaji sejarah – sejarah negara – negara serta komuniti sekeliling Tanah Melayu serta pengaruh – pengaruh luar sebelum tercapainya kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, ternyata, dapat memberikan satu pandangan yang berbeza kepada pembaca semua.

Adalah dapat dipastikan ada satu persamaan diantara jalur merah putih Jalur Gemilang dan jalur merah putih Star Spangeled Banner tetapi menyatakan ini adalah satu peniruan secara langsung adalah sukar dibuktikan.

Bendera Syarikat Hindia Timur

Walaubagaimanapun, jalur melintang merah putih telah digunapakai oleh Syarikat Hindia Timur sejak 1697. Perubahan bendera Syarikat Hindia Timur tidak menyaksikan perubahan jalur melintang tetapi lebih dengan perletakan kanton serta bendera Union Jack sebagai kanton.

Secara logik, apabila Kapten Francis Light mula mendarat di Kedah pada tahun 1772 untuk membincangkan hal berkenaan Pulau Pinang, sebagai kapten kapal negara (country ship) milikan Tetuan Jordan, Sullivan dan de Souva, sebuah firma perkapalan berpengkalan di Madras, kapal beliau mestilah mengibarkan bendera Union Jack sebagai bendera negara dan bendera Syarikat Hindia Timur berdasarkan pengkalan firma beliau.

Di lampirkan ialah rekabentuk bendera Syarikat Hindia Timur yang digunapakai oleh kapal – kapal milikan Syarikat hindia Timur dari tahun 1707 sehingga 1800, dan kemungkinan besar bendera kapal yang mula – mula dikendalikan oleh Kapten Francis Light sebagai pegawai firma Tetuan Jordan, Sullivan dan de Souva dan diikuti dengan persetujuan Syarikat Hindia Timur untuk mendapatkan Pulau Pinag sebagai pos perdagangan Syarikat Hindia Timur dan memastikan kepentingan pihak British di kawasan Selat terjaga.

Adakah fakta ini dapat mengesyorkan dan membuktikan jalur melintang merah putih Jalur Gemilang lebih dipengaruhi dari rekabentuk bendera Syarikat Hindia Timur atau Star Spangled Banner?

Tujuan artikel ini ditulis ialah tidak untuk menafikan sesuatu teori, tetapi untuk mempelbagai kemungkinan berkenaan rekabentuk Jalur Gemilang.

Yang lebih penting, warna jalur iaitu merah dan putih adalah warna yang telah diterima pakai sebelum kedatangan British dan penubuhan Amerika Syarikat pada 1776. Kanton biru di Jalur Gemilang lebih mirip kepada bendera negeri Johor dari Bendera Syarikat Hindia Timur dan Star Spangled Banner.

Bendera Empayar Majapahit

Bendera dilampirkan adalah bendera Kerajaan Melayu Majapahit pada hujung kurun ke 13 yang menjadi asas kepada bendera Sang Saka Merah Putih iaitu bendera Indonesia kini.

Bendera Negeri Johor

Manakala kanton biru di Jalur Gemilang lebih mirip kepada bendera Johor yang didokumentasi dalam buku Flaggenbuch, dikarang oleh Ottfried Neubecker yang diterbit pada tahun 1939.

Buku ini menyatakan rekabentuk ini melambangkan bendera Kerajaan Negeri Johor pada ketika itu. Sila lihat persamaan di antara kanton biru Jalur Gemilang dan kanton biru di dalam bendera negeri Johor.

Manakala mungkin ada perkaitan di antara bendera penduduk Malagasy yang berasal dari kepulauan Borneo di dalam pemilihan rekabentuk akhir Jalur Gemilang?

Bendera Republik Madagaskar

Bendera ini diasaskan daripada bendera penduduk Malagasy yang berhijrah dari Kepulauan Borneo ke Madagaskar dan bendera merah putih ini digunapakai sebagai bendera Empayar Hova pada kurun ke19. Apabila Madagaskar mencapai kemerdekaan dan terbentuknya Republik Madagaskar, warna hijau yang dimasukkan ini melambangkan penduduk asal kepulauan Madagaskar.

Star Spangled Banner pada tahun 1912 sehingga 1959

Bendera ini digunapakai sebagai bendera Amerika Syarikat daripada 1912 iaitu zaman pemerintahan FDR Roosevelt hingga ke pemerintahan Dwight Eisenhower yang menjadi Presiden Amerika Syarikat sehingga tahun 1961. Tidak dinafikan pada jangkamasa dari 1912 sehingga 1959, Amerika Syarikat mula dikenali diperingkat antarabangsa sebagai satu kuasa besar dengan perkaitan amerika Syarikat dengan peperangan Amerika – Sepanyol, Perang Dunia Pertama dan Kedua serta pelbagai peristiwa termasuklah pembukaan Terusan Panama.

Bendera Union Jack

Dilampirkan bersama bendera Union Jack yang tiada langsung mempunyai persamaan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu melainkan warna merah Union Jack yang mirip kepada jalur merah di bendera Tanah Melayu.

Rumusan

Dapat diperhatikan, jalur merah di jalur melintang Jalur Gemilang adalah lebih mirip kepada merah Union Jack dari merah Star Spangled Banner, Sang Saka Merah Putih serta bendera Syarikat Hindia Timur. Dan juga kanton biru bendera Persekutuan Tanah melayu ketika itu adalah lebih mirip kepada bendera Johor dari Star Spangled Banner.

Dapat dirumuskan, teori bahawa bendera Persekutuan Tanah Melayu yang kemudianya dikenali sebagai Jalur Gemilang adalah dipengaruhi dari Star Spangled Banner dapat disanggah dengan pengemukaan teori diatas, yang mengaitkan bendera Sang Saka Bumi, dan bendera Madagaskar serta bendera Johor malahan warna merah bendera Union Jack yang juga secara logik, mempengaruhi pemilihan rekabentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang menjadi asas bendera Jalur Gemilang kini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews