INGIN TAHU CARA MENAMBAH PENDAPATAN ANDA? KLIK LINK DI SINI UNTUK JOIN DUNIA PENGIKLANAN MELALUI WEBSITE DAN LAMAN SOSIAL

Monday, January 31, 2011

Janji PR untuk Kuala Lumpur


Senyumlah Kuala Lumpur -Alleycats

Kuala Lumpur senyumanmu
Dipagi ini
Sungguh bererti
Kerna cinta bersemi lagi
Setelah kemarau panjang

Dilebuhraya
Dipapan tanda
Tergambar wajahmu
Dengan kalimat
Cinta untuk kita
Semoga kekal selamanya

Dari Merdeka Review

Kuala Lumpur adalah pusat kebudayaan, ekonomi dan kewangan Malaysia. Ianya merupakan kawasan yang paling pesat membangun dari sudut jumlah penduduk dan ekonomi negara, dengan anggaran 1.7 juta penduduk (2010). Bandaraya ini menarik lebih sembilan juta pelancong setahun dan punya KDNK sebanyak RM77 bilion.

Walaupun Kuala Lumpur telah menjadi sebahagian dari Wilayah Persekutuan lebih 37 tahun, kualiti kehidupan di Kuala Lumpur semakin teruk. Lapangan, taman-taman, dan tanah awam telah dijual kepada pemaju untuk membina tanpa mempertimbangkan warisan KL, namun prasarana awam seperti pengangkutan dan perumahan awam diabaikan. Taman-taman awam pula memerlukan penyenggaraan yang lebih baik.

Tahap jenayah meningkat dan memaksa rukun tetangga dan persatuan-persatuan penduduk mengupah syarikat pengawal keselamatan swasta dan menubuhkan komuniti-komuniti berpagar, dengan kos yang ditanggung sendiri oleh rakyat. Malah taraf latihan para pengawal keselamatan ini tidak terselia.

Upah permulaan purata bagi seorang graduan di KL hanyalah RM1,600, yang turun dari RM1,800 sepuluh tahun lalu. Peningkatan gaji tahunan cumalah 4.7%, antara terendah di dunia.

Pada masa yang sama, harga rumah-rumah sekitar Kuala Lumpur telah meningkat ke purata RM500,000 dan hal ini menyusahkan anak-anak muda yang baru berkahwin untuk memiliki rumah. Walaupun golongan miskin tegar kononnya telah tiada, namun golongan miskin masih wujud di kota malah semakin meningkat sejak 1998.

Ketidaksamaan adalah masalah yang serius – koefisien Gini bagi Malaysia adalah 0.461 pada 2009 – dan menjadi faktor mendorong peningkatan masalah penyakit sosial. Sudah pasti tahap ketidaksamaan yang tinggi bukan sahaja melembapkan ekonomi Kuala Lumpur, malah juga Malaysia amnya.

Dengan itu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan mengakui kewujudan masalah-masalah ini dan akan bertungkus-lumus untuk menyelesaikannya dengan rancangan reformasi 100-hari kami, walaupun butiran terperinci serta statistik dalam Wilayah Persekutuan tidak diperolehi daripada kerajaan pusat. Tentunya rancangan reformasi ini akan disesuaikan mengikut maklumat yang jitu dan terperinci.

Apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambilalih Kerajaan Pusat, Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan berjanji untuk:

1. Menjalankan inisiatif baru untuk mengkaji semula dan memperbaiki bangunan-bangunan Pusat Perumahan Rakyat (PPR), yang mampu mengubah kehidupan golongan berpendapatan rendah serta membina komuniti-komuniti baru yang sihat dan teguh.

2. Melaksanakan cadangan-cadangan transit yang akan mengintegrasikan sistem pengangkutan awam, dan pada masa yang sama mempertingkatkan prasarana awam seperti menambahbaik jalan-jalan raya serta tempat-tempat letak kereta agar mampu menjana sebuah persekitaran sosial dan perniagaan yang mampan.

3. Melaksanakan inisiatif sedia ada Kerajaan Pusat ke seluruh Wilayah Persekutuan, di mana kita akan membina pusat-pusat pengajian di Zon-zon Bandaraya langsung melahirkan Budaya Pembelajaran Cemerlang.

4. Melaksanakan jaringan CCTV menyeluruh lagi berkesan, kukuh dan diintegrasikan dengan badan-badan yang berkenaan seperti hospital, polis, pengawalan trafik dan sebagainya, serta melahirkan unit polis sokongan bagi menangani peningkatan kadar jenayah yang sebenar.

5. Mengadakan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat Wilayah Persekutuan tahunan untuk mempromosi kebudayaan Malaysia, dengan tumpuan khusus kepada perpaduan komuniti dan pembangunan anak muda.

6. Memperkenal dasar-dasar yang lebih mesra perniagaan seperti badan pelesenan contohnya PEMUDAH untuk menarik minat serta memberi semangat kepada para usahawan dan pemilik perniagaan untuk memulakan perniagaan mereka di Kuala Lumpur, sementara melaksanakan langkah 7 (seperti di bawah).

7. Menubuhkan badan bertindak untuk mengkaji dan mengutarakan langkah-langkah berkesan yang akan membolehkan adanya Pilihanraya Kerajaan Tempatan di Kuala Lumpur.

8. Mengkaji dan menggubal dasar-dasar yang akan melindungi alam sekitar di Kuala Lumpur, terutamanya kawasan hutan dalam lingkungan bandaraya serta melaksanakan konsep “indeks bandaraya hijau”.

Sempena Hari Wilayah 2011, inilah janji-janji kami Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan yang akan kami kotakan demi memastikan negara tercinta kita akan berjaya mencapai Wawasan 2020, dan menjadikan Kuala Lumpur benar-benar bandaraya yang sejahtera.

*Kenyataan media bersama oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan pada 29 Januari 2011, disokong oleh:
Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak
Nurul Izzah binti Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai
Chua Tian Chang, Ahli Parlimen Batu
Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Bukit Bintang
Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Segambut
Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Cheras
Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Kepong
Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh
Dr.Lo’ Lo’ Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa

No comments:

LinkWithin

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Total Pageviews