Laporan Economist Intelligence Unit meletakkan status Malaysia susut tangga ke 71 daripada 167 buah negara dalam indeks demokrasi 2010 berbanding tangga ke 68 pada 2008 memberi gambaran terdapat banyak ruang kepincangan dalam sistem demokrasi di Malaysia, ujar Wan Saiful Wan Jan.
Beliau yang juga Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) ini menunding kepada kelemahan kerajaan dalam melaksanakan demokrasi tulen terhadap institusi penting negera termasuk media.
Antara faktor yang dinyatakan dalam laporan tersebut termasuk penurunan peratusan dalam budaya politik dan kebebasan sivil.
“Walaupun kita mengatakan kita mengamalkan demokrasi tapi apa yang ditunjukkan dalam indeks ada lebih banyak kepincangan yang perlu diperbaiki. Seperti yang saya sebut tadi dari segi kebebasan media, dari segi fungsi institusi-institusi penting dalam negara. Seperti parlimen, kehakiman dan media yang tidak dikawal oleh eksekutif. Benda-benda ini kita lihat masih banyak berlaku di Malaysia.
“Ekonomi sepatutnya tidak dikawal oleh kerajaan. Perkara ini masih berlaku di Malaysia. Saya tidak terkejut sekiranya Malaysia mengaku sebuah negara demokrasi tetapi dari segi pengamalan itu banyak ketempangan,” jelas beliau kepada Tv Selangor.
Menurutnya lagi, indeks yang disiarkan tidak mengambil kira kekecohan yang berlaku di parlimen baru-baru ini melibatkan pengantungan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga Ahli Parlimen yang lain.
“Jadi saya rasa perkembangan terbaru Malaysia mungkin mereka tidak mengambil kira dalam indeks 2010. Tapi saya yakin indeks 2011 akan masuk semua perkara ini dan saya tidak terkejut tahun 2011 nanti akan turun lagi kita punya prestasi,” tambahnya.
Berdasarkan laporan EIU itu lagi, Wan Saiful tidak menyangkal dua komen yang berkait langsung dengan faktor nilai psikologi masyarakat Malaysia yang terlalu tunduk kepada pemimpin terdahulu.
Tambahnya lagi, masyarakat harus mempunyai persepsi pandang ke hadapan bagi mengecapi nilai demokrasi tulen selain meninggalkan pengagungan nilai-nilai Asia sedangkan demokrasi adalah bersifat universal.
“Perkataan yang digunakan adalah nostalgia pemimpin lama dan ini bagi saya satu benda tidak sihat dan kita perlu lihat semula sekiranya kita mahu kedepan untuk jadi perkara yang betul-betul berteraskan demokrasi kita kena lihat kepimpinan yang melambangkan semangat sekarang dan bukan yang dulu,” katanya lagi.
Akhirnya Wan Saiful menyimpulkan bahawa ada unsur hubungan terus kebebasan ekonomi dan kebebasan umum yang akan memberi kesan baik kepada kualiti demokrasi.
“Saya rasa kalau kita lihat dalam konteks itu, maka usaha untuk meliberasisikan ekonomi sebenarnya adalah jalan kedepan yang baik dan akhirnya akan memberi kesan semula kepada kualiti demokrasi,” katanya.
No comments:
Post a Comment